Hubungan antara Singapura dengan Malaysia tidak pernah dan tidak boleh bersifat transaksional sama sekali, kerana ia dibina atas dasar saling menghormati, persefahaman mendalam dan mengatasi perbezaan dengan berdialog, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam.

Beliau berkata kerjasama antara kededua negara ini didorong bukan sahaja oleh warisan serupa yang dikongsi bersama, tetapi oleh persefahaman terhadap kepentingan negara masing-masing dan “pembangunan simbiotik” merangkumi antara lain penyepaduan ekonomi.

Dalam temubual bertulis bersama agensi berita Malaysia, Bernama, yang diterbitkan pada 12 Julai, Presiden Tharman berkata:

“Hubungan Singapura-Malaysia sememangnya unik, baik dari segi keluasan mahupun kedalaman (hubungan ini).

“Kedua-dua negara berkongsi sejarah yang serupa. Rakyat kita terhubung melalui ikatan kekeluargaan dan tradisi budaya yang telah berkembang sejak berabad lamanya.

“Ekonomi negara juga sangat bersepadu, yang membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.”

Tuan Presiden berkata demikian sempena lawatan negara pertama beliau ke Malaysia dari 12 hingga 15 Julai, atas undangan Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim Iskandar.

Tuan Presiden akan ke ibu kota Malaysia, Kuala Lumpur, dan negeri Selangor, bagi rangka lawatan itu, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam kenyataan pada 12 Julai.

Mengulas berkenaan lawatan itu, Tuan Presiden berkata ia meneruskan tradisi yang telah lama wujud antara ketua kedua-dua negara.

Menurutnya, ia menunjukkan kepentingan yang diletakkan Singapura dan Malaysia dalam mengekalkan hubungan dua hala dan membina persefahaman di semua peringkat.

Sehubungan itu, Tuan Presiden menjelaskan sungguhpun Singapura dan Malaysia bercanggah pendapat dalam isu-isu tertentu, ia tidak dijadikan hambatan dalam mencari huraian bersama.

Malah, pendekatan kedua-dua pihak untuk berdepan isu sedemikian dan tidak mengetepikan atau mengabaikannya “telah membina kepercayaan dan rasa muhibah”, sekali gus mengukuhkan hubungan yang sudah sekian lama terjalin sepanjang lebih 60 tahun.

“Ia bukan lagi rahsia Singapura dan Malaysia selama ini berdepan beberapa isu dua hala yang sensitif dan rumit.

“Ini sesuatu perkara dijangkakan antara dua negara jiran yang mempunyai sejarah dikongsi bersama.

“Namun, pemerintah yang silih berganti di kedua-dua belah pihak secara konsisten memilih untuk tidak membiarkan isu-isu ini menghambat mereka.

“Sebaliknya, kedua-dua pihak berusaha untuk menyelesaikannya dengan tenang, berdasarkan sikap saling hormat-menghormati dan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa,” ujar Tuan Presiden.

Beliau menambah tahap kepercayaan dan keakraban yang tinggi di pelbagai peringkat – merangkumi hubungan antara rakyat mahupun pemimpin kededua negara – membuka ruang untuk menguruskan pertikaian melalui dialog dan persefahaman bersama.

Kepercayaan dan keakraban ini aspek penting, kata Tuan Presiden, lebih-lebih lagi dalam dunia yang semakin bergejolak kerana kestabilan serantau bergantung pada disiplin untuk mengurus sesuatu isu antara negara secara bertanggungjawab.

Beliau berkata: “Bagi ASEAN dan rantau yang lebih luas, contoh (yang ditonjolkan) Singapura dan Malaysia mengukuhkan kepentingan dialog, kawalan kendiri, menghormati kedaulatan dan pematuhan berasaskan pada peraturan.

“Inilah juga cara kita memastikan hubungan dua hala menyuntik keyakinan berterusan.”

Selain itu, beliau menggesa agar kedua-dua negara saling bekerjasama bagi meningkatkan saranan nilai bersama, sambil menukil pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai contoh yang berteraskan penyepaduan ekonomi kededua negara.

Menurut Tuan Presiden, JS-SEZ boleh dijadikan model bagaimana negara-negara dapat melakar kerjasama dengan menggabungkan kekuatan masing-masing.