Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rahayu gesa sokongan berterusan daripada penduduk Bukit Batok East

Apr 28, 2025 | 10:22 PM
Calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Jurong East-Bukit Batok, Cik Rahayu Mahzam berkata beliau percaya pasukannya komited, berpengalaman dan telah mencurahkan bakti kepada masyarakat. 
Calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Jurong East-Bukit Batok, Cik Rahayu Mahzam berkata beliau percaya pasukannya komited, berpengalaman dan telah mencurahkan bakti kepada masyarakat.  - Foto ST

Calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Jurong East-Bukit Batok, Cik Rahayu Mahzam telah menggesa penduduk Bukit Batok East agar mengundi berdasarkan kepercayaan, dedikasi yang terbukti, dan impak sebenar — bukan sekadar janji.

Beliau berkata demikian sewaktu rapat umum GE2025 di Stadium Jurong East pada malam 28 April.

Cik Rayahu, yang juga Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan) berikrar akan meneruskan khidmat “Bina, Erat, Libat” dengan penduduk bersama pasukannya di Jurong East-Bukit Batok.

Beliau menegaskan bahawa pilihan raya ini lebih daripada dasar – ​ia mengenai perjalanan bersama ke arah masa depan yang lebih kukuh dan bersatu.

“Keluarga yang saya temui di Bukit Batok East menghadapi pelbagai cabaran berbeza. Saya memahami tekanan dan saya merasakan kesakitan. Saya bimbang dengan mereka dan saya sentiasa memikirkan bagaimana menyokong mereka. Mereka telah menjadi inspirasi untuk banyak program dan inisiatif dalam Bukit Batok East,” kata Cik Rahayu dalam ucapannya.

Beliau juga terharu melihat mereka yang pernah mengalami kesusahan, berjaya mengatasi situasi mereka setelah diberikan bantuan.

Salah satu detik yang terpahat dalam ingatannya ialah sewaktu seorang penduduk yang pernah menerima pek makanan datang ke Sesi Bertemu Rakyat dengan sekotak coklat.

“Beliau datang untuk memberitahu kami, ‘anak saya telah tamat pengajian dan mendapat pekerjaan. Kami tidak memerlukan bantuan lagi. Tolong berikan kepada orang yang lebih memerlukannya’,” tambah Cik Rahayu.

Menurut beliau, kerja yang mereka lakukan telah membina hubungan yang penting dan mewujudkan asas untuk penambahbaikan dan inisiatif masa depan yang akan memberi manfaat kepada semua orang.

Menurut Cik Rahayu, GE2025 ini penting kerana penduduk perlu memilih parti dan pemimpin yang boleh dipercayai yang boleh mengemudi ketidaktentuan dunia dengan tenang, yang boleh menjamin masa depan yang cerah.

Beliau berkata, pasukannya komited menambah baik kemudahan, mengukuhkan ikatan komuniti melalui pengalaman yang dikongsi, dan mengekalkan dialog terbuka untuk memahami keperluan penduduk.

“Pasukan Jurong East Bukit Batok yang kita tampilkan mempunyai pengalaman, telah pun mencurahkan bakti kepada masyarakat dan menunjukkan usaha, di peringkat kejiranan dan juga di peringkat nasional,” tambah Cik Rahayu.

Menutup ucapan, Cik Rahayu akur rakyat mempunyai pilihan.

“Anda mempunyai pilihan. Kami sangat menghormatinya. Kami tidak meminta undi anda kerana kami percaya kami lebih baik daripada parti lain. Tetapi kami percaya pada komitmen kami kepada anda dan keupayaan kami berkhidmat dengan berkesan,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg