Nama Ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, seorang peguam yang tidak mengamalkan amalan guaman, telah digugurkan daripada daftar peguam pada 13 Ogos berikutan sabitan jenayahnya kerana berbohong kepada jawatankuasa Parlimen.

Encik Pritam tidak mencabar permohonan yang dikemukakan oleh Persatuan Guaman Singapura untuk menggugurkan namanya.

Kedua-dua Persatuan Guaman dan Encik Pritam bersetuju bahawa unsur ketidakjujuran merupakan aspek penting dalam kesalahan yang dilakukannya, dan piawaian tinggi untuk mengelak pengguguran nama beliau daripada daftar tidak dapat dipenuhi. 

Langkah pengguguran nama itu dilakukan oleh Mahkamah Tiga Hakim, iaitu badan disiplin tertinggi bagi kerjaya perundangan yang mempunyai kuasa untuk menggantung peguam yang melakukan kesalahan atau menggugurkan nama mereka daripada daftar peguam.

Panel hakim tersebut dianggotai oleh Ketua Hakim Sundaresh Menon, Hakim Kannan Ramesh dan Hakim See Kee Oon.

Menurut Ketua Hakim, mahkamah berpuas hati dengan hujah Persatuan Guaman, dan menyifatkan keputusan Encik Pritam untuk akur sebagai satu tindakan yang wajar.

Encik Pritam, yang merupakan Anggota Parlimen (AP) GRC Aljunied, disabitkan kesalahan oleh Hakim Daerah pada Februari 2025 atas dua tuduhan berbohong di bawah sumpah kepada Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP).

Ini berkaitan dengan penipuan mantan AP WP, Cik Raeesah Khan, di Parlimen pada 2021 berhubung butiran kes serangan seksual yang didakwanya tidak dikendalikan dengan baik oleh polis Singapura.

Pada Disember 2025, Encik Pritam gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi terhadap sabitan kesalahan tersebut dan telah membayar denda sebanyak $14,000.

Pada 4 Mac 2026, persatuan itu memulakan prosiding tatatertib terhadap Encik Pritam di bawah Akta Kerjaya Guaman.

Tindakan ini berasaskan maklumat yang diterima daripada Pejabat Peguam Negara (AGC) bahawa Encik Pritam telah disabitkan atas kesalahan yang melibatkan “penipuan atau ketidakjujuran”, menurut jurucakap Persatuan Guaman sebelum ini.

Di bawah Akta Kerjaya Guaman, apabila seorang pengamal undang-undang disabitkan atas kesalahan berkenaan, Persatuan Guaman perlu memohon kepada mahkamah untuk mengambil tindakan tatatertib.

Di dalam bilik pembicaraan yang penuh sesak pada 13 Ogos, persatuan itu, yang diwakili oleh Peguam Kanan Cavinder Bull, berkata berdasarkan kes-kes terdahulu, nama Encik Pritam sepatutnya digugurkan daripada daftar peguam.

“Tidak diragui lagi... bahawa ini merupakan kesalahan yang melibatkan ketidakjujuran,” kata Encik Bull.

Encik Bull menyatakan bahawa Persatuan Guaman diwajibkan di bawah undang-undang untuk memohon hukuman tatatertib dikenakan ke atas Encik Pritam dan tidak mempunyai kuasa budi bicara dalam hal tersebut.

Beliau menambah bahawa undang-undang juga jelas menunjukkan salah laku yang melibatkan ketidakjujuran hampir pasti akan membawa kepada perintah pengguguran nama, melainkan terdapat keadaan yang benar-benar luar biasa.

Dalam kes ini, tidak ada keadaan luar biasa yang boleh menghalang perintah pengguguran tersebut, kata beliau.

Peguam Encik Pritam, Peguam Kanan Chelva Rajah, berkata:

“Kami kecewa dengan kedua-dua keputusan perbicaraan dan rayuan tersebut.

“Beliau (Encik Pritam) sentiasa menghormati kebebasan dan profesionalisme Mahkamah Singapura, serta menerima sepenuhnya keputusan perbicaraan dan rayuan itu, berserta implikasinya.

“Ini merupakan salah satu implikasi yang membawa kami ke mahkamah hari ini.”

Beliau mengakui bahawa ketidakjujuran merupakan elemen penting dalam kesalahan yang disabitkan ke atas Encik Pritam.

Encik Rajah menambah: “(Encik Pritam) juga memahami bahawa dalam kes sebegini, syarat perundangan bagi mengelakkan pengguguran nama adalah sangat ketat, dan ia gagal dipenuhi dalam kes ini.”

Selepas namanya digugurkan, Encik Pritam diarah membayar kos dan perbelanjaan bernilai $5,808 kepada Persatuan Guaman.