Pensijilan halal merupakan hanya satu titik permulaan bagi perniagaan membina kepercayaan dengan pengguna,
Namun, ia bukan langkah terakhir sedang pengguna semakin bijak menilai dan mencari jaminan selain daripada pensijilan.
Demikian kata ahli panel dalam satu sesi perbincangan mengenai cara syarikat kecil dan sederhana (SME) memperluaskan kepercayaan pengguna, penjenamaan dan kerjasama dalam industri halal di Forum Kreatif Halal 2025, yang diadakan buat julung-julung kalinya di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec pada 7 Oktober.
Industri halal kian berkembang dengan tumpuan pada penyumberan beretika dan ketelusan serta usaha meluaskan jangkauan pasaran untuk turut merangkumi pengguna bukan Islam.
Justeru, pematuhan kawal selia adalah penting dalam membina kepercayaan pengguna terutama bagi perniagaan yang ingin berkembang ke pasaran baru, tambah ahli panel tersebut.
“Selain pensijilan, terdapat banyak peluang bagi syarikat untuk menjadi lebih terbuka dan telus.
“Itu sebabnya mengapa (di Majlis Ugama Islam Singapura [Muis]), salah satu usaha yang kami lakukan adalah untuk cuba mempamerkan bagaimana syarikat yang mempunyai pensijilan halal mematuhi peraturan.
“Ini memberi jaminan tambahan kepada pengguna. Pengguna hari ini mahu melihat proses pensijilan halal di balik tabir dan juga bagaimana syarikat memenuhi komitmen mereka,” kata Ketua Pendekatan Pihak Berkepentingan, Pembangunan Halal di Muis, Cik Nur Aini Hamid, yang merupakan salah seorang ahli panel.
Selain Cik Nur Aini, panel sesi perbincangan itu terdiri daripada Ketua Komunikasi Asap & Co, Encik Muhammad Fariq Kader, yang juga Ketua Pemasaran dan Komunikasi Straits Cattle Trading Company; Pengarah Prasarana Ekosistem Syariah, Jawatankuasa Nasional bagi Ekonomi dan Kewangan Islam (KNEKS) Indonesia, Dr Sutan Emir Hidayat; dan Atase Perdagangan dari Kedutaan Indonesia, Encik Billy Anugrah.
Sesi itu turut disertai anggota Lembaga Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) serta pengasas platform media perniagaan Gulf-Asean Exchange, Encik Khai Asyraf, selaku moderator.
Dijayakan DPPMS dengan kerjasama Scarf Media Indonesia, Forum Kreatif Halal 2025 itu bertujuan mempercepat pertumbuhan ekonomi kreatif halal serantau dan memperdalam kerjasama perdagangan antara perniagaan Singapura dengan Indonesia.
Ekonomi kreatif halal merujuk kepada ekosistem industri kreatif, seperti fesyen, media, makanan dan rekaan, yang berlandas nilai, prinsip dan etika Islam.
Sekitar 120 tetamu menghadiri forum tersebut.
Nilai ekonomi halal sejagat diramal mencapai AS$5 trilion ($6.5 trilion) menjelang 2030.
Ia dipacu oleh permintaan meningkat bagi produk dan perkhidmatan yang disahkan halal merentas sektor makanan, fesyen, kecantikan, kesejahteraan dan kreatif.
Indonesia – negara dengan sekitar 240 juta penduduk Muslim, yang terbesar di dunia – menerajui pasaran pengguna halal dalam Asean dengan nilai lebih AS$230 bilion setiap tahun.
Berkongsi semasa sesi perbincangan, Encik Billy berkata dalam usaha memastikan kepercayaan, industri halal perlu meliputi pelbagai aspek daripada proses pengeluaran hingga ke pematuhan di samping mengekalkan kreativiti.
Beliau menambah industri halal hari ini telah menjangkau lebih daripada sekadar pensijilan dan kini menjadi sebahagian daripada gaya hidup, bahkan, telah mendekati pasaran pengguna bukan Islam juga.
“Oleh itu, kami juga perlu lihat cara menjadikan ia lebih menarik bagi perniagaan untuk menembusi pasaran juga,” kata beliau.
Forum tersebut turut menampilkan Pengarah Fesyen di Kementerian Ekonomi Kreatif Indonesia, Cik Romi Astuti, dan juga Pengarah Urusan di Akademi ALG (Singapura), Cik Khairiana Zainal Abiden, yang menyampaikan ucaptama.
Dalam ucapannya, Cik Romi berkongsi tentang usaha mempertingkat ekonomi kreatif di Indonesia, termasuk mewujudkan rangka kerja menyeluruh yang merangkumi lapan program strategi.
Ini termasuk mengukuhkan sistem pengelolaan data, memperkukuh dasar dan peraturan, membangunkan modal insan, dan memperluas prasarana ekonomi kreatif.
Sementara itu, Cik Khairiana pula menyentuh tentang kepentingan memiliki daya tahan, serta erti kejayaan bagi peniaga wanita moden.
Turut hadir di forum itu ialah Timbalan Ketua Misi Kedutaan Indonesia, Encik Thomas Ardian Siregar, dan Presiden DPPMS, Encik Abdul Malik Hassan.
Berucap di forum itu, Encik Thomas berkata Indonesia komited menjadi pengeluar halal sejagat yang terkemuka, serta mengalu-alukan kepakaran dan pelaburan Singapura dalam bidang yang penting untuk mencapai matlamat tersebut.
“Hubungan antara Singapura dengan Indonesia sentiasa kukuh, dibina atas kepercayaan, kedekatan dan pelaburan bersama.
“Sedang kita memandang ke hadapan, kita mesti memperdalam hubungan ini secara strategik, khususnya melalui sektor halal dan kreatif,” kata beliau.
Encik Abdul Malik pula berkata Singapura menawarkan inovasi, tadbir urus dan ketersambungan, manakala Indonesia pula memberi peluang kepada syarikat memperluas perniagaan dan membawa kreativiti serta kekayaan budaya.
“Ekonomi halal dibina atas kepercayaan dan nilai-nilai, dan inilah yang menjadikan perniagaan kita mampan dan bersedia untuk masa depan.
“DPPMS kekal komited menjadi jambatan, rakan dan pejuang anda dalam perjalanan ini,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg