Topik diikuti
Pergi ke BHkuKumpulan perintis 30 Duta Kesihatan Masyarakat galak keluarga Melayu/Islam orak langkah awal
Kumpulan perintis 30 Duta Kesihatan Masyarakat galak keluarga Melayu/Islam orak langkah awal
Rangkaian sukarelawan oleh PA Mesra dilancar, kerjasama M³+@Bandar, rakan masjid, langkah pencegahan jagaan kesihatan
Kumpulan perintis 30 Duta Kesihatan Masyarakat galak keluarga Melayu/Islam orak langkah awal
Satu rangkaian sukarelawan bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan kepentingan langkah pencegahan dalam penjagaan kesihatan dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam telah diumumkan.
Dikenali sebagai program Duta Kesihatan Masyarakat Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra), rangkaian itu antara lain akan menyampaikan maklumat utama mengenai SG Lebih Sihat.
Langkah itu khusus untuk membimbing penduduk melalui proses pendaftaran serta menjawab soalan lazim, sekali gus mendekatkan inisiatif kesihatan nasional dengan masyarakat.
Menurut PA Mesra yang menerajui program tersebut, kumpulan perintis seramai 30 sukarelawan daripada Daerah South East atau di bahagian tenggara Singapura, telah menjalani latihan dengan kerjasama SingHealth.
Mengulas mengenai inisiatif tersebut pada 11 Oktober, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, berkata para sukarelawan akan bekerjasama dengan M Kuasa Tiga Plus (M³+)@Bandar dan rakan masjid.
“(Ia) untuk menggalakkan penduduk menjalani pemeriksaan kesihatan, membantu mereka memahami sokongan yang tersedia ada, dan menjadikan pencegahan dalam penjagaan kesihatan lebih mudah difahami dan didekati.
“Ini kerana, adakalanya, orang yang mendorong kita untuk mengambil langkah pertama bukanlah seorang doktor atau pegawai, tetapi seseorang yang kita kenali. Seorang jiran. Seorang rakan. Seseorang daripada masjid atau masyarakat kita.
“Kita mungkin bermula dengan 30 Duta Kesihatan Masyarakat, tetapi matlamatnya jauh lebih besar, iaitu untuk melihat lebih ramai anggota masyarakat saling mengambil berat antara satu sama lain,” jelas beliau, yang juga Anggota Parlimen GRC Marsiling-Yew Tee.
Encik Zaqy berkata demikian di acara, Kasih Keluarga, Sihat Bersama (KKSB), yang diadakan di gelanggang bola keranjang berdekatan Blok 178, Woodlands Street 13, pada 11 Oktober.
Lokasi tersebut merupakan salah satu daripada 12 kawasan M³+@Bandar yang menyertai inisiatif kesihatan masyarakat KKSB yang dijalankan serentak dan bertujuan menggalakkan keluarga Melayu/Islam agar lebih proaktif dalam menjaga kesihatan dan kesejahteraan mereka.
Ketika ditemui Berita Harian (BH) di situ, Pengerusi Majlis PA Mesra, Cik Amatul Jameel Suhani Sujari, berkata latihan dengan SingHealth melengkapkan relawan dengan maklumat penting untuk dikongsi bersama penduduk yang mengenali dan mempercayai mereka.
“Latihan ini bukanlah membuat mereka menjadi pakar perubatan, tidak. Tetapi, latihan tersebut (diadakan) supaya mereka tahu apakah maklumat penting untuk mereka sampaikan kepada penduduk, jiran yang mereka kenal, yang mungkin lebih mempercayai mereka,” kongsi beliau.
Antara 30 sukarelawan perintis itu ialah Cik Nafisah K Abdulla, 58 tahun, yang juga Penolong Setiausaha MAEC Kelab Masyarakat (CC) MacPherson.
Menurut beliau, amalan hidup sihat lebih mudah diterapkan apabila dijadikan sebahagian daripada rutin harian dan anggota masyarakat saling memberikan galakan.
“Penduduk mungkin mempunyai soalan mengenai pemeriksaan kesihatan, sokongan yang tersedia atau tempat untuk mendapatkan maklumat yang boleh dipercayai.
“Saya berharap dapat membantu menjadikan perkara-perkara ini lebih mudah difahami serta membimbing penduduk mendapatkan sokongan yang sesuai.
“Saya juga semakin memahami bahawa ia membantu untuk mengetahui tentang kesihatan kita sebelum keadaan menjadi lebih serius,” kata beliau, yang juga ibu empat orang anak.
Seorang lagi sukarelawan, Cik Rubiah Salikan, 67 tahun, berkata latihan bersama SingHealth telah membantunya memahami kepentingan langkah pencegahan dalam penjagaan kesihatan.
“Saya juga masih dalam proses pembelajaran, jadi saya akan mendapatkan penjelasan daripada profesional kesihatan yang berkenaan sekiranya saya kurang pasti,” ujar beliau, seorang anggota MAEC Paya Lebar-Aljunied.
Apabila ditanya tentang rancangan jangka panjang program tersebut, Cik Amatul Jameel Suhani, berkata maklum balas daripada pelaksanaan awal itu akan diteliti bagi menilai keberkesanannya.
“Ini adalah inisiatif baharu. Jadi, seperti inisiatif yang ada, kita lihat apa maklum balas yang kita dapat daripada program ini dan bagaimana kita menyesuaikannya untuk kohort yang akan datang dan ke kawasan lain.
“Kita akan belajar daripada apa yang kita telah lakukan dan kemudian kita akan membuatkannya lebih berkesan dan mempelajari daripada kohort perintis ini,” jelas beliau.