Zaman remaja merupakan tahap penting dalam perkembangan manusia.
Golongan remaja mengalami perubahan fizikal, emosi dan sosial, yang amat mencabar dalam tempoh ini
Ia tempoh bagi memupuk identiti, meningkatnya pendedahan kepada tekanan luar dan mencari autonomi.
Tanpa sokongan yang tepat, semua itu boleh mengakibatkan kesan emosi yang besar.
Ketidakstabilan emosi meningkatkan risiko mengalami gangguan psikologi.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), seorang daripada tujuh anak muda berusia 10 hingga 19 tahun mengalami salah satu gangguan psikologi.
Ini bersamaan dengan 15 peratus daripada 1.3 bilion remaja di dunia – kira-kira satu perenam daripada penduduk sejagat.
Gangguan psikologi adalah antara punca utama penyakit dan ketidakupayaan dalam kumpulan penduduk ini.
Aksi membunuh diri adalah punca kematian ketiga tertinggi dalam kalangan anak muda berusia 15 hingga 29 tahun.
ia merupakan satu perangkaan yang membimbangkan dan menekankan keperluan mendesak untuk mengambil pendekatan pencegahan bagi kesihatan mental pada peringkat awal kehidupan.
Kemurungan dan keresahan adalah antara gangguan paling biasa dalam kalangan remaja.
Beberapa gejalanya serupa, dan dalam banyak kes, ia boleh dirawat dengan cara yang sama, termasuk melalui pelbagai terapi psikologi tersedia dan pendekatan berasaskan dadah.
Dari segi pencegahan, amalan seharian boleh membawa perbezaan.
Mengelakkan dadah, rokok dan alkohol, melibatkan diri dalam persekitaran sosial yang sihat dan kekal aktif adalah beberapa garis panduan kesihatan mental oleh WHO.
Pertubuhan antarabangsa seperti WHO turut menekankan tentang faedah kegiatan fizikal dalam meningkatkan kesejahteraan daripada sudut jasmani, psikologi dan sosial.
Walau bagaimanapun, kebanyakan penduduk dunia tidak mematuhi saranan itu, termasuk golongan muda.
Dari 2016 hingga 2022, lebih 80 peratus kanak-kanak berusia 11 hingga 17 tahun tidak mencapai sasaran 60 minit kegiatan fizikal sederhana hingga cergas setiap hari.
Banyak tabiat berubah semasa remaja, termasuk amalan sukan dan senaman, yang sering berkurangan apabila remaja memasuki peringkat sekolah menengah.
Kajian terkini mengesahkan pentingnya mengelakkan gaya hidup tidak aktif dalam meningkatkan kesihatan mental.
Kita boleh golongkan hasil kajian ini dalam empat kumpulan:
1. Remaja tidak aktif lebih murung dan resah
Golongan muda yang tidak kerap bersenam paling banyak mengalami emosi negatif (sedih, putus asa, gelisah dan bimbang).
Ini disokong oleh dua kajian terkini ke atas lebih 10,000 remaja di Sepanyol.
Pergerakan yang kerap bukan sahaja menguatkan badan, bahkan juga melindungi minda.
Dianggarkan remaja aktif sekitar 20 hingga 30 peratus kurang berkemungkinan mengalami kemurungan berbanding dengan rakan sebaya mereka yang tidak aktif.
2. Kian tinggi tahap kegiatan fizikal, kian ringan gejala
Kesan positif sukan terhadap kesihatan mental bukan sahaja bergantung pada kegiatan bersukan, bahkan juga pada intensiti dan kekerapannya.
Remaja yang tidak aktif sehingga empat kali lebih berkemungkinan mengalami kemurungan sederhana atau teruk berbanding atlet berprestasi tinggi.
Mereka yang tergolong dalam kumpulan umur ini yang berlatih lebih lama setiap minggu dan yang menyertai pertandingan, terutama di peringkat kebangsaan atau antarabangsa, menunjukkan sikap lebih baik dan tahap kebimbangan lebih rendah.
Meskipun jenis sukan itu nampaknya tidak memberi perbezaan besar, namun komitmen dan kekerapan yang diamalkan itu akan meninggalkan kesan.
Lebih aktif dan tersusun gaya hidup sukan remaja, lebih besar manfaat pada kesihatan mental mereka, terutama jika sukan adalah bahagian tetap dan ia merangsang kehidupan seharian mereka.
3. Remaja perempuan lebih derita
Berbanding lelaki, remaja perempuan lebih cenderung mengalami gejala berkaitan dengan kebimbangan dan kemurungan, terutama apabila usia remaja semakin meningkat.
Perbezaan itu menjadi lebih ketara dari usia 14 atau 15 tahun, bertepatan dengan peringkat akhir perkembangan.
Sesetengah kajian menunjukkan remaja perempuan 50 hingga 70 peratus lebih berkemungkinan mengalami kemurungan berbanding rakan sebaya lelaki.
ia besar kemungkinan berkaitan dengan perubahan hormon, sosial dan budaya.
Perubahan dalam tahap hormon estrogen, peningkatan tekanan estetik, perbandingan dengan orang lain dalam rangkaian sosial, buli dan persepsi kecekapan fizikal yang berkurangan menyumbang kepada kesan ke atas emosi itu.
Terdapat juga pandangan bahawa remaja perempuan terperangkap dalam pemikiran negatif berulang kali. Keadaan mental sebegini dikenali sebagai ruminasi.
Ini boleh meningkatkan kebimbangan dan gejala kemurungan.
Oleh itu, amat penting untuk menggalak budaya bersukan dalam kalangan remaja perempuan, membantu mereka berasa selamat, disokong dan bermotivasi dalam persekitaran positif dan sihat.
4. Faedah jangka panjang
Akhir sekali, kajian sistematik baru-baru ini menunjukkan mereka yang terlibat dalam kegiatan fizikal masa lapang semasa zaman kanak-kanak dan remaja mungkin meraih manfaat kesihatan dan tingkah laku jangka panjang.
Memandangkan empat kesimpulan itu, adalah penting bagi pihak berkuasa, jurulatih dan keluarga, serta golongan muda sendiri, memahami bahawa pergerakan yang kerap dan cergas bukan sahaja baik untuk badan – ia juga memberi manfaat dan melindungi minda.
Maka, menggalakkan senaman penting dalam membina masa depan lebih sihat dan seimbang untuk golongan muda.
Artikel ini kali pertama disiarkan dalam laman web ‘The Conversation’, iaitu penerbitan berita dan analisis berasas penyelidikan yang terkemuka di dunia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg