Duta Undang-Undang Antarabangsa, Cik Rena Lee, menjadi warga Singapura pertama dan wanita pertama dari Asia Tenggara yang menyertai barisan hakim mahkamah tertinggi dunia.

Cik Lee, 57 tahun, dipilih menjadi hakim Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 3 November.

Beliau memperoleh majoriti mutlak undi dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mempunyai 193 anggota, dan Majlis Keselamatan PBB yang mempunyai 15 anggota, dalam pusingan pengundian pertama.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengucapkan tahniah kepada Cik Lee, sambil mendedahkan beliau meraih undian tertinggi dalam Perhimpunan Agung PBB dengan 151 daripada 191 undi.

Beliau turut meraih undian tertinggi bersama di Majlis Keselamatan menerusi 13 daripada 15 undi.

“Keputusan yang kukuh ini menunjukkan sokongan luas masyarakat antarabangsa terhadap pencalonan beliau, serta kepercayaan dan keyakinan negara-negara di seluruh dunia terhadapnya,” tambah Encik Wong, dalam satu hantaran di media sosial pada 4 November.

Menurut Encik Wong, peranan ICJ dalam menegakkan undang-undang antarabangsa dan menyelesaikan pertikaian secara aman lebih penting berbanding sebelum ini, tatkala ketegangan geopolitik semakin meningkat dan susunan antarabangsa dicabar.

“Bagi negara kecil seperti Singapura, susunan antarabangsa berasaskan peraturan adalah asas kepada kedaulatan, keselamatan dan kemakmuran kita.”

Beliau berterima kasih kepada negara yang menyokong pencalonan Cik Lee, terutama negara-negara kecil lain. Sokongan itu, katanya, mencerminkan persahabatan dan kepercayaan yang telah Singapura bina di seluruh dunia.

Cik Lee turut berterima kasih kepada negara yang menyokong pencalonannya.

“Saya berharap dapat berkhidmat di mahkamah ini dengan bebas, saksama dan berintegriti, serta menyumbang kepada tugas pentingnya pada tahun-tahun mendatang,” kata beliau.

Pengundian untuk lima kerusi di ICJ itu berlangsung semalaman di ibu pejabat PBB di New York.

Cik Lee merupakan calon kedua dari Asia Tenggara yang dipilih ke mahkamah dunia di The Hague, Belanda, sejak mahkamah itu ditubuhkan pada 1945. 

Warga Asia Tenggara yang terakhir berkhidmat sebagai hakim ICJ ialah Hakim Cesar Bengzon dari Filipina. Penggalnya tamat pada 1976, lebih lima dekad lalu.

Dengan kejayaan itu, Cik Lee akan berkhidmat selama sembilan tahun di ICJ, dari 2027 hingga 2036.

Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, yang berada di New York bersama Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri , Encik Edwin Tong, untuk menyokong pencalonan Cik Lee, berkata keputusan itu mencerminkan pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap kebolehan beliau, pengalamannya yang luas serta kedudukannya dalam bidang undang-undang antarabangsa. 

“Singapura juga amat menghargai undi keyakinan daripada ramai sahabat kita di seluruh dunia. Kami berbangga kerana seorang warga Singapura diberi peluang untuk berkhidmat di ICJ buat kali pertama.”

Encik Tong yang menyifatkan kempen itu sebagai perjuangan sukar, yakin Cik Lee mampu memberi sumbangan bermakna kepada mahkamah antarabangsa berkenaan.

“Singapura sejak dahulu menjadi pembela setia susunan antarabangsa yang bersifat terangkum dan berasaskan peraturan.

“Bagi undang-undang antarabangsa benar-benar berkesan, ia mesti berpaksikan institusi yang dipercayai, berwibawa dan cekap,” kata beliau.

“ICJ ialah salah satu institusi tersebut. Agar ia terus kukuh dan berkesan dalam menegakkan undang-undang antarabangsa, barisan hakimnya mesti terus terdiri daripada hakim berkelayakan dan berkhidmat dengan integriti.”

ICJ memainkan peranan penting dalam membantu negara menyelesaikan pertikaian melalui undang-undang antarabangsa.

Sebagai badan kehakiman utama PBB, ia mengadakan pemilihan setiap tiga tahun untuk mengisi lima kerusi dalam panel 15 hakimnya.

Dalam pemilihan kali ini, Cik Lee merupakan salah seorang daripada 10 calon. Calon lain berasal dari United Kingdom (UK), Perancis, Nigeria, Jordan, Peru, Sierra Leone, Kenya, Korea Selatan dan Ecuador.

Empat calon lain yang dipilih ke mahkamah itu dalam pusingan pertama ialah Encik Dapo Akande dari UK; Encik Francois Alabrune dari Perancis; Cik Phoebe Okowa dari Kenya; dan Encik Mahmoud Daifallah Hmoud dari Jordan.

Hakim dipilih melalui undi sulit dalam mesyuarat serentak Perhimpunan Agung dan Majlis Keselamatan. Calon perlu memperoleh sekurang-kurangnya 97 undi dan lapan undi dalam badan masing-masing untuk menang.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti