Topik diikuti
Pergi ke BHkuPSI tengah S’pura cecah 126, mutu udara timur dan barat tidak sihat
PSI tengah S’pura cecah 126, mutu udara timur dan barat tidak sihat
Mutu udara di kawasan tengah Singapura terus merosot pada 14 September, selepas kembali memasuki paras tidak sihat susulan beberapa hari mencatat bacaan sederhana.
Bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam mencecah 102 pada tengah hari sebelum meningkat kepada 120 pada 6 petang dan 126 pada 8 malam pada 14 September di bahagian tengah Singapura.
Kawasan timur dan barat Singapura turut mencatat mutu udara yang tidak sihat pada 4 petang, dengan bacaan rasmi Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menunjukkan PSI 24 jam mencecah 101 di kededua kawasan tersebut.
Setakat 8 malam, PSI 24 jam di bahagian barat mencecah 109, manakala PSI 24 jam di bahagian timur mencatat 111.
Sementara itu, mutu udara di kawasan utara dan selatan Singapura kekal pada paras sederhana pada 8 malam, dengan bacaan PSI masing-masing 90 dan 97.
Bacaan PSI mula memasuki paras tidak sihat dua minggu lalu apabila mencecah 101 di kawasan tengah Singapura pada pagi 4 September.
Dalam beberapa hari berikutnya, bacaan di kawasan tengah, timur dan barat negara ini beberapa kali turut mencapai paras tidak sihat.
Perkembangan terbaru itu merupakan kali pertama bacaan PSI di Singapura mencapai paras tidak sihat akibat jerebu sejak Oktober 2023.
Pihak berkuasa sebelum ini memberi amaran mengenai peningkatan risiko jerebu antara Jun dengan Oktober, berikutan keadaan cuaca lebih panas dan kering yang dipengaruhi fenomena El Nino dan Dipol Lautan Hindi.
Dalam satu kenyataan nasihat pada 14 September, NEA berkata mutu udara bagi tempoh 24 jam akan datang diramal berada antara paras sederhana dengan bahagian bawah julat tidak sihat.
NEA menambah kepulan asap sederhana hingga tebal daripada kebakaran di Kalimantan, Indonesia, masih dikesan dengan sebahagiannya dilihat bergerak ke arah Singapura.
Kepulan asap turut dikesan di selatan Sumatera.
Hujan diramal melanda utara Sumatera dan barat laut Borneo dalam beberapa hari akan datang, manakala keadaan cuaca kering dijangka berterusan di Kalimantan serta bahagian tengah dan selatan Sumatera.
“Dengan tiupan angin semasa dari arah tenggara atau selatan, risiko jerebu akibat asap menjejas Singapura masih kekal,” lapor NEA.
Mutu udara dikategorikan sebagai tidak sihat apabila bacaan PSI berada antara 101 dengan 200.
Dalam keadaan tersebut, NEA menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan kegiatan di luar rumah.
Bacaan PSI antara 51 dengan 100 pula dikategorikan sebagai sederhana, manakala bacaan antara sifar dengan 50 dianggap baik.
