Sembcorp tolak dakwaan loji elektrik, air UAE terjejas
Sembcorp Industries pada 9 Mac menafikan laporan media yang mendakwa loji kuasa dan air Fujairah F1 miliknya di Amiriah Arab Bersatu (UAE) mengalami kerosakan akibat peluru berpandu Iran.
Loji Tenaga dan Air Bebas Salalah (IWPP) Fujairah F1 di Fujairah dimiliki sebanyak 40 peratus oleh kumpulan itu.
Sembcorp Industries juga mengendalikan IWPP Salalah dan Projek Kuasa Bebas Solar Manah II, kedua-duanya terletak di Oman.
“Operasi di ketiga-tiga kemudahan masih diteruskan. Memandangkan keadaan masih berlarutan, Sembcorp terus memantaunya dengan teliti. Semua pekerja Sembcorp selamat,” katanya dalam pemfailan kepada Bursa Saham SGX sebelum dagangan bermula pada 9 Mac.
Langkah berjaga-jaga telah dilaksanakan di kemudahan tersebut, dengan keselamatan serta kebajikan pekerja Sembcorp kekal sebagai “keutamaan”, sambil syarikat memastikan operasi berjalan lancar, kata kumpulan itu.
Kenyataan Sembcorp itu dibuat selepas satu laporan Global Water Intelligence mencadangkan kerosakan tersebut, yang kemudian dipetik oleh pelbagai media termasuk South China Morning Post dan The Straits Times.
Menurut laporan penyelidikan DBS minggu lalu, Oman dan UAE menyumbang 8 peratus kepada pendapatan bersih kumpulan itu, yang susut 5 peratus kepada $448 juta pada separuh kedua tahun kewangan.
DBS berkata Sembcorp tidak mempunyai kargo LNG yang dijadualkan dari Qatar dalam tempoh empat hingga lima bulan akan datang, maka bekalannya tidak dijangka terjejas.
Dalam kenyataannya, Sembcorp berkata ia boleh bergantung pada kontrak bekalan gas asli jangka panjangnya bagi gas berpaip dan juga gas asli cecair.
Ini kerana pengaturan bekalan kumpulan itu datang daripada pelbagai sumber di dunia, dan penghantaran kargo gas asli cecair yang dijadualkan pada 2026 tidak berasal dari Timur Tengah.
Tenaga boleh diperbaharui dan penyelesaian penyimpanan tenaga turut menjadi sebahagian portfolio lebih luas syarikat itu.
Saham Sembcorp susut 2.1 peratus sejurus selepas dagangan bermula pada 9 Mac, sebelum berbalik arah dan meningkat 0.5 peratus kepada $5.75 sehingga 2.13 petang.

