Topik diikuti
Pergi ke BHkuSektor runcit, F&B S’pura perlu sokongan hadapi impak Laluan RTS
Sektor runcit, F&B S’pura perlu sokongan hadapi impak Laluan RTS
Kajian badan niaga, restoran dan peruncit usul skim baucar baru bagi pacu sektor runcit, F&B tempatan
Sektor runcit, F&B S’pura perlu sokongan hadapi impak Laluan RTS
Pemerintah Singapura dan pihak industri disaran memperkenalkan skim baucar baharu yang diperluas bagi mendorong orang ramai berbelanja dalam sektor runcit serta makanan dan minuman (F&B) tempatan, dengan Laluan Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru-Singapura bakal siap pada Januari 2027.
Langkah ini perlu diambil, selain sokongan dalam menawarkan barangan yang lebih kukuh, terutamanya dalam kategori dan di sekitar lokasi yang paling terkesan akibat tumpuan berbelanja yang lebih menjurus ke Johor Bahru.
Usulan ini merupakan salah satu daripada tiga perihal yang dikenal pasti Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), Persatuan Restoran Singapura (RAS) dan Persatuan Peruncit Singapura (SRA) dalam membantu perniagaan setempat menyesuaikan diri dan bersaing.
Ia diketengahkan menerusi satu hasil kajian bersama tiga pihak itu, yang dikeluarkan pada 16 Julai.
Kajian itu meneliti bagaimana Laluan RTS mampu mencorak semula perbelanjaan pengguna, aliran pelancongan serta daya saing perniagaan dalam sektor runcit serta F&B di Singapura.
Kajian tersebut turut menekankan bahawa pemerintah dan sektor perusahaan juga harus menggalakkan tempoh penginapan yang lebih lama dan perbelanjaan yang lebih tinggi di Singapura bagi pelancong yang menggunakan kemudahan RTS.
Ia mampu dihasilkan dengan memperkasa daya tarikan bernilai tinggi Singapura dari aspek pengalaman, acara serta penggunaan.
Di samping itu, mereka perlu menangani tekanan kos struktur dan menyokong model operasi serta perniagaan baharu bagi pengusaha runcit dan F&B, bagi membantu mereka menyesuaikan diri dan merebut peluang baharu dalam laluan Singapura-Johor yang lebih bersepadu.
Ini termasuk menyokong penambahbaikan aset melalui insentif yang disasarkan dan memudahkan pengoptimuman rentas sempadan.
Ini beserta mengurangkan kekangan tenaga kerja jangka pendek melalui semakan semula dasar tenaga kerja asing, serta menggalakkan pendekatan penyewaan yang mampan dan mudah menyesuaikan diri.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SBF, Encik Kok Ping Soon, berkata:
“Laluan RTS bakal mencorak semula cara pengguna menjelajah, membeli-belah dan menjamu selera di seluruh Singapura dan Johor Bahru.
“Ini mewujudkan peluang bagi perniagaan Singapura untuk menarik lebih ramai pelawat, namun ia juga meningkatkan tekanan persaingan, terutamanya bagi sektor runcit dan F&B kita.”
Beliau menambah, peralihan itu bersifat struktural, dan bukan berperingkat.
Pihak perniagaan mesti menyesuaikan diri dengan persaingan harga menerusi langkah memperkukuh tawaran, pengalaman dan daya penghasilan mereka, kongsinya.
Manakala bagi pihak industri dan pemerintah, beliau berkongsi bahawa mereka “harus bekerjasama untuk membantu peniaga bersaing dalam pasaran rentas sempadan yang lebih terhubung.”
Kajian itu juga menegaskan keperluan kerjasama lebih kukuh dalam kalangan persatuan perdagangan, pemilik premis, pihak berkepentingan pelancongan, dan agensi pemerintah.
Ini perlu demi memastikan pihak perniagaan dapat bertindak balas dengan lebih baik terhadap trend pengguna yang berubah-ubah serta peningkatan ketersambungan rentas sempadan.
Presiden RAS, Encik Benjamin Boh, berkata sektor perniagaan mesti diperkasa dengan ketangkasan tenaga kerja dan fleksibiliti operasi, bagi mendorong perbelanjaan daripada kedua-dua penduduk tempatan dan pelancong.
Presiden SRA, Encik Ernie Koh, pula berkata beliau menantikan langkah mitigasi atau meredakan kesan buruk daripada pemerintah dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, sementara peruncit beralih kepada perniagaan berasaskan pengalaman, dan pusat beli-belah pula menukar gabungan kedai sedia ada.
Kajian yang dijalankan pada Mac itu melibatkan tinjauan terhadap sekitar 1,700 responden di Singapura dan 400 responden di Johor.
Ia tidak mengambil kira penduduk Johor yang bekerja di Singapura bagi memastikan kajian tersebut hanya mencerminkan tingkah laku pelawat yang datang untuk tujuan riadah sahaja.
Kajian itu memanfaatkan pelbagai sumber data termasuk rekod transaksi lampau Mastercard, tinjauan pengguna, statistik pemerintah serta sesi rundingan bersama pihak perusahaan.
