Satu kebakaran tercetus di deretan rumah teres di Joo Chiat pada awal pagi 17 Disember.
Seorang mangsa dibawa ke Hospital Besar Singapura (SGH) selepas terhidu asap daripada kebakaran tersebut.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), dalam satu catatan Facebook pada 17 Disember, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kebakaran itu, yang sedang marak di tiga unit rumah teres setingkat dan merebak ke unit bersebelahan di Chiku Road sekitar jam 4 pagi.
Kira-kira 20 orang dari unit terjejas dan unit berhampiran dipindahkan oleh pihak polis dan SCDF sebagai langkah berjaga-jaga, lapor The Straits Times (ST).
Kebakaran berjaya dipadamkan pada 6.45 pagi selepas anggota bomba memasang pancutan air untuk mengelilingi dan mengekang api agar tidak merebak ke luar tiga unit berkenaan.
Sebanyak tujuh pancutan air digunakan pada kemuncak usaha pemadaman api, menurut SCDF.
SCDF turut mengerahkan gabungan tangga platform bagi pemadaman dari udara serta menghalang api daripada terus merebak.
Enam unit rumah teres bersebelahan mengalami tahap kerosakan terbakar berbeza-beza, susulan kebakaran tersebut.
Seorang pekerja Bangladesh, Encik Bappy Rubayat Hossain, berkata beliau sedang tidur apabila dimaklumkan mengenai kebakaran itu.
Lelaki berusia 35 tahun itu terpaksa menyelamatkan diri dengan melalui sebuah longkang di belakang unit kediamannya kerana laluan keluar lain dihalang oleh api.
Seorang jurutera tapak dari India, Encik Kannan Alagappan, pula mendengar tiga letupan daripada kebakaran itu sekitar 4 pagi.
Beliau menambah kebakaran tersebut “sangat kuat”, dengan api menjulang sehingga kira-kira dua meter melepasi bumbung rumah teres berkenaan.
Punca kebakaran sedang disiasat, jelas SCDF.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg