Bantuan kemanusiaan yang diberi Singapura kepada Palestin, serta pertolongan untuk membangun keupayaan pemimpinnya menerusi latihan telah memanfaatkan rakyat Palestin, kata Menteri Ehwal Luar dan Ekspatriat Penguasa Palestin, Dr Varsen Aghabekian.
Warga Palestin amat cekal hati dan bantuan daripada negara-negara seperti Singapura akan menjadikan mereka lebih kuat, kata beliau lagi.
“Bantuan paling amat diperlukan di Gaza,” kata Dr Aghabekian.
“Namun, ini bukan bermaksud kami tidak perlukan bantuan di Tebing Barat atau Baitulmakdis Timur yang dijajahi, tetapi Gaza punah-ranah dan kami besar hati menerima apa sahaja yang boleh dilakukan oleh negara-negara lain untuk membangun semula Gaza, bukan sahaja dari segi fizikal, malah semangat rakyatnya,” kata Dr Aghabekian, yang menambah bantuan Singapura kepada Gaza disampaikan pada masa ia amat diperlukan.
Singapura, pada 4 November, menyerahkan cek AS$500,000 ($652,000) kepada Program Makanan Sedunia (WFP) di Palestin.
Selain itu, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, yang sedang mengadakan lawatan kerja ke Wilayah Palestin dan Israel antara 3 dengan 6 November, turut mengumumkan dua kursus baru yang bakal ditawarkan kepada Penguasa Palestin pada 2026 untuk membina keupayaannya dalam ekonomi digital dan keusahawan digital.
Ini menambah kepada dua kursus yang diumumkan pada Julai 2025, iaitu usaha penguatkuasaan polis dalam masyarakat bersama Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun dan Program Pemimpin Muda.
Dr Aghabekian berkata dana untuk makanan daripada Singapura itu dan bantuan lain bukan sahaja mengisi perut warga Gaza, malah menguatkan semangat orang yang kehidupannya telah punah-ranah.
“Gencatan senjata mungkin mencetus idea keadaan menjadi seperti sediakala selepas ia dilaksanakan.
“Tapi kita tahu keadaan tidak akan menjadi seperti sediakala dalam masa sehari… lebih banyak masa diperlukan. Tapi kita tetap perlu menunjukkan kepada warga Gaza kita sedang mengorak perubahan dan berusaha berbuat demikian,” ujarnya lagi.
Pengarah Kehormat Pejabat Wakil Singapura di Ramallah, Cik Shireen Shelleh, berkata bantuan Singapura untuk warga Palestin melebihi nilai mata wang dan mempamerkan pesanan kemanusiaan, sifat belas kasihan dan perpaduan.
“Bantuan ini juga memberitahu kepada kita walapun kita berada dalam saat paling hitam, ada juga negara dan rakan di dunia yang masih prihatin.
“Warga Gaza bukan hanya perlukan bantuan kewangan atau barangan, malah sokongan moral dan jaminan mereka tidak akan dilupakan… dan kepahitan yang mereka rasai diambil berat oleh dunia,” ujar beliau.
Di Ramallah, selain bertemu Dr Aghabekian dan Perdana Menteri Penguasa Palestin, Dr Mohammad Mustafa, Dr Balakrishnan turut mengadakan pertemuan berasingan dengan Menteri Perancangan dan Kerjasama Antarabangsa, Dr Estephan Salameh, dan mantan Perdana Menteri, Dr Mohammad Shtayyeh.
Dalam kenyataannya pada 4 November, Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata Dr Balakrishnan mengemukakan komitmen Singapura untuk menyokong usaha yang sedang dilakukan untuk meredakan keadaan kemanusiaan di Gaza berikutan pelaksanaan fasa pertama gencatan senjata pada 10 Oktober.
Buat masa ini, Singapura telah menyumbang 10 pakej bantuan bernilai lebih $24 juta.
Singapura akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi serantau untuk menyokong usaha antarabangsa bagi ‘Hari Selanjutnya’, termasuk Pelan Pembangunan Semula Arab yang telah diusul, kata MFA.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg