Kebanyakan individu yang memberikan maklum balas dalam rundingan awam mengenai semakan sistem Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) menyokong penggabungan Kategori A dan B serta lebih menggemari struktur rebat lima peringkat.

Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow berkata struktur itu menetapkan kadar rebat dan caj tambahan berdasarkan nilai pasaran terbuka (OMV) kereta, bagi “mewujudkan semula perbezaan premium COE yang berkekalan antara kereta pasaran umum dengan kereta mewah”.

Ketika berucap di Parlimen pada 3 November, beliau berkata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sedang meneliti maklum balas rundingan awam yang berakhir pada 2 November, dan belum membuat sebarang keputusan.

Semakan itu dijangka selesai menjelang separuh pertama 2027, dengan cadangan supaya pembeli kereta bernilai tinggi membayar harga lebih tinggi berbanding kereta pasaran umum.

Ketika ini, COE Kategori A meliputi kereta pasaran umum dan kenderaan elektrik (EV), manakala Kategori B bagi kereta dan EV yang lebih besar serta berkuasa tinggi.

LTA mengemukakan dua pilihan untuk dipertimbangkan, iaitu struktur tiga atau lima peringkat.

Di bawah pilihan tiga peringkat, kereta dengan OMV terendah, iaitu harga sebelum cukai, akan menerima rebat $15,000. Kereta dalam peringkat pertengahan membayar harga penuh tanpa rebat atau caj tambahan, manakala kereta dalam peringkat tertinggi dikenakan caj tambahan $15,000.

Struktur lima peringkat menambah dua peringkat dengan rebat atau caj tambahan $7,500.

Encik Siow berkata kebanyakan peserta lebih menggemari sistem lima peringkat kerana ia mengurangkan lonjakan harga yang mendadak apabila sesebuah kenderaan dikelaskan dalam peringkat lebih tinggi yang membawa kepada bayaran lebih tinggi.

Anggota Parlimen (AP) Encik Edward Chia (GRC Holland-Bukit Timah), yang mula mencadangkan penggabungan kategori kereta pada Mac, bertanya sama ada LTA mempertimbangkan penetapan rebat atau caj tambahan berdasarkan peratusan harga COE, bukan jumlah tetap.

Encik Siow berkata pendekatan ini boleh mengurangkan lagi lonjakan harga mendadak, tetapi pembeli tidak akan mengetahui jumlah sebenar rebat atau caj tambahan sebelum bidaan COE bermula.

Beliau menambah bahawa persaingan bagi penggunaan tanah semakin sengit, dengan jalan raya sudah meliputi lebih 12 peratus keluasan Singapura. Justeru, pengangkutan awam perlu diutamakan berbanding pemilikan kereta.

Menurutnya, hasil COE purata $5 bilion setahun sepanjang sedekad lalu, berbanding perbelanjaan pengangkutan awam $6 bilion hingga $7 bilion setahun, termasuk subsidi tambang.

Tanpa hasil COE, sumber pembiayaan lain diperlukan bagi pengangkutan awam yang digunakan jutaan penduduk setiap hari.

Beliau berkata teksi dan kereta sewa privet menawarkan pilihan lebih berpatutan tanpa kos pemilikan kereta.

AP Cik Choo Pei Ling (GRC Chua Chu Kang) dan AP Cik Tin Pei Ling (Marine Parade-Braddell Heights) membangkitkan persoalan mengenai kemampuan membeli kereta pasaran umum.

Encik Siow berkata sesetengah isi rumah mungkin lebih gemar memiliki kereta, namun pemerintah perlu menyokong semua keluarga, termasuk yang tidak memiliki atau tidak mahu memiliki kereta.

Beliau menambah bahawa keluarga turut menerima pelbagai bantuan, termasuk subsidi penjagaan kanak-kanak, bantuan kesihatan dan sokongan lain bagi meringankan perbelanjaan isi rumah.

Menurutnya, keluarga boleh menentukan cara terbaik menguruskan kos tambahan pemilikan kereta selepas mengambil kira subsidi tersebut.

AP Cik Jessica Tan (GRC East Coast) bertanya mengenai kemampuan golongan bekerja sendiri dan perniagaan kecil membeli kenderaan. Encik Siow berkata perkara itu akan diteliti.

AP Encik Yip Hon Weng (Yio Chu Kang) pula mencadangkan penanda aras pendapatan selain OMV bagi menilai kemampuan rakyat Singapura membeli kereta.

Encik Siow berkata dasar COE bertujuan mengawal jumlah kereta, bukan harganya, sambil memastikan lebih ramai penduduk dapat menggunakan perkhidmatan kereta dan pengangkutan awam.

Dalam kemas kini Facebook pada 3 November, LTA berkata lebih 4,000 maklum balas diterima sepanjang rundingan awam tersebut.