Sekilas COS MCCY
Lebih banyak gelanggang bola pikel, badminton akan dibina
Sebanyak 50 gelanggang baru itu merangkumi lapan gelanggang bola pikel yang akan dibuka di Terminal Bas Little India dalam masa beberapa bulan lagi, serta lapan gelanggang pelbagai guna untuk bola pikel, tenis dan bola keranjang yang telah beroperasi di The Kallang sejak Januari.
Setakat ini, orang awam boleh mengakses lebih 550 gelanggang badminton dan lebih 80 gelanggang bola pikel di seluruh negara melalui wadah tempahan dalam talian, MyActiveSG+.
Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) masih dalam proses menetapkan lokasi bagi baki gelanggang serba guna yang baru dan akan berkongsi butiran lanjut apabila sudah bersedia.
Somerset Belt Youth CoLab perkasa belia bentuk program untuk rakan sebaya
MCCY sedang membangunkan Jalur Somerset atau Somerset Belt, yang meliputi *SCAPE, Taman Belia Somerset, dan Taman Lungsur Somerset, sebagai sebuah ruang meriah di tengah-tengah Orchard Road, khusus untuk belia.
Melalui wadah itu, 15 anggota gerakan belia, Youth CoLab, dengan sokongan *SCAPE, mampu membangun keyakinan diri dan rasa memiliki melalui tanggungjawab sebenar, termasuk pengurusan ruang, kegiatan dan bajet program yang dikendalikan.
*SCAPE akan menyediakan latihan, pementoran, akses kepada ruang kerja, serta bajet tahunan khusus sebanyak $300,000 bagi Youth CoLab menerajui dan mengurus ruang serta kegiatan di *SCAPE dan Jalur Somerset.
Geran $10j dilancar galak bentuk Pasukan CCA Berbilang Sekolah
Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik David Neo, mendedahkan rancangan MCCY dan Kementerian Pendidikan (MOE) memperkenalkan Kegiatan Kokurikulum (CCA) Kerjasama Strategik (SP-CCA).
Ini memandangkan sekolah kini mengambil kohort lebih kecil manakala pelajar pula mempunyai minat lebih pelbagai, lantas sesetengah sekolah mungkin tidak mempunyai bilangan pelajar yang mencukupi untuk memulakan kumpulan CCA yang diinginkan.
Bagi menggalakkan lebih banyak kerjasama, setiap kumpulan akan menerima $200,000 sepanjang tempoh empat tahun untuk dilaburkan dalam kalangan sekolah rakan kongsi.
Pembiayaan itu boleh membiayai sebahagian kos kemudahan, pengangkutan, atau kejurulatihan.
Lebih 1.2j rakyat S’pura daftar bagi Pas Budaya SG
Daripada jumlah tersebut, tujuh dalam 10 orang tidak pernah menghadiri sebarang program seni dan budaya tempatan dalam tempoh lima tahun lalu, kata Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng, semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) MCCY pada 5 Mac.
Menurutnya, dalam kalangan mereka yang telah menggunakan kredit masing-masing, sembilan daripada 10 orang menyatakan minat untuk menghadiri satu lagi program tempatan.
Menjawab saranan agar menambah nilai berkala bagi Pas Budaya, diskaun untuk pengguna kali pertama, dan kredit bonus, Encik Baey menjawab:
“Memandangkan skim ini baru sahaja dilancarkan, MCCY akan memantau trend penggunaan sebelum membuat sebarang penyesuaian.”
Walau demikian, perangkaan yang memberangsangkan itu menunjukkan Pas Budaya telah membantu rakyat Singapura menerokai kepelbagaian landskap budaya tempatan, tambahnya.

