Satu program perintis baharu yang dinamakan ‘EmpowerHer’ telah dilancarkan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat pada 30 Ogos bagi membekalkan wanita muda berusia 15 hingga 20 tahun dari pelbagai latar belakang dengan pengetahuan mengenai pencegahan Papilomavirus Manusia (HPV).

Kira-kira 80 wanita daripada sekolah itu serta penduduk yang tinggal di sekitar kawasan Keat Hong telah mendaftar bagi fasa permulaan program pemerkasaan itu yang dianjurkan oleh Perikatan Tindakan Aktif Terhadap HPV (A4HPV).

Anggota Parlimen (AP) GRC West Coast-Jurong West, Dr Hamid Razak, yang hadir selaku tetamu kehormat, berkata:

“Setiap wanita muda berhak mendapat akses kepada pengetahuan dan sokongan yang diperlukan untuk membuat keputusan termaklum mengenai kesihatan mereka, tanpa mengira latar belakang atau kewangan keluarga.

“Pencegahan HPV merupakan bahagian penting dalam perbincangan ini, namun program ini melangkaui pendidikan kesihatan semata-mata.

“Kita mahu wanita-wanita ini keluar dengan keyakinan diri yang lebih tinggi, membolehkan suara mereka didengari dan berkeupayaan membuat keputusan mengenai masa depan mereka dalam persekitaran yang selamat bersama fasilitator terlatih,” kata Dr Hamid.

HPV merupakan jangkitan virus lazim yang merebak terutamanya melalui sentuhan kulit ke kulit semasa aktiviti seksual, namun, terdapat beberapa jenis virus tertentu yang boleh menyebabkan penyakit barah termasuk barah serviks (cervical cancer) dan kutil kelamin (genital warts).

Menurut A4HPV, walaupun suntikan vaksin dan langkah pencegahan kesihatan mampu mengurangkan risiko berkaitan HPV, perbincangan mengenai kesihatan seksual serta reproduktif kadangkala sukar bagi golongan wanita muda.

“Oleh itu, program ‘EmpowerHer’ bertujuan menjadikan perbincangan ini lebih mudah diakses dan bersesuaian mengikut peringkat umur dengan mewujudkan persekitaran yang menyokong.

“Peserta boleh bertanya soalan, memahami maklumat kesihatan yang boleh dipercayai dan belajar cara mendapatkan nasihat profesional yang sesuai,” kata A4HPV dalam satu kenyataan pada 30 Ogos.

Menerusi program tersebut, para peserta akan menjalani aktiviti yang membantu membina keyakinan diri, kemahiran berkomunikasi dan membuat keputusan, selain digalakkan bersuara serta mengajukan soalan mengenai kesihatan kewanitaan.

Di samping itu, mereka juga akan dibimbing untuk memahami kepentingan penjagaan kesihatan pencegahan serta dihubungkan dengan sumber maklumat dan sokongan yang dipercayai.

Pihak A4HPV menambah bahawa sesi perbincangan berkenaan topik-topik ini akan dikendalikan secara hormat, bersesuaian dan tanpa sikap menghakimi mana-mana peserta yang melibatkan diri.

Dr Ida-Ismail Pratt, seorang penasihat perubatan A4HPV yang menyokong projek itu, menegaskan bahawa usaha pencegahan paling berkesan apabila golongan muda diberi maklumat yang betul dan bukannya ditakut-takutkan.

“Matlamat kami adalah untuk mewujudkan program di mana para peserta merasakan soalan, suara dan isu kesihatan mereka ditangani dalam suasana yang selamat dan disokong,” kata Dr Ida.

Beliau menambah bahawa walaupun Program Imunisasi Kebangsaan pada masa ini hanya meliputi wanita berumur 12 hingga 25 tahun, saringan HPV dan vaksin HPV yang diluluskan juga tersedia untuk lelaki.

“Mereka juga boleh melindungi diri mereka daripada virus ini,” tekan Dr Ida.