Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tarikh perbicaraan ditetapkan pada April bagi saman fitnah Shanmugam,Tan See Leng terhadap Bloomberg

Jan 8, 2026 | 9:52 PM
Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam (kiri), dan Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, telah menegaskan perkataan-perkataan yang dipertikaikan dalam laporan Bloomberg adalah palsu dan tidak berasas, serta bertujuan untuk meremehkan dan mencemarkan nama baik mereka, termasuk jawatan menteri yang mereka sandang.
Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam (kiri), dan Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, telah menegaskan perkataan-perkataan yang dipertikaikan dalam laporan Bloomberg adalah palsu dan tidak berasas, serta bertujuan untuk meremehkan dan mencemarkan nama baik mereka, termasuk jawatan menteri yang mereka sandang. - Foto ZAOBAO

Penyedia berita kewangan Bloomberg dijadualkan mencabar dakwaan fitnah yang dikemukakan oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, dan Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, dalam satu perbicaraan sivil pada April.

Selepas beberapa bulan persidangan kes, tarikh perbicaraan telah ditetapkan selama lapan hari antara 7 hingga 16 April, menurut rekod mahkamah.

Kes itu melibatkan kenyataan yang diterbitkan dalam sebuah laporan Bloomberg bertarikh 12 Disember 2024 mengenai urus niaga banglo kelas baik (GCB) di Singapura, yang berjudul ‘Singapore mansion deals are increasingly shrouded in secrecy’.

Laporan tersebut merujuk kepada urus niaga GCB berasingan yang melibatkan Encik Shanmugam dan Dr Tan, dan kedua-dua menteri itu menyatakan pada 16 Disember bahawa mereka menganggap laporan itu bersifat memfitnah dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Bloomberg.

Antara lain, laporan itu menyentuh tentang penggunaan struktur amanah oleh Encik Shanmugam dalam penjualan sebuah banglo di kawasan Queen Astrid Park, serta pembelian GCB oleh Dr Tan di Brizay Park tanpa pendaftaran kaveat, sebagai contoh urus niaga hartanah berhalaman.

Kaveat ialah dokumen undang-undang yang boleh dikemukakan oleh pembeli hartanah kepada Penguasa Tanah Singapura (SLA) untuk melahirkan minat mereka terhadap sesuatu hartanah dan menghalang pihak lain daripada membelinya.

Pada 6 Januari 2025, tuntutan berasingan telah difailkan oleh kedua-dua menteri itu terhadap organisasi media berpangkalan di Amerika Syarikat itu serta wartawan yang menulis laporan berkenaan, Encik Low De Wei.

Menurut kenyataan tuntutan setebal 49 halaman mereka, para menteri itu mendakwa laporan tersebut difahamkan sebagai membawa maksud secara salah bahawa mereka telah mengambil kesempatan daripada ketiadaan semak dan imbang atau keperluan pendedahan untuk menjalankan urus niaga hartanah mereka secara tidak telus.

Mereka berhujah ini bertujuan untuk menyembunyikan urus niaga tersebut dan mengelakkan penelitian awam, termasuk berkaitan kemungkinan pengubahan wang haram, lapor The Straits Times (ST).

Encik Shanmugam dan Dr Tan menegaskan perkataan-perkataan yang dipertikaikan dalam laporan itu adalah palsu dan tidak berasas, serta bertujuan untuk meremehkan dan mencemarkan nama baik mereka, termasuk jawatan menteri yang mereka sandang.

Dalam hujahan pembelaannya kepada mahkamah pada 5 Februari 2025, Bloomberg menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan sebagai sebuah wadah berita yang menumpukan kepada pelaporan kewangan, pasaran dan ekonomi, ia tidak mempunyai kepentingan atau sebab untuk, dan sememangnya tidak, mencemarkan nama baik para menteri berkenaan.

Bloomberg menyatakan bahawa tumpuan laporan itu adalah dua perkara: pertama, untuk menonjolkan bahawa pembelian GCB tanpa pendaftaran kaveat memberikan beberapa manfaat privasi dan lazimnya melibatkan harga yang lebih tinggi; dan kedua, pembeli GCB yang tidak mahu identiti mereka dapat dikesan secara terbuka menggunakan struktur amanah untuk membuat pembelian tersebut.

Bloomberg menegaskan bahawa ia tidak bersifat memfitnah untuk menyebut pembeli hartanah boleh memanfaatkan privasi yang ditawarkan dengan tidak memfailkan kaveat.

Ia juga menyatakan bahawa ia tidak bersifat memfitnah untuk mengatakan seseorang ingin mengekalkan urus niaga hartanahnya di luar perhatian awam bagi mengelakkan tumpuan terhadap kekayaan dan status sosialnya, “sebagaimana yang dibenarkan oleh undang-undang, walaupun seseorang berpendapat undang-undang tersebut wajar diubah”.

Pada 23 Disember 2024, arahan pembetulan telah dikeluarkan terhadap Bloomberg berhubung laporan tersebut di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma), iaitu undang-undang Singapura berkaitan berita palsu.

Kementerian Undang-Undang (MinLaw) pada ketika itu menyatakan bahawa kenyataan palsu dalam laporan Bloomberg tersebut “menyerang ketelusan urus niaga hartanah di Singapura” dan “memberi gambaran Singapura tidak mempunyai rangka kerja perundangan yang kukuh untuk mewajibkan pendedahan maklumat kepada pemerintah dalam urus niaga GCB”.

Bloomberg kemudiannya menyiarkan notis pembetulan pada laporan tersebut tetapi menegaskan ia berbuat demikian di bawah ancaman tindakan penalti.

The Edge Singapore, The Independent Singapore dan The Online Citizen turut dikenakan perintah pembetulan kerana menyiarkan sebahagian atau keseluruhan kenyataan yang diterbitkan dalam laporan Bloomberg tersebut.

Laporan oleh The Edge Singapore dan The Independent Singapore kemudiannya diturunkan, manakala The Online Citizen menyiarkan notis pembetulan berkenaan.

Menurut rekod mahkamah, kedua-dua menteri itu diwakili oleh pasukan peguam dari Davinder Singh Chambers, termasuk Encik Davinder Singh dan Encik David Fong Cheng Yee.

Bloomberg pula diwakili pasukan peguam dari RCLT Law Corporation, termasuk Encik Remy Choo Zheng Xi dan Encik Donaven Foo, manakala Encik Low diwakili oleh Encik Wong Thai Yong dari firma guamannya sendiri.

Difahamkan bahawa Bloomberg turut diwakili oleh Encik N. Sreenivasan, manakala Encik Low, wartawan berkenaan, turut diwakili oleh Encik Chelva Retnam Rajah.

Kededua peguam tersebut merupakan peguam kanan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg