Lebih banyak suara pembangkang di Parlimen tidak akan melemahkan pemerintah.
Sebaliknya, keadaan itu menghasilkan perbahasan lebih mantap dan dasar yang lebih baik bagi rakyat Singapura, kata Pengerusi Parti Kemajuan Singapura (PSP), Dr Tan Cheng Bock.
Beliau berkata dakwaan Parti Tindakan Rakyat (PAP) mengenai pemerintah yang lemah dek pembangkang bersandarkan pola pemikiran lama.
Sebaliknya, lebih banyak suara pembangkang bermakna pelbagai pandangan dan idea boleh disumbangkan di Parlimen, katanya.
Mengulas jika parti pembangkang mewakili pandangan rakyat sekiranya dipilih ke Parlimen, Dr Tan berkata:
“Anda tidak menolak pandangan tersebut dan berkata ‘terlalu banyak anggota pembangkang dan kami (pemerintah) menjadi lemah’,” ujarnya, lapor The Straits Times.
Dr Tan, yang juga mengetuai pasukan PSP bagi GRC West Coast-Jurong West itu berkata demikian semasa mengadakan lawatan ke Pasar Boon Lay Place pada 1 Mei.
Beliau diapit anggota lain iaitu Setiausaha Agung PSP, Encik Leong Mun Wai; Naib Pengerusi Pertama PSP, Cik Hazel Poa, Encik Sani Ismail dan Encik Sumarleki Amjah.
Dr Tan menambah mantan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) parti itu, Cik Poa dan Encik Leong, telah menunjukkan keupayaan mereka membahaskan dasar dan PSP adalah parti pembangkang yang boleh dipercayai.
Sementara itu, Encik Leong berkata PAP pernah kehilangan menteri dan Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) sebelum ini, tetapi ia tidak melemahkan pemerintah.
Beliau berkata: “Adakah pemerintah yang lemah akan dapat meluluskan (kenaikan) Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) pada 2022?
“Ia haruslah sebuah pemerintah yang kukuh, dengan kuasa untuk meminda Perlembagaan... Jadi hujah seseorang menteri ketengahkan berkenaan kehilangan beberapa menteri atau GRC akan melemahkan pemerintah adalah tidak tepat.”
Susulan komen Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, dalam rapat pada 30 April, bahawa kehadiran pembangkang yang kuat tidak diperlukan, malah ia boleh menyebabkan kebuntuan di Parlimen, Encik Leong menyifatkan komen Encik Ong sebagai tidak masuk akal sama sekali.
“Saya fikir ramai rakyat Singapura akan bersetuju bahawa terdapat keperluan untuk (adanya) lebih ramai pembangkang,” ujarnya.
Ditanya mengenai kenyataan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, bahawa parti pembangkang melontarkan ancaman bersifat peribadi bagi menjatuhkan PAP, Encik Leong berkata, PSP tidak menggunakan strategi sedemikian.
“Saya tidak fikir terdapat banyak komen yang hanya ditujukan kepada seseorang. Hakikatnya, PSP tidak menggunakan strategi atau berkata sedemikian,” katanya.
Komen terhadap Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, “berlandaskan fakta beliau tidak memberi respons kukuh kepada beberapa usulan dasar yang kami cuba ketengahkan,” sambil menambah ia “bukan serangan peribadi”.
Pada 30 April, Encik Lee telah menyanggah dakwaan PSP bahawa beliau berdiam diri daripada membangkitkan isu perumahan sepanjang kempen Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg