Semangat satukan jiran, anjur kelas agama percuma di rumah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Semangat satukan jiran, anjur kelas agama percuma di rumah

Dua wanita kerjasama dengan MTFA dan Pergas realisasi impian perkasa ilmu ukhrawi untuk kaum Hawa, kanak-kanak
Dec 7, 2025 | 5:30 AM

Semangat satukan jiran, anjur kelas agama percuma di rumah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Lydia Susiyanti Sukarbi, Cik Patimah Baba,
Dua jiran tetangga, Cik Lydia Susiyanti Sukarbi (kiri) dan Cik Patimah Baba (kanan), sedia menyambut kehadiran kanak-kanak di estet perumahan Ang Mo Kio bagi kelas agama secara percuma setiap Rabu malam. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Bermula dengan niat seorang ibu untuk memberikan kelas agama kepada anak-anaknya, dan seorang jiran yang berharap dapat memperkukuh ilmu agamanya, satu usaha kecil berkembang menjadi inisiatif akar umbi untuk menyatukan penduduk di Blok 224, Ang Mo Kio (AMK) Avenue 1.

Cik Lydia Susiyanti Sukarbi, 36 tahun, ibu enam anak antara usia dua dengan 16 tahun, pada awalnya hanya berhasrat mencari kelas agama bagi anak-anaknya sambil mendalami ilmu agamanya sendiri.

Namun, beliau tidak mahu menikmati manfaat itu sendirian dan ingin berkongsi peluang sama-sama menimba ilmu penuh nilai murni dengan jiran tetangga yang memerlukannya.

“Kami tinggal agak jauh dari masjid dan ada keluarga di sini mempunyai masalah pengangkutan untuk menghantar anak mereka ke kelas agama secara tetap,” kata pemudah cara masyarakat atau ‘community animator’.

Tugasnya memperkasa orang ramai untuk mengenal pasti keperluan, membangun kemahiran dan mengusahakan tindakan kolektif bagi kemajuan diri.

Beliau juga jambatan antara penduduk yang membantu merealisasikan idea menjadi sesuatu yang bermakna untuk semua.

Awalnya, beliau menerajui projek Breakfast Buddy yang menyediakan sarapan ringkas percuma setiap hari untuk kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah sejak Februari lalu (2025).

Kini, beliau menyedari kepentingan membawa pembelajaran agama kepada mereka yang mungkin berdepan kekangan sumber atau isu pengangkutan.

Berbekal semangat kemasyarakatan itu, beliau menghubungi Persatuan Dana Amanah Muslimin (MTFA) untuk mendapatkan sokongan dalam menyediakan ruang pembelajaran bagi kanak-kanak dan kaum ibu dari flat sewa yang sama dengannya.

Pada Julai 2025, dengan bantuan MTFA dan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) yang menyediakan tenaga asatizah, beliau membuka rumahnya sebagai ruang untuk mengendalikan kelas agama secara percuma.

Penduduk di estet itu kini berkumpul setiap Rabu pagi bagi kaum ibu dan malam bagi kanak-kanak untuk mengikuti kelas bersama Ustazah Musyrifah Munirah Ismail, yang merangkumi Fardhu Ain asas, kecelikan Al-Quran dan Tajwid.

Sebulan setelah inisiatif itu dijalankan, Cik Lydia menerima cadangan oleh jirannya yang hanya dikenali sebagai Cik Yana, untuk memindahkan kelas itu ke rumah seorang jiran, Cik Patimah Baba.

Menurut Cik Yana, nenek kepada 22 orang cucu itu tinggal bersama pembantu rumah dan mempunyai ruang yang cukup luas untuk menampung kelas tersebut.

Secara kebetulan, Cik Patimah bersetuju untuk membuka rumahnya, malahan, melihat ini sebagai peluang untuk mengisi masa lapang, menyumbang kepada masyarakat dan mengurangkan rasa kesunyian.

Beliau juga meluahkan hasrat menyertai kelas agama demi memperkukuh ilmunya dan kini menjadi salah seorang peserta aktif dalam sesi kelas agama yang dikendalikan pada waktu pagi.

Hasil daripada keinginan untuk anak-anak dan diri sendiri menimba ilmu agama, Cik Lydia Susiyanti Sukarbi (kiri) dan Cik Patimah Baba, membuka rumah mereka supaya jiran tetangga juga boleh meraih manfaat yang sama di bawah program ‘Ulum Ihsan’.
Hasil daripada keinginan untuk anak-anak dan diri sendiri menimba ilmu agama, Cik Lydia Susiyanti Sukarbi (kiri) dan Cik Patimah Baba, membuka rumah mereka supaya jiran tetangga juga boleh meraih manfaat yang sama di bawah program ‘Ulum Ihsan’. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

“Nenek berasa gembira dapat lihat anak-anak datang ke rumah nenek untuk menimba ilmu,” katanya yang berusia 80 tahun sewaktu ditemui oleh Berita Minggu (BM).

Ketika BM mengunjungi kediamannya, jelas kelihatan keakraban antara kanak-kanak, Cik Lydia dan Cik Patimah.

Sikap penyayang Cik Patimah juga terserlah – bertanya sama ada mereka sudah makan, berbual mesra, dan menyediakan snek serta minuman ketika waktu rehat.

Kongsinya, kanak-kanak yang datang sering mengucapkan “I love you a million, Nenek!”. Mereka menghargai setiap pemberian tidak kira kecil atau besar.

Kanak-kanak yang menghadiri kelas ini juga memberikan maklum balas positif, menghargai tempat yang cukup selesa serta Ustazah yang memberikan pengajaran yang berkesan dan mudah difahami.

“Nenek dan Mummy (Cik Lydia) melayan kami seperti keluarga. Saya bersyukur kepada Nenek kerana menyediakan rumahnya untuk kami belajar”, kata seorang daripadanya, yang enggan namanya disebutkan.

Bagi Ustazah Musyrifah, meskipun baru sahaja mengenali penduduk di estet itu, perubahan yang berlaku – walaupun halus – tetap jelas dirasakan.

“Anak-anak yang dahulunya pemalu kini membaca lebih yakin, yang gelisah duduk lebih lama dan yang pendiam mula bertanya. Bagi mereka yang lanjut usia – meskipun dengan penglihatan lemah atau kesihatan kurang baik – tidak pernah berputus asa juga

“Setiap peningkatan kecil terasa seperti kemenangan. Perubahan ini mungkin kelihatan kecil, tetapi bagi saya, ia tanda Allah meletakkan barakah dalam usaha mereka.” katanya yang juga merupakan tutor sepenuh masa bagi pelajar madrasah di Singapura.

Menurut pengurus Hab Pendidikan Ihsan (IEH) di bawah MTFA, Encik Muhammad Nasrullah Radzwan, yang turut hadir di sesi itu, inisiatif ini disokong oleh program ‘Ulum Ihsan’ iaitu kerjasama dengan Pergas dalam memadankan para asatizah bertauliah di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) dengan kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah, sekali gus memudahkan akses kepada pendidikan asas Islam.

Program ini membolehkan ramai keluarga kurang berkemampuan dijangka mendapat ilmu agama di rumah, melalui penugasan asatizah untuk membawa pengajian Islam berstruktur terus ke kediaman mereka.

“Dengan ini, kami membawa keluarga dan para jiran berkumpul bukan sekadar mengeratkan hubungan, malah juga untuk belajar tentang agama.

“Kami juga memberikan sumbangan wang kepada mereka yang menawarkan rumah mereka bagi kelas sedemikian untuk menyediakan makanan dan minuman.

“Kami turut membuka ruang kerjasama dengan pertubuhan yang berminat untuk bersama-sama menganjurkan program seperti ini, demi memperkukuh jaringan sokongan masyarakat dan memperluaskan manfaat,” tambah Encik Muhammad Nasrullah lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg