Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sekilas 5 ‘Jejak Berjalan@CDC’ di kejiranan anda

Aug 16, 2025 | 7:50 AM
Jejak Berjalan@CDC, taman di kejiranan
Sepasang lelaki dan perempuan berjalan kaki di laluan pejalan kaki Punggol Promenade, yang boleh diakses dengan mengikuti laluan Jejak Berjalan@CDC. - Foto ST

Sama ada anda seorang yang giat berlari atau pejalan kaki santai, rutin senaman anda kini boleh menjadi lebih menarik dan menyeronokkan dengan Jejak Berjalan@CDC.

Lebih menarik, senaman anda itu boleh digabungkan dengan pengalaman di alam maya menerusi telefon bijak anda.

Jejak Berjalan@CDC merangkumi lima jejak berjalan atau ‘walking trail’ di serata Singapura yang diterajui oleh lima Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) dengan kerjasama Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech).

Kegiatan berjalan kaki ini digabungkan dengan cabaran interaktif yang boleh diakses menerusi laman web CrowdTaskSG atau Platform Tugasan AwamSG.

Antara lain, anda boleh meneroka Stesen Kereta Api Bukit Timah, Little Guilin, Fort Canning Centre, Pantai East Coast dan Jambatan Punggol Promenade.

Inisiatif ini bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup aktif, mengukuhkan ikatan masyarakat, dan meraikan warisan kaya Singapura. Selain itu, ia juga bertujuan mengetengahkan budaya tempatan, sejarah dan kawasan hijau sambil menggalak penduduk berinteraksi dengan keluarga, rakan dan jiran.

Dalam memberikan pengalaman lebih menyeronokkan, peserta boleh mengumpul lima maskot digital dikenali sebagai ‘CDC Ollies’ sambil menyelesaikan cabaran di setiap jejak berjalan kaki.

Sebanyak 5,000 warga Singapura dan penduduk tetap (PR) berusia 15 tahun dan ke atas pertama yang melengkapkan kesemua lima jejak berjalan kaki atau mengumpulkan kesemua lima CDC Ollies masing-masing layak menerima baucar RedeemSG bernilai sehingga $10 yang boleh dibelanjakan di pasar raya seperti FairPrice, Cold Storage dan Sheng Siong.

Sekiranya anda tidak sempat untuk mengumpul kesemua lima atau menyelesaikan jejak berjalan kaki berkenaan, usah bimbang.

Perjalanan jejak berjalan kaki anda akan disimpan pada titik semakan yang telah diselesaikan, dan jejak boleh disambung semula apabila anda kembali dengan mendaftar di titik semakan terakhir.

Jejak Berjalan Kaki CDC Central Singapore

Jejak Berjalan Kaki CDC Central Singapore.
Jejak Berjalan Kaki CDC Central Singapore. - Foto GOVERNMENT TECHNOLOGY AGENCY OF SINGAPORE 

Jejak berjalan kaki sepanjang 4.7 kilometer (km) itu membawa anda meneroka kawasan pusat bandar yang kaya dengan sejarah dan budaya. Bermula di Kreta Ayer Square, peserta boleh berjalan di laluan bawah tanah Jambatan Elgin dan lalui mercu tanda seperti Dewan Konsert Victoria dan Balai Bomba Central.

Jejak ini, yang menawarkan kombinasi pemandangan prasarana pusat bandar dan warisan kolonial berakhir di Pusat Fort Canning.

Jejak Berjalan Kaki CDC North East

Jejak Berjalan Kaki CDC North East.
Jejak Berjalan Kaki CDC North East. - Foto GOVERNMENT TECHNOLOGY AGENCY OF SINGAPORE 

Sepanjang jejak berjalan kaki 4.5km di Punggol ini, anda boleh menikmati pemandangan menarik dan prasarana moden. Jejak berkenaan bermula di Punggol Waterway Point dan mambawa anda ke tapak bersebelahan Safra Punggol.

Menyusuli itu, anda boleh berjalan mengikuti laluan sepanjang badan air Punggol Waterway ke tapak berdekatan pembangunan bersepadu Oasis Terrace dan seterusnya ke Jambatan Punggol Promenade.

Jejak berjalan tersebut berakhir di Daerah Digital Punggol (PDD).

Jejak Berjalan Kaki CDC North West

Jejak Berjalan Kaki CDC North West.
Jejak Berjalan Kaki CDC North West. - Foto GOVERNMENT TECHNOLOGY AGENCY OF SINGAPORE

Jejak berjalan kaki CDC North West adalah yang terpanjang antara lima jejak dalam inisiatif Jejak Berjalan@CDC.

Sepanjang 5.5km, peserta boleh menikmati landskap semula jadi yang subur dan kehijauan.

Bermula dari laluan di luar stesen MRT Cashew, peserta boleh bergerak ke Hillview Road untuk masuk ke Koridor Kereta Api.

Ini termasuk menuju ke kuari yang terletak dalam Hutan Simpanan Bukit Timah, yang merupakan lokasi yang menyajikan peluang memetik foto yang menakjubkan.

Jejak Berjalan Kaki CDC South East

Jejak Berjalan Kaki CDC South East.
Jejak Berjalan Kaki CDC South East. - Foto GOVERNMENT TECHNOLOGY AGENCY OF SINGAPORE

Jika anda kerap ke Pantai East Coast untuk berkelah atau menyaksikan matahari terbit, jejak berjalan kaki CDC South East menawarkan cara baru untuk menghayati pemandangan tersebut bersama keluarga.

Laluan sejauh 4.9km ini membawa anda menyusuri pesisir pantai yang dipenuhi pemandangan laut dan angin bayu yang menyegarkan.

Bermula di Fort Tanjong Katong, anda akan bergerak ke Coastal Playgrove yang seluas 4.5 hektar. Ia menempatkan gelongsor luar tertinggi di Singapura, kawasan permainan air dan taman permainan berkonsepkan alam semula jadi.

Seterusnya, singgah ke dek pemerhatian Pantai Amber sebelum menuju ke pesisiran pantai untuk melihat ombak memukul tebing batu. Perjalanan berakhir di Longkang Besar Siglap.

Jejak Berjalan Kaki CDC South West

Jejak Berjalan Kaki CDC South West.
Jejak Berjalan Kaki CDC South West. - Foto GOVERNMENT TECHNOLOGY AGENCY OF SINGAPORE

Jejak Berjalan Kaki South West membawa anda menyusuri keindahan alam, warisan, dan mercu tanda ikonik di kawasan itu.

Bermula di luar stesen MRT Beauty World (Pintu Keluar C), peserta boleh berjalan kaki ke Bukit Batok East Avenue 6 sebelum memasuki Taman Alam Semula Jadi Bukit Batok.

Seterusnya, laluan tersebut akan membawa peserta ke Hillview dan berakhir di Little Guilin, iaitu sebuah taman yang terkenal dengan landskap berbatu granit.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg