Topik diikuti
Pergi ke BHkuPuan Halimah: Asatizah berperanan galak masyarakat Islam jaga kesihatan
Usaha kesan penyakit awal antara tumpuan Hari Keluarga Masjid Khalid 2026
Golongan asatizah boleh memainkan peranan penting dalam menggalakkan masyarakat Islam menjaga kesihatan, termasuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
Malah, peringatan ringkas semasa kelas agama atau perbualan selepas solat mungkin menjadi dorongan yang diperlukan seseorang yang sudah bertahun-tahun menangguhkan pemeriksaan kesihatan, untuk akhirnya berjumpa doktor.
Demikian menurut mantan Presiden, Puan Halimah Yacob, yang berkata asatizah tempatan membimbing, mendidik, dan memberi inspirasi kepada ribuan umat Islam setiap minggu, sekali gus berada dalam kedudukan yang baik untuk menyampaikan mesej mengenai kepentingan menjaga kesihatan.
“Sebagai umat Islam, kita percaya bahawa tubuh badan kita merupakan satu amanah yang dikurniakan Allah.
“Mendapatkan nasihat perubatan, menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala, dan menyertai ujian barah yang disarankan, merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kita terhadap diri sendiri dan agama.
“Memelihara nyawa merupakan antara matlamat asas dalam agama kita. Justeru, mengambil langkah untuk mencegah penyakit dan mengesannya pada peringkat awal adalah selaras dengan nilai Islam.
“Dalam konteks ini, masjid dan pemimpin agama kita boleh memainkan peranan penting dalam membawa perubahan,” jelas beliau dalam ucapannya semasa acara Hari Keluarga anjuran Masjid Khalid pada 8 Ogos.
Hadir dalam acara itu selaku tetamu terhormat adalah Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad; dan Anggota Parlimen GRC Marine Parade-Braddell Heights, Cik Diana Pang.
Turut hadir dalam acara di masjid yang terletak di 130 Joo Chiat Road itu adalah Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi; Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Encik Mohamed Saat Abdul Rahman; Duta Bukan Pemastautin Singapura ke Kuwait, Encik Zainul Abidin Rasheed; dan Anggota Majlis Penyelaras Harmony Circle, Encik Fazlur Rahman Kamsani.
Acara tersebut antara lain memberi tumpuan kepada penjagaan kesihatan melalui pencegahan dan pengesanan awal penyakit, dengan beberapa khidmat disediakan bagi mendekatkan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.
Antaranya ialah khidmat ‘MammoBus’ bagi memudahkan wanita menjalani mamogram untuk mengesan barah payudara, saringan untuk tekanan darah dan barah serviks, dan permainan untuk kanak-kanak.
Dalam ucapannya, Puan Halimah menekankan bahawa kadar penyertaan bagi ujian barah dalam kalangan masyarakat Melayu masih lebih rendah berbanding masyarakat lain.
Namun, katanya, keadaan itu bukan kerana mereka tidak mengambil berat tentang kesihatan, sebaliknya terdapat pelbagai halangan termasuk rasa takut, malu, salah tanggapan, ketidakpastian, serta tuntutan kehidupan seharian.
Justeru, beliau berkata sokongan keluarga juga penting, termasuk peranan golongan lelaki dalam menggalak anggota keluarga wanita mereka menjalani ujian payudara.
Puan Halimah turut mengalu-alukan usaha membawa khidmat ujian barah lebih dekat kepada masyarakat menerusi masjid kerana ia dapat memudahkan individu mengambil langkah pertama untuk menjaga kesihatan.
Menjelaskan mengapa sebuah institusi agama seperti masjid terlibat dalam inisiatif kesihatan, Pengerusi Masjid Khalid, Dr Mohamed Ariffin Mohamed Kawaja Kamaludin, memberitahu Berita Minggu (BM):
“Sejak zaman Rasulullah saw, masjid lebih daripada sekadar tempat ibadah. Ia merupakan tempat untuk belajar, mendapatkan sokongan, dan berkhidmat kepada masyarakat.
“Dengan menyampaikan mesej berkenaan kesihatan menerusi wadah yang dipercayai seperti masjid, kami harap ia akan mempengaruhi sikap dan tingkah laku masyarakat terhadap penjagaan kesihatan, dan mendorong mereka untuk mengambil tindakan.
Menurut Dr Ariffin, yang juga seorang Zamil Penyelidik di Sekolah Perubatan Lee Kong Chian, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), kesihatan dan kekeluargaan saling berkait rapat kerana seseorang yang sihat lebih berupaya menunaikan tanggungjawab terhadap keluarga serta terus menyumbang kepada masyarakat.
Tambahnya, penyelidikan profesionalnya sendiri memberi tumpuan kepada tingkah laku kesihatan serta salah tanggapan berkaitan ujian barah, khususnya dalam konteks masyarakat Melayu.
Bagi menangani isu tersebut, beliau berkata Hari Keluarga Masjid Khalid 2026 melibatkan beberapa rakan kerjasama, termasuk Persatuan Ain, Persatuan Barah Singapura, Perkhidmatan Masyarakat Mawar dan SingHealth, untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.
Mengimbas kali pertama beliau menjejak masuk Masjid Khalid pada 20 Jun 2025 sempena kempen derma darah, Cik Pang dalam ucapannya berkata beliau amat terharu melihat “masyarakat daripada pelbagai agama dan latar belakang bersatu untuk tujuan sama, iaitu untuk berbuat baik dan menyelamatkan nyawa”.
“Inilah yang mencerminkan semangat Singapura. Tidak kira usia, bahasa, bangsa, atau agama, kita bersatu sebagai satu rakyat dan satu negara. Bagi saya, inilah semangat Singapura,” ujarnya.
