Tidak ramai individu yang rela berkorban masa dan tenaga untuk terus menjalani Perkhidmatan Negara (NS) selepas mereka memenuhi tempoh wajib.
Ini terutama selepas mereka menumpukan perhatian kepada usaha membangun kerjaya, membina keluarga dan komitmen peribadi lain.
Buat anggota kerahan, Encik Halmie Hussein Mattar, beliau ingin terus menabur bakti kepada negara walaupun usianya kini sudah mencecah 47 tahun.
Beliau antara 805 kakitangan berpakaian seragam dari pusat Kementerian Pertahanan (Mindef) dan 401 Pegawai Eksekutif Pertahanan (DXO) dan awam yang dinaikkan pangkat di upacara Majlis Kenaikan Pangkat Mindef dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) pada 27 Jun.
Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, hadir menyampaikan sijil di majlis tersebut.
Leftenan Kolonel Kanan (SLTC NS) Halmie akan dinaikkan pangkat kepada Kolonel (NS) bermula 1 Julai selepas menabur bakti di SAF lebih dari 26 tahun.
Bercakap kepada Berita Harian (BH), beliau berkata masih lagi bertekad dalam meneruskan perkhidmatannya untuk negara.
Beliau berkata usaha ini tidak mampu dicapai tanpa sokongan keluarga dan hubungan persahabatan yang menjangkau lebih dari 10 tahun.
“Pendorong nombor satu sudah tentu isteri saya (Cik Erniwati Abdul Rahim).
“Untuk saya keluar dan melaksanakan kewajipan saya, beliau yang bantu uruskan keperluan di rumah. Beliau berjaya bimbing kedua anak saya untuk harungi peperiksaan PSLE dan GCE ‘O’,” katanya yang mempunyai dua cahaya mata iaitu Encik Muhamad Hazim Halmie Mattar, 20 tahun dan Batrisyia Zahra Halmie Mattar, 16 tahun.
“Sehingga hari ini, anak-anak bangga dengan saya. Ketika kawan-kawan anak berada di rumah kami, anak lelaki akan menunjukkan pingat saya.
“Saya gembira melihat beliau bangga dengan pencapaian saya,” tambahnya yang akan melihat anak sulungnya itu melangkah masuk ke Perkhidmatan Negara pada 2024.
Beliau juga menjadikan arwah ayahnya Hussein Mattar sebagai inspirasi.
Ayahnya merupakan seorang Lans Koperal sewaktu melakukan Perkhidmatan Negara pada 1970-an dan kisah yang beliau kongsikan sewaktu di perkhidmatan negara seperti menyelesaikan tugasan dengan secepat mungkin memberi SLTC (NS) Halmie inspirasi untuk berikan 110 peratus kepada SAF.
Selain daripada sokongan keluarga, hubungan akrab bersama teman seunit juga memainkan peranan penting.
“Hubungan ini bermula lebih dari 10 tahun dahulu dan terdapat tujuh atau lapan daripada kami yang masih khidmat di sini. Untuk saya berhenti sekarang dan meninggalkan mereka, ia seperti tidak kena untuk saya.”
“Hubungan kami menjangkau di dalam dan luar kem. Kami bukan sahaja bantu satu sama lain di dalam kem, malah jika kami mempunyai masalah di luar, kami boleh mengharapkan satu sama lain,” tambah Encik Halmie, yang bekerja sebagai Pengarah Dasar Kesihatan Awam di Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
Menurutnya, kepercayaan ini dibina hasil daripada tempoh persahabatan mereka.
Encik Halmie juga pernah memperoleh beberapa pencapaian sebagai anggota kerahan Perkhidmatan Negara (NSman).
Unit beliau pernah memenangi Unit Tentera Terbaik (Army Best Unit) selama lima tahun ketika mereka melakukan 10 kitaran khidmat negara.
Pada 2022, beliau dan pasukannya juga pernah diberi amanah daripada SAF untuk mengawasi Sambutan Hari Kebangsaan di kawasan kejiranan.
Mereka diberi peluang bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk melakarkan sambutan Hari Kebangsaan tersebut.
Baginya, detik itu sangat berharga kerana anggota kerahan Perkhidmatan Negara diberikan kepercayaan untuk menunjukkan kebolehan mereka dalam melaksanakan acara yang besar untuk Singapura.
Katanya, beliau menghargai pengiktirafan Mindef dan SAF yang memberinya peluang dan tanggungjawab dalam memimpin kumpulan tenteranya.
Menurutnya, ini adalah bukti kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap anggota kerahan Perkhidmatan Negara sepertinya.
Melangkah ke hadapan, beliau mengharapkan agar Singapura maju dan dapat menjadi lebih baik.
Beliau percaya untuk generasi akan datang, Singapura tidak seharusnya mengambil sikap sambil lewa akan ketenangan dan kestabilan yang sedia ada dan mendidik mereka tentang perkara itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg