Menjadi satu-satunya pencari nafkah bagi dua anak – termasuk seorang anak perempuan istimewa – bukanlah mudah, lebih-lebih lagi apabila bekerja di lokasi yang jauh.
Setiap kali anak perempuannya diserang penyakit sawan, Cik Rosmah Khalid, 57 tahun, perlu segera pulang dari tempat kerjanya di Jurong Island ke Woodlands.
Perjalanan itu mengambil masa yang panjang serta menelan kos teksi yang tinggi, kongsinya kepada Berita Harian (BH) di Festival SkillsFuture @ North West yang berlangsung di Causeway Point pada 2 Ogos.
Beliau menghadiri festival itu untuk mencari pekerjaan baru serta meneroka kursus yang ditawarkan untuk meningkatkan kemahiran selepas berhenti kerja pada Oktober 2024.
Harapannya adalah untuk mendapatkan pekerjaan dengan waktu kerja fleksibel dan lokasi yang lebih dekat dengan rumah – menerusi portal pencarian kerja terbaru.
Dinamakan ‘Jobs Anywhere @ North West’ oleh Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North West, portal itu bertujuan membantu penduduk, terutama penjaga keluarga mendapatkan pekerjaan yang sesuai dan berhampiran dengan rumah mereka.
Portal itu menawarkan pekerjaan daripada pelbagai industri dan jawatan.
Daripada pekerjaan mikro – kerja jangka pendek atau sementara – hingga ke jawatan profesional, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET).
Antara pekerjaan yang disenaraikan di portal itu termasuk kerja di kawasan kejiranan seperti pembantu gerai penjaja, penggaya rambut, serta pekerjaan profesional dalam pelbagai bidang.
Dihasilkan dengan kerjasama Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i), Pembelajaran Sepanjang Hayat Singapura (LLSG) dan FindSGJobs, portal tersebut menawarkan lebih 10,000 peluang pekerjaan daripada para majikan di daerah North West.
Ini termasuk sekitar 2,000 senarai pekerjaan antaranya penjaja dan peniaga di kawasan kejiranan.
Portal itu dilancarkan di Causeway Point pada 2 Ogos dan dihadiri oleh Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, dan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North West, Encik Alex Yam.
Bercakap kepada BH, Encik Zaqy berkata terdapat permintaan yang tinggi daripada penduduk untuk pekerjaan yang berhampiran dengan rumah disebabkan pelbagai keperluan, lantas tertubuhnya portal itu.
“Saya berharap inisiatif ini dapat diperluaskan ke sesi bertemu penduduk (MPS), di mana penduduk boleh hadir terus dan sekiranya mereka memerlukan pekerjaan segera buat sementara waktu, sedang mencari pekerjaan jangka panjang, atau sekadar mahu menambah pendapatan, inilah salah satu cara untuk memenuhi keperluan tersebut.
“Ini adalah sesuatu yang memang diminta oleh penduduk, dan ini antara usaha kami menyediakan pekerjaan mikro kepada mereka,” ujarnya.
Encik Zaqy menambah, setakat ini masih awal untuk menilai kejayaan portal itu.
Namun, jika penduduk dan peniaga mudah mendapat pekerjaan melalui portal tersebut, ia bermakna keperluan mereka telah dipenuhi.
Beliau berharap ia kemudian dapat diperluas kepada rakyat Singapura yang lain untuk mendapat pekerjaan berdekatan dengan rumah.
Berucap di acara itu, Encik Yam turut akur landskap pekerjaan semakin berdaya saing, terutamanya bagi golongan belia.
“Selain daripada mendapatkan pekerjaan, belia kita terus berdepan tekanan hebat dalam usaha mencari kerjaya yang memuaskan,” kata Encik Yam.
Selain padanan pekerjaan, wadah itu turut menawarkan panduan kerjaya dan sumber berkaitan pekerjaan, kata Encik Yam.
Melaluinya, belia boleh mendapatkan “nasihat yang tepat serta peluang peningkatan kemahiran yang sesuai”, tambahnya.
Portal itu juga menyediakan ciri yang membolehkan pengguna mencari pekerjaan dalam lingkungan satu, tiga, atau lima kilometer dari rumah mereka.
Pilihan waktu kerja fleksibel serta waktu kerja yang lebih pendek juga disediakan.
Peniaga dan penjaja di kawasan kejiranan pula – yang lazimnya tidak mempunyai sumber pengurusan sumber manusia (HR) yang formal – boleh menggunakan portal itu untuk menyenaraikan kekosongan kerja, menjadikan pencarian pekerja lebih mudah.
Antara yang meraih manfaat daripada ciri itu ialah penolong gerai makan ‘Muslim Food Stall’ di pasar Marsiling Lane, Encik Lokman Haron, 63 tahun.
Beliau berkata portal tersebut akan memudahkannya mencari pekerja tanpa kos.
Beliau, yang bantu menguruskan gerai bersama isterinya, Cik Halizah Abas, 60 tahun, memerlukan pekerja untuk menyokong mereka, lantas mengorak langkah untuk mencubanya.
“Ia membantu perniagaan kecil seperti kami kerana kami tidak mempunyai pasukan HR untuk menyokong keperluan pengambilan pekerja.
“Selain itu, portal ini membolehkan pekerjaan separuh masa seperti kami yang memerlukan pekerja selama separuh hari dan empat hari seminggu, disenaraikan dengan mudah,” katanya.
Sementara itu, pengunjung Festival SkillsFuture – yang berlangsung pada 2 dan 3 Ogos –berpeluang menikmati pelbagai program pembelajaran sepanjang hayat dan peningkatan kemahiran.
Penduduk boleh meneroka lebih 3,000 kursus daripada 10 penyedia latihan, termasuk 71 kursus yang direka khas untuk menumpukan kepada tiga sektor baru yang berkembang pesat – Penjagaan, Digital, dan Hijau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg