Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong telah mengadakan pertemuan dua hala dengan pemimpin Brazil, Afrika Selatan dan Majlis Eropah pada hari pertama Sidang Puncak Asean ke-47 yang diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia pada 26 Oktober.
Dalam catatan Facebook susulan pertemuan mereka, Encik Wong berkata beliau gembira dapat bertemu dengan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, yang kali terakhir ditemuinya di sidang puncak Kumpulan 20 (G-20) di Rio pada 2024.
Beliau berkata Brazil kekal sebagai rakan dagang utama Singapura di Amerika Selatan dan rakan kongsi utama dalam bidang keselamatan makanan.
“Kami berharap dapat bekerjasama dalam tindakan iklim, pasaran karbon dan bahan api yang mampan menjelang COP-30 di Belém November ini,” kata Encik Wong, merujuk kepada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Sidang tersebut dijadualkan diadakan dari 6 hingga 21 November di sebuah bandar di Brazil yang terletak di muara Sungai Amazon.
Encik Wong juga telah mengadakan perbincangan yang produktif dengan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, di mana beliau menyifatkan kerjasama yang semakin berkembang antara kededua negara yang berasaskan sikap saling menghormati dan aspirasi bersama.
Mengulas tentang pertemuan itu, Encik Wong berkata: “Kami meneroka usaha untuk memperdalam hubungan dalam perdagangan, inovasi, kemampanan, teknologi dan pengukuhan hubungan Asean-Afrika”.
Dalam catatan berasingan di platform X, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Encik Ramaphosa atas jemputannya kepada Singapura untuk menghadiri Sidang Puncak G-20 di Johannesburg pada November.
Selain itu, Encik Wong juga bertemu dengan Presiden Majlis Eropah António Costa di mana mereka berbincang meningkatkan kerjasama antara Singapura, EU, dan rantau yang lebih luas, terutamanya dalam perdagangan dan ekonomi digital.
“Sebagai rakan kongsi yang berfikiran sama yang komited terhadap susunan pelbagai hala berasaskan peraturan, terdapat banyak yang boleh kita raih bersama dalam landskap global yang berkembang hari ini,” kata Encik Wong.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg