Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Raikan Hari Kebangsaan di Muzium Negara, Muzium Mainan Mint

Aug 8, 2023 | 5:30 AM
BERMANDI CAHAYA: Mulai 7.30 malam pada Rabu, bangunan Muzium Negara akan diterangi warna dan simbol Singapura. 
BERMANDI CAHAYA: Mulai 7.30 malam pada Rabu, bangunan Muzium Negara akan diterangi warna dan simbol Singapura.  - Foto MUZIUM NEGARA SINGAPURA

Jadikan masa keluarga lebih istimewa dengan idea dan kegiatan berikut.

Seronok sambut Hari Kebangsaan di Muzium Negara

Saksikan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) yang disiarkan secara langsung di ruang luar dan sertai pelbagai kegiatan percuma di Muzium Negara Singapura pada Rabu.

Mulakan hari anda dengan senaman luar beramai-ramai selama 15 minit di laman depan muzium. Pilih satu daripada tiga slot masa bermula dari 9.30 pagi. Pendaftaran sebelum acara digalakkan di laman web ndoh23gethealthy.peatix.com.

Kemudian, belajar membuat sampan kertas daripada murid Sekolah Rendah Sengkang Green dan sertai kegiatan mencari yang membawa anda melalui galeri muzium dan pameran khas ‘Semangat Yang Baru’ dan ‘Now Boarding’.

Selesaikan pencarian untuk mendapatkan cenderahati Hari Kebangsaan.

Mulai 7.30 malam, bangunan muzium akan diterangi warna dan simbol Singapura. Petikan daripada ‘LKY100: The Life And Legacy Of Lee Kuan Yew (1923-2015)‘, sebuah filem pendek mengenai Perdana Menteri Pengasas oleh pengarah Royston Tan, akan ditayangkan di muka bangunan muzium.

Maklumat: Ketahui lebih lanjut di laman web go.gov.sg/nms-nd23

Promosi Muzium Mainan Mint

Nikmati potongan harga 58 peratus bagi tiket masuk ke Muzium Mainan Mint pada Rabu, sempena hari lahir Singapura yang ke-58.

Perkenalkan anak-anak anda kepada mainan zaman dahulu, yang sebahagiannya sudah berusia lebih satu abad.

Disifatkan sebagai muzium mainan vintaj terbesar di Asia, ia menempatkan lebih 50,000 mainan yang dikategorikan dalam tema seperti angkasa lepas. Anda juga boleh bermain permainan tradisional seperti capteh, congkak dan batu seremban di sini.

Sebelum ke sana, muat turun aplikasi muzium itu untuk memaksimumkan pengalaman anda. Ciri realiti tambahannya ‘menghidupkan’ mainan melalui animasi dan kesan bunyi.

Harga masuk biasa ialah $30 untuk dewasa dan $20 untuk kanak-kanak. Diskaun pada Rabu boleh digunakan penduduk tempatan dan pelancong.

Bagi baki bulan Ogos, warga Singapura dan penduduk tetap yang membeli tiket pada harga biasa boleh menikmati pas tanpa had selama tiga bulan bermula tarikh pembelian tiket.

Maklumat: Ketahui lebih lanjut di laman web www.emin.com

MUZIUM MAINAN: Perkenalkan anak-anak anda kepada mainan zaman dahulu, yang sebahagiannya sudah berusia lebih satu abad.
MUZIUM MAINAN: Perkenalkan anak-anak anda kepada mainan zaman dahulu, yang sebahagiannya sudah berusia lebih satu abad. - Foto MUZIUM MAINAN MINT

Aplikasi pek permainan digital NDP

Anak-anak anda akan terhibur melihat diri mereka dalam pelbagai pakaian seragam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Mereka juga boleh mengambil gambar di mercu tanda tempatan seperti Singapore Flyer dan Supertree Grove – tanpa berada di lokasi tarikan pelancong itu.

Ini boleh dilakukan dengan ciri kamera dan pelekat interaktif dalam aplikasi Pek Permainan Digital NDP baru.

Dibangunkan oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), ia antara lain mengandungi animasi video muzik lagu tema NDP 2023, ‘Shine Your Light’.

Anda juga boleh mengetahui lebih lanjut tentang lokasi perarakan tahun-tahun sudah melalui aplikasi itu.

Pastikan anda menggunakan aplikasi itu pada Rabu apabila lebih banyak kandungan akan dimasukkan.

PERMAINAN DIGITAL: Muat turun aplikasi Pek Mainan Digital NDP untuk meneroka ciri dan kandungan bertemakan Hari Kebangsaan.
PERMAINAN DIGITAL: Muat turun aplikasi Pek Mainan Digital NDP untuk meneroka ciri dan kandungan bertemakan Hari Kebangsaan. - Foto IMDA
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg