Di bawah rang undang-undang terbaru, ia menjadi satu kesalahan untuk menyimpan e-skuter yang tidak memenuhi piawaian keselamatan kebakaran, walaupun ia tidak digunakan.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) merancang bagi melaksanakan peraturan baru itu pada pertengahan 2026.
Rang Undang-Undang Pengangkutan Darat dan Perkara Berkaitan Lain telah diperkenalkan Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, pada 12 Januari di Parlimen.
Ia diperkenalkan bagi meningkatkan keselamatan pengguna dan pengguna laluan lain di samping mencadangkan beberapa langkah lain.
Antaranya adalah pengenalan Sijil Keperluan Perubatan, yang bakal diwajibkan bagi seseorang untuk memandu atau menunggang skuter mobiliti di laluan awam; pendaftaran wajib bagi skuter mobiliti; serta penurunan had kelajuan alat bantuan mobiliti peribadi (PMA) daripada 10 kilometer sejam (km/j) kepada 6 kilometer sejam (km/j).
Pemilik kenderaan bermotor juga akan terjejas oleh rang undang-undang ini.
Semua kenderaan bermotor yang berdaftar di Singapura perlu dipasang peranti unit dalam kenderaan atau on-board unit (OBU) untuk menggunakan jalan raya.
Hukuman lebih berat akan dikenakan terhadap kenderaan yang diubah suai secara haram.
Selain itu, caj Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) yang terlepas tidak lagi dianggap sebagai satu jenayah.
LTA merancang untuk melaksanakan peraturan baru ini mulai pertengahan 2026 bagi memberi masa kepada pihak berkepentingan untuk mematuhinya.
Sebelum ini, perubahan tersebut dilaporkan dijangka berkuat kuasa pada suku pertama 2026.
E-skuter yang tidak mematuhi piawaian menimbulkan risiko kebakaran yang serius, dengan peranti sedemikian terlibat dalam peningkatan jumlah kebakaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Dari Januari hingga Oktober 2025, sebanyak 44 kebakaran melibatkan peranti mobiliti dicatatkan.
Pada 2024, terdapat 67 kebakaran sedemikian – satu peningkatan daripada 55 kes pada 2023 dan 42 kes pada 2022.
Sementara itu, sebanyak 63 kebakaran dicatatkan pada 2021 dan 68 kebakaran pada 2020.
Setakat ini, ia adalah satu kesalahan untuk menggunakan e-skuter yang tidak memenuhi piawaian keselamatan kebakaran UL2272 di laluan awam atau jalan raya, namun tiada kesalahan bagi sekadar menyimpannya.
Rang undang-undang baru ini akan menjadikan mereka yang memiliki peranti sedemikian dianggap sebagai satu kesalahan.
Bagi PMA pula – kerusi roda bermotor dan skuter mobiliti yang direka untuk pengguna yang tidak mampu berjalan atau mengalami kesukaran berjalan – bukan hanya had kelajuannya akan dikurangkan di bawah rang undang-undang ini.
Malah, had saiz juga akan dikenakan bagi peranti yang digunakan di laluan awam.
Ketika ini, had saiz hanya dikuatkuasakan di pengangkutan awam.
Ini adalah lebar 70 sentimeter, panjang 120 sentimeter, tinggi 150 sentimeter, serta berat keseluruhan sehingga 300 kilogram termasuk penunggang.
Rang undang-undang tersebut juga mencadangkan untuk mewajibkan pendaftaran bagi skuter mobiliti agar memperkukuh penguatkuasaan.
LTA akan terlebih dahulu melaksanakan keperluan pendaftaran ke atas skuter mobiliti baru yang dijual, sambil memberi masa kepada pengguna sedia ada untuk mematuhinya sebelum keperluan itu diperluaskan kepada semua skuter mobiliti.
Langkah ini hasil daripada saranan Panel Penasihat Mobiliti Aktif (Amap) mengenai kawalan PMA, yang telah dikaji dan diterima oleh Kementerian Pengangkutan pada Mac 2024.
Saranan tersebut hasil daripada kebimbangan terhadap salah guna skuter mobiliti oleh individu yang kelihatan berupaya.
Ini beserta isu pemanduan laju dan penggunaan peranti bersaiz besar di laluan awam, yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna lain – khususnya warga emas dan kanak-kanak kecil.
Selain PMA, rang undang-undang ini juga mencadangkan agar semua kenderaan bermotor berdaftar di Singapura perlu memasang unit OBU untuk menggunakan jalan raya.
Ia turut melarang perkhidmatan berkaitan OBU yang tidak dibenarkan seperti pemasangan, pembuatan, pembaikan, penanggalan atau pengalihan kedudukan, dan pengiklanan perkhidmatan tersebut.
OBU menggantikan unit dalam kenderaan (IU) sebagai sebahagian daripada peralihan Singapura kepada sistem ERP generasi baru yang menggunakan teknologi sistem pengemudian satelit global.
Sehingga kini, pemilik kenderaan masih boleh menggunakan IU.
Sehingga 31 Disember 2025, lebih 910,000 kenderaan – lebih 90 peratus daripada kenderaan di Singapura – telah memasang OBU.
Pemasangan itu juga dilakukan di lebih 300 bengkel yang sah di seluruh negara.
LTA menyasarkan OBU dapat dipasang di semua kenderaan menjelang 2026.
Rang undang-undang ini juga bertujuan memperkemas pengendalian caj ERP yang terlepas dengan menyahjenayahkan bayaran yang tidak dibuat dan menganggapnya sebagai isu pentadbiran.
Tanggungjawab bagi caj ERP yang belum dibayar akan dipindahkan daripada pemandu kepada pemilik kenderaan.
Mereka yang mempunyai tunggakan bayaran tidak lagi akan berdepan kesalahan trafik, denda $70 dan kemungkinan tindakan undang-undang bagi mereka yang secara berterusan tidak bayar.
Namun, mereka akan dilarang berurusan dengan LTA bagi perkhidmatan tertentu, seperti memperbaharui cukai jalan atau memindahkan pemilikan kenderaan, sehingga bayaran diselesaikan.
Bagi memperkukuh pencegahan dan meningkatkan keselamatan jalan raya, rang undang-undang ini mencadangkan hukuman lebih berat bagi beberapa kesalahan.
Hukuman bagi pengubahsuaian kenderaan secara haram akan dinaikkan – sehingga denda $5,000 dan/atau penjara sehingga tiga bulan bagi pesalah kali pertama, dengan hukuman digandakan bagi pesalah berulang.
Skop hukuman juga akan diperluaskan daripada pemilik dan pengguna kenderaan yang diubah suai secara haram kepada mereka yang membenarkan pengubahsuaian tersebut dilakukan di premis mereka.
Pengubahsuaian haram yang biasa termasuk ekzos yang mengeluarkan bunyi bising, cermin gelap berlebihan dan lampu berkelip.
Individu yang disabit kesalahan sedemikian boleh dikenakan denda sehingga $20,000 dan/atau hukuman penjara sehingga dua tahun, dengan hukuman digandakan bagi kesalahan berulang.
Dalam kes lain, pesalah kali pertama boleh didenda sehingga $40,000, dan boleh meningkat kepada $80,000 bagi pesalah berulang.
Rang undang-undang ini juga mengusulkan hukuman lebih berat bagi kesalahan menyimpan atau menggunakan kenderaan yang tidak berdaftar atau telah dibatalkan pendaftarannya.
Pesalah boleh dikenakan denda sehingga $20,000 dan/atau hukuman penjara sehingga dua tahun bagi kesalahan pertama, dengan hukuman digandakan bagi kesalahan berikutnya.
Parlimen akan membahaskan rang undang-undang ini pada Februari.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg