Topik diikuti
Pergi ke BHkuRLAF pelihara amanah masyarakat, pastikan sumbangan kemanusiaan sampai kepada penduduk Gaza
RLAF pelihara amanah masyarakat, pastikan sumbangan kemanusiaan sampai kepada penduduk Gaza
CEO RLAF: Sumbangan kemanusiaan cerminkan ihsan masyarakat S’pura bantu masyarakat lain bila dilanda konflik
RLAF pelihara amanah masyarakat, pastikan sumbangan kemanusiaan sampai kepada penduduk Gaza
Dalam sebuah bandar di Kahirah, Mesir, berdiri sebuah pusat pembelajaran Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) di mana kanak-kanak yang terjejas dengan konflik kemanusiaan di Gaza sejak 2023 berkumpul untuk belajar dan menjalani terapi.
Jelas kelihatan di tembok pusat di Bandar Nasr itu lukisan dan boneka serba warna-warni yang dihasilkan kanak-kanak tersebut semasa menjalani terapi seni untuk meluahkan perasaan dan impian mereka.
Namun, di sebalik setiap mata kasar yang menghayati kertas contengan mereka, tercoret satu impian untuk kembali hidup seperti dulu kala.
Keadaan tersebut menyentuh hati Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), Encik Adnan Abdul Hamid, semasa melawat pusat tersebut pada Oktober 2025.
“Melalui lukisan mereka, kami dapat melihat kerinduan mereka terhadap kebebasan dan kehidupan yang normal,” imbaunya.
Justeru, Encik Adnan berkata gambaran tersebut merupakan satu peringatan bahawa walau dalam ketidakpastian dan kemusnahan, kanak-kanak tetap memegang erat pada harapan untuk menjalani hidup biasa.
“Ketabahan, aspirasi dan keazaman mereka untuk membina semula masa depan menegaskan pentingnya memastikan mereka mendapat akses kepada penjagaan, sokongan dan peluang untuk pulih serta berkembang,” kongsi Encik Adnan.
Beliau turut menekankan usaha memberikan sokongan sebegitu tidak dapat dijayakan tanpa kemurahan hati dan semangat solidariti masyarakat Singapura, yang sedia menghulur sumbangan bagi membantu mereka yang memerlukan meskipun berada jauh di luar negara.
“Setiap sumbangan, betapa besar atau kecil, mencerminkan keprihatinan dan semangat solidariti masyarakat Singapura terhadap mereka yang memerlukan bantuan,” tambahnya.
PASTIKAN DANA DERMA DIGUNAKAN DENGAN BETUL
Dalam wawancara bersama Berita Minggu (BM), Encik Adnan, 61 tahun, berkata dana yang dikumpul yayasan itu merupakan satu amanah.
“Bagi RLAF, kemurahan hati ini bukan sahaja menjadi sumber dorongan, malah turut membawa satu tanggungjawab.
“Kami kekal komited untuk bekerjasama dengan rakan kemanusiaan yang dipercayai di kawasan terjejas bagi memastikan sumbangan tersebut disalurkan kepada masyarakat yang memerlukan bantuan kemanusiaan dengan bermakna,” jelas beliau.
Sejak pengumpulan dana untuk Gaza bermula dari 2023, RLAF berkata mereka telah berjaya mengumpul lebih $15.6 juta menerusi empat kempen, berkat sumbangan ikhlas masyarakat.
Encik Adnan, yang pernah bertugas di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sejak 2007 dalam bidang penglibatan masyarakat dan belia, berkata RLAF memastikan kebertanggungjawaban menerusi komunikasi berterusan dengan rakan kemanusiaannya, dokumentasi kewangan serta laporan pembangunan dan penyelesaian projek.
Ini dapat membantu badan itu memantau penggunaan sumbangan dan program kemanusiaan yang disokong.
Misalnya, dengan laporan daripada rakan kemanusiaannya seperti Unicef, RLAF dapat memantau butiran seperti jumlah keluarga yang menerima bantuan makanan atau kanak-kanak yang mendapat pendidikan.
LAWATAN PEMANTAUAN
Selain merujuk kepada laporan, RLAF juga menjalankan lawatan pemantauan untuk meneliti cara dana sumbangan digunakan.
Misalnya, lawatan ke pusat pembelajaran Unicef pada Oktober 2025 merupakan sebahagian daripada lawatan pemantauan RLAF ke Kahirah.
Lawatan tersebut merupakan yang ketiga disertai Encik Adnan sejak beliau dilantik sebagai CEO RLAF pada Ogos 2024.
Beliau juga telah mengikuti lawatan pemantauan ke Jordan pada Januari 2025 untuk melihat bagaimana sokongan keperluan dihantar dan jenis keperluan yang disediakan.
Semasa lawatan itu, pasukan RLAF telah melawat gudang Unicef untuk memahami aturan logistik yang terlibat dalam penyelarasan bantuan kemanusiaan dan melihat contoh pek pembelajaran dan makanan yang bakal diagihkan kepada keluarga terjejas.
“Lawatan tersebut benar-benar membuka mata kami. Kami berpeluang menyaksikan sendiri usaha yang dijalankan oleh rakan kemanusiaan kami di kawasan terjejas, yang sering kali dalam keadaan yang amat mencabar,” kongsi Encik Adnan.
Tambahnya, beliau juga melihat dedikasi rakan kemanusiaan dan masyarakat yang membantu kanak-kanak dengan sedaya upaya walaupun mempunyai sumber yang terhad.
Dalam lawatan sama ke Jordan, mereka juga telah menyertai pasukan dari badan kemanusiaan Singapura, Humanity Matters (HM), untuk menerima bekalan bantuan kemanusiaan yang akan dihantar ke Gaza menggunakan trak.
Menurutnya lagi, lawatan sebegini mencerminkan penglibatan RLAF dalam pelaksanaan projek di samping menyokong rakan kemanusiaan dalam pengagihan bantuan kemanusiaan.
PERANAN RAKAN KEMANUSIAAN
Namun, rakan kemanusiaan RLAF bukan sahaja melaksanakan projek kemanusiaan.
Menurut Encik Adnan, rakan kemanusiaan RLAF juga mengenal pasti keperluan kemanusiaan di kawasan terjejas.
Sebelum RLAF memulakan sebarang kempen pengumpulan dana, mereka akan melibatkan rakan pelaksanaan untuk memahami keadaan sebenar dan melihat bagaimana dana yang bakal dikumpul dapat disalurkan untuk bantuan.
“Sebagai contoh, dengan penglibatan kami dengan Unicef, kami memahami selain keperluan kemanusiaan yang mendesak, kanak-kanak yang terjejas akibat konflik di Gaza juga memerlukan akses kepada pendidikan.
“Dengan kerosakan dan kemusnahan sekolah dan prasarana pendidikan, kami mengenal pasti ruang pembelajaran sementara sebagai salah satu bidang penting yang memerlukan sokongan,” kata beliau.
Tambahnya, susulan itu, keperluan pendidikan menjadi salah satu tumpuan dalam perjanjian kerjasama RLAF bersama Unicef.
Pada 2024, RLAF juga telah menyerahkan dana sekitar $2.1 juta kepada Unicef untuk pembinaan ruang pembelajaran, sokongan sosial dan emosi, serta perkhidmatan keperluan bagi 24 guru dan 840 pelajar.
Encik Adnan juga akur bahawa dalam pengagihan bantuan kemanusiaan, keadaan boleh berubah dan menjejaskan pengagihan kepada mereka yang terjejas.
Justeru, RLAF akan memastikan perhubungan yang konsisten dengan rakan kemanusiaan untuk memantau sebarang perkembangan.
BANTUAN KE NEGARA LAIN
Namun, usaha pengumpulan dana RLAF tidak tertumpu pada Gaza sahaja.
Sejak penubuhan yayasan itu pada 2009, RLAF telah memulakan beberapa usaha kemanusiaan dan sokongan untuk masyarakat sejagat yang terjejas dengan krisis atau bencana alam seperti Indonesia, Turkey, Sudan, Afghanistan dan Kemboja.
Dalam usaha sebegini, yayasan tersebut juga akan bekerjasama dengan rakan kemanusiaan lain seperti Palang Merah Singapura (SRC), Mercy Relief dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian (UNHCR) untuk menyampaikan bantuan dan sokongan kepada masyarakat terjejas.
Walaupun RLAF mempunyai beberapa kempen pengumpulan dana, Encik Adnan berkata masyarakat Singapura kekal murah hati dan sedia menyumbang untuk keperluan kemanusiaan di dalam rantau ini, mahupun di luar.
“Keutamaan kami adalah untuk memastikan kemurahan hati masyarakat Singapura menyokong bantuan kemanusiaan yang bermakna,” tambahnya.
Mengimbau tentang pengalamannya mendekati kanak-kanak di pusat pembelajaran Unicef pada 2025, Encik Adnan berkata:
“Meskipun kanak-kanak tersebut telah melalui pelbagai kesukaran, mereka tetap menyimpan impian yang besar.
“Ada yang bercita-cita menjadi doktor, jurutera, jururawat dan menceburi pelbagai bidang profesional lain, manakala yang lain berharap dapat menyumbang secara bermakna kepada masyarakat.
“Namun, impian yang paling dekat di hati mereka adalah untuk kembali ke rumah mereka di Gaza dan membina semula kehidupan mereka,” kata beliau.
“
Kami kekal komited untuk bekerjasama dengan rakan kemanusiaan yang dipercayai di kawasan terjejas bagi memastikan sumbangan tersebut disalurkan kepada masyarakat yang memerlukan bantuan kemanusiaan dengan bermakna. Sebagai contoh, dengan penglibatan kami dengan Unicef (Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), kami memahami selain keperluan kemanusiaan yang mendesak, kanak-kanak yang terjejas akibat konflik di Gaza juga memerlukan akses kepada pendidikan.
