Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rekod perubatan SAF, awam disatukan jelang 2028 bagi rawatan lebih lancar

Oct 24, 2025 | 8:43 PM
Menteri Negara (Pertahanan), Encik Desmond Choo (kanan), melawat kemudahan perubatan CMPB pada 24 Oktober.
Menteri Negara (Pertahanan), Encik Desmond Choo (kanan), melawat kemudahan perubatan CMPB pada 24 Oktober. - Foto ST

Menjelang 2028, rekod perubatan anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) akan disatukan bagi ketiga-tiga kelompok kesihatan awam, membolehkan pemindahan rawatan lebih lancar.

Sistem rekod SAF akan diintegrasikan dengan Rekod Perubatan Elektronik Generasi Seterusnya (NGEMR), yang kini digunakan oleh Penjagaan Kesihatan Nasional (NHG) dan Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS), serta akan diperluas kepada SingHealth menjelang 2028.

Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA) menandatangani perjanjian pada September untuk menggabungkan sistem pusat perubatan SAF dengan NGEMR, demikian diumumkan Menteri Negara Pertahanan, Encik Desmond Choo, pada 24 Oktober di Pangkalan Pusat Tenaga Manusia (CMPB) baru di Hillview.

Perjanjian itu memperkukuh integrasi maklumat perubatan, latihan, dan pembangunan keupayaan bersama, lapor The Straits Times.

Encik Choo berkata, sebelum ini bagaikan ada jurang yang memisahkan rawatan perubatan bertaraf dunia antara kem tentera dengan hospital awam, menyebabkan doktor kekurangan maklumat pesakit dan ujian dilakukan berulang kali.

Integrasi baru itu membolehkan pakar perubatan di lapangan dan hospital memperoleh rekod kesihatan yang sama bagi setiap anggota.

“Ini bermakna rawatan lebih baik, selamat dan pantas,” ujarnya.

NGEMR membolehkan staf SAF melihat keputusan makmal, ujian imejan dan nota klinikal daripada semua penyedia kesihatan awam.

Ini mempercepatkan rujukan, mengelak ujian berulang dan mengurangkan kos, kata Synapxe dan DSTA.

Brigedier-Jeneral (BG) (Dr) Lee Wei Ting, Ketua Kor Perubatan SAF, menjelaskan bahawa sistem lama melalui Rekod Kesihatan Elektronik Kebangsaan (NEHR) hanya mengandungi maklumat asas seperti diagnosis, rawatan serta ubat-ubatan yang diberikan.

Beliau menambah, sebahagian besar rekod kesihatan masih berada dalam jagaan institusi masing-masing.

Pemindahan rekod antara SAF dengan hospital masih bergantung pada memo fizikal atau e-mel, yang memakan masa dan mudah tersilap urus.

Melalui NGEMR, proses itu akan berjalan lancar tanpa halangan pentadbiran.

Profesor Ng Wai Hoe, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SingHealth, berkata integrasi itu akan mewujudkan satu rekod kesihatan yang mengiringi anggota SAF sepanjang hayatnya, iaitu sebelum, semasa dan selepas perkhidmatan.

Perjanjian itu juga membuka peluang kepada Kor Perubatan SAF meneroka latihan tidak formal dan penempatan bersama SingHealth.

Selain itu, ia melengkapi program latihan rasmi seperti residensi perubatan dan ijazah kejururawatan yang disertai anggota SAF ketika ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg