Parti pembangkang Red Dot United (RDU) menyatakan hasratnya untuk melangkaui peranan sebagai semak dan imbang kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP), dan kini bercita-cita untuk tampil sebagai pemerintah alternatif.
Untuk merealisasikan matlamat itu, RDU merancang untuk bekerjasama dengan parti pembangkang lain yang sehaluan untuk membangunkan sebuah platform digital – yang dinamakan buat sementara waktu sebagai altgov.sg – untuk memperincikan pendirian dasar parti.
“Kami ingin masyarakat lebih mengenali kami, supaya jika PAP gagal, rakyat tahu bahawa ada pemerintah bayangan yang bersedia untuk memimpin negara ke hadapan.
“Itulah langkah yang bertanggungjawab. Kami tidak mahu sekadar memainkan peranan semak dan imbang lagi,” kata Setiausaha Agung RDU, Encik Ravi Philemon, di sebuah acara di ibu pejabat parti itu di Ubi Crescent pada 24 Mei untuk merakamkan penghargaan buat sukarelawan selepas Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Beliau berkata demikian kepada media, dengan turut disertai rakan sepasukannya termasuk Cik Sharon Lin, Encik Ben Puah dan Encik Harish Mohanadas.
Dalam undangannya kepada media bagi acara itu, RDU menekankan keperluan untuk mengubah pandangan dan cara ia mendekati politik di Singapura.
Parti yang ditubuhkan pada 2020 itu juga sedang meneliti hala tujunya bagi 10 hingga 15 tahun akan datang sebagai sebahagian daripada usaha penyesuaian semula.
RDU kini memberi tumpuan kepada strategi 3B – iaitu beranjak (breaking away) daripada memainkan peranan semak dan imbang kepada PAP, yakin (believing) dengan generasi muda dalam RDU dan membina (building) jenama parti.
Usaha membina jenama parti itu mungkin melibatkan langkah menukar nama parti kepada nama yang lebih serius.
Apabila ditanya sama ada RDU telah menghubungi parti pembangkang utama lain mengenai penubuhan pemerintah bayangan, Encik Philemon berkata mereka belum melakukannya secara rasmi.
Selepas GE2025, Parlimen Singapura akan menampilkan 12 wakil Parti Pekerja (WP), termasuk dua Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP).
RDU bertanding di GRC Jurong East-Bukit Batok, Holland-Bukit Timah dan Nee Soon, serta SMC Jurong Central bagi GE2025.
Antara isu yang diketengahkan sepanjang kempen termasuk gaji menteri, kos sara hidup dan penuaan, pekerjaan serta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Mengulas tentang 23.35 peratus undi popular yang diraih, Encik Philemon sebelum ini berkata angka itu menunjukkan bahawa RDU kekal dikenali sebagai kuasa kecil yang berupaya memberi saingan besar.
Pada 24 Mei, beliau akur bahawa berdasarkan maklum balas orang ramai, terdapat calon RDU yang kurang dikenali pengundi, meskipun mereka terdiri daripada golongan karyawan seperti jurutera, saintis dan usahawan.
Dari segi publisiti, beliau berkata RDU hanya memasang 1,000 poster di GRC Nee Soon, berbanding anggaran tiga kali jumlah itu oleh PAP. Encik Philemon merupakan antara calon RDU di kawasan undi tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg