Topik diikuti
Pergi ke BHkuRahayu: Perubahan peribadi, ekosistem mudahkan masyarakat kekalkan amalan sihat
Rahayu: Perubahan peribadi, ekosistem mudahkan masyarakat kekalkan amalan sihat
Walaupun mendekati dan mendidik masyarakat mengenai pemakanan sihat adalah usaha berterusan, masyarakat sendiri memainkan peranan penting untuk mengamalkan gaya hidup sihat.
Demikian dinyatakan oleh Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam.
“Pemakanan kita ialah sesuatu yang kita boleh perhatikan dan ubah kerana apa yang kita makan menjadi khasiat untuk badan kita. Jadi, pemilihan makanan itu penting,” ujar beliau.
Beliau memberitahu Berita Harian (BH) demikian ketika diminta mengulas mengenai dapatan Tinjauan Pemakanan Kebangsaan (NNS) Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) 2025 yang diterbitkan pada 3 Oktober.
Antara lain, tinjauan itu mendapati walaupun penduduk di Singapura telah mengurangkan pengambilan gula, terdapat peningkatan dalam kandungan kalori, lemak dan garam.
Justeru, Cik Rahayu berharap usaha pendidikan dapat diteruskan agar orang ramai dapat mempelajari tentang gaya hidup sihat dari segi pemakanan dan kegiatan yang boleh dilakukan bersama keluarga.
“Jika kita membina satu ekosistem atau suasana di mana menjadi sihat adalah satu kebiasaan, ia dapat memudahkan masyarakat dalam mengekalkan amalan yang dapat membantu mereka menjadi sihat,” kata beliau.
Pada 11 Oktober, Cik Rahayu menyertai sekitar 700 penduduk dan tetamu yang menghadiri acara, Kasih Keluarga, Sihat Bersama (KKSB) M Kuasa Tiga Plus (M³+)@Jurong di Kelab Masyarakat Jurong Green.
Acara itu antara lain bertujuan menggalak gaya hidup sihat dalam kalangan keluarga Melayu/Islam dan antara acara serupa lain yang dijalankan di 12 bandar M³+@Bandar pada hari yang sama.
Langkah itu merupakan inisiatif kesihatan yang diterajui Persatuan Rakyat (PA) bersama badan Melayu/Islam (MMO), badan India Muslim (IMO), masjid, serta rakan kongsi masyarakat lain.
Turut hadir bersama Cik Rahayu di Jurong ialah pasukan Anggota Parlimen (AP) Jurong East-Bukit Batok – Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu; Menteri Negara Kanan (Undang-undang merangkap Pengangkutan), Encik Murali Pillai; Encik Lee Hong Chuang; dan Encik David Hoe.
AP GRC West Coast-Jurong West, Dr Hamid Razak; dan AP SMC Jurong Central, Encik Xie Yao Quan, turut menyertai acara itu.
“Kita galakkan keluarga datang ke sini untuk memberikan mereka maklumat dan pemahaman tentang bagaimana kita dapat mengubah suai cara pemakanan agar mereka dapat terus kekal sihat,” kata Cik Rahayu, yang juga ketua bidang tumpuan kesihatan masyarakat di bawah M³+.
Acara KKSB di Jurong menampilkan beberapa reruai tentang maklumat kesihatan.
Di reruai Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS), pengunjung mendapat maklumat mengenai kandungan garam dalam makanan tempatan dan jumlah garam harian yang diperlukan.
Peserta dijemput menyertai senaman seperti tarian kardio, yoga, dan cabaran jasmani yang diilhamkan daripada pertandingan kecergasan antarabangsa, Hyrox.
