Shanmugam, See Leng hadiri mahkamah bicara saman fitnah Ketua Editor TOC
Shanmugam, See Leng hadiri mahkamah bicara saman fitnah Ketua Editor TOC
Defendan gagal hadir bagi perbicaraan di Mahkamah Tinggi pada 26 Feb
Ketua Editor, The Online Citizen (TOC), Encik Terry Xu, gagal hadir bagi perbicaraan di Mahkamah Tinggi pada 26 Februari, yang diadakan bagi menentukan jumlah ganti rugi berhubung saman fitnah yang difailkan oleh dua menteri Kabinet.
Encik Xu, yang sebelum ini gagal mengemukakan pembelaan dalam saman fitnah berhubung artikel Bloomberg yang diterbitkan oleh TOC mengenai urus niaga hartanah, tidak mempunyai wakil peguam di mahkamah.
Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, dan Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, yang hadir pada perbicaraan itu, memberi keterangan secara ringkas bagi mengesahkan afidavit yang telah mereka failkan di mahkamah.
Semasa memberi keterangan, kedua-dua Encik Shanmugam dan Dr Tan telah menjawab beberapa soalan daripada Hakim Audrey Lim mengenai tarikh pelantikan mereka sebagai menteri.
Peguam Kanan, Encik Davinder Singh, yang mewakili kedua-dua menteri tersebut, mengemukakan hujah dalam kenyataan pembukaan, namun tidak memperincikan jumlah tuntutan ganti rugi itu.
Dalam kenyataan pembukaan itu, Encik Davinder berkata, oleh kerana Encik Xu gagal mengemukakan pembelaan, semua fakta yang dinyatakan dalam tuntutan menteri itu dianggap diterima oleh defendan.
Pada penghujung pendengaran selama 30 minit itu, Hakim Lim memberitahu Encik Davinder supaya memfailkan hujah penutup dalam tempoh dua minggu.
Encik Davinder kemudian perlu menghantar dokumen tersebut kepada Encik Xu melalui e-mel serta ke alamatnya di Taiwan dalam tempoh tujuh hari selepas pemfailan.
Saman fitnah terhadap Encik Xu itu berhubung dengan satu artikel Bloomberg yang diterbitkan di laman web, TOC, pada Disember 2024.
Artikel Bloomberg itu diterbitkan pada 12 Disember dan membincangkan urus niaga banglo kelas atasan (GCB) di Singapura, bertajuk, Singapore mansion deals are increasingly shrouded in secrecy’ (Urus niaga rumah agam Singapura semakin diselubungi rahsia).
Artikel yang menyebut urus niaga hartanah membabitkan Encik Shanmugam dan Dr Tan itu ditulis oleh wartawan Bloomberg, Encik Low De Wei.
Artikel berkenaan kemudian disiarkan semula oleh beberapa syarikat media, termasuk TOC dan The Edge.
Encik Shanmugam dan Dr Tan pada Disember 2024 menyatakan mereka akan mengambil tindakan terhadap syarikat media yang menyiarkan kenyataan yang mereka anggap berunsur fitnah.
Pada 6 Januari 2025, kedua-dua menteri itu memfailkan saman fitnah berasingan terhadap Bloomberg dan Encik Low.
Dalam kenyataan tuntutan mereka, kedua-dua menteri itu berkata beberapa kenyataan dalam artikel itu adalah palsu dan tidak berasas, serta bertujuan menjejas dan mempersoalkan kebolehpercayaan mereka, termasuk jawatan menteri yang mereka pegang.
Bloomberg dan Encik Low menafikan tulisan yang dipersoalkan dalam artikel berkenaan mempunyai unsur fitnah.
Tarikh perbicaraan bagi kes terhadap Bloomberg dan Encik Low telah ditetapkan pada April.
Saman terhadap Encik Xu juga telah difailkan pada 6 Januari 2025, dengan mahkamah pada 28 Januari 2025 memberi kebenaran kepada kedua-dua menteri untuk menghantar dokumen guaman kepada Encik Xu di Taiwan.
Pada 26 Ogos 2025, Hakim Lim memutuskan penghakiman ingkar memihak kepada Encik Shanmugam dan Dr Tan, dengan jumlah ganti rugi yang masih perlu ditentukan.

