Hidup bersendirian bukan penghalang untuk Cik Julia Ahmad, 71 tahun, terus aktif mencari peluang mengisi masa lapang sambil mengeratkan silaturahim.

Rutin mingguannya sering diisi dengan kelas agama serta kunjungan ke Pusat Penuaan Aktif NTUC Health (Penjagaan) di Bedok North pada setiap Rabu dan Jumaat.

Namun, kunjungan istimewa pada 23 April itu berbeza apabila beliau berpeluang mempelajari seni bela diri silat buat kali pertama, selain beramah mesra dengan para mahasiswa daripada Universiti Nasional Singapura (NUS).

Cik Julia antara sekitar 40 warga emas di pusat tersebut yang menyertai pelbagai kegiatan menarik di bawah acara ‘BeRiang BerKhayr’ yang berlangsung pada 23 April.

Acara itu dianjurkan oleh BeKhayr, cabang di bawah Persatuan Muslim NUS (NUSMS), yang gigih menabur bakti kepada pelbagai golongan rentan di Singapura.

Menurut Penolong Pengarah BeKhayr, Encik Muhamad Danial Roslan, penganjuran acara itu bermatlamat memberi ruang kepada warga emas di kejiranan Bedok untuk membina rangkaian sosial yang lebih akrab dan menyeluruh.

“Kami ingin membantu mereka menjalin silaturahim bersama penduduk lain dan juga menggalakkan interaksi merentasi generasi.

“Kami juga ingin menyantuni warga emas yang hidup bersendirian,” ujar mahasiswa jurusan sastera itu.

Penolong Pengarah Projek BeKhayr, Encik Muhamad Danial Roslan (tengah), mengajar warga emas menggunakan alat kipas dalam seni silat.
Penolong Pengarah Projek BeKhayr, Encik Muhamad Danial Roslan (tengah), mengajar warga emas menggunakan alat kipas dalam seni silat. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Keriangan terpancar pada wajah Cik Julia saat menyertai pelbagai kegiatan menarik: dari sesi senaman dan seni kraf tangan, hingga permainan digital serta tradisional.

“Saya benar-benar gembira berada di sini, saya dapat bertemu rakan baru.

“Saya juga terbuka minda kepada kegiatan dan perkara baru,” ujar beliau, yang menyertai kegiatan BeKhayr buat kali ketiga.

Sebelum ini, beliau telah menyertai dua lagi inisiatif BeKhayr, termasuk sesi memasak dan iftar di Pusat Penuaan Aktif NTUC Health (Kampung Kembangan) serta Masjid Al-Abdul Razak pada Februari lalu.

Beliau juga menyertai acara berjalan santai di kejiranan Bedok North sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada April, yang dikendalikan di cawangan penjagaan di Bedok North.

Acara ‘BeRiang BerKhayr’ adalah penutup tirai bagi tahun akademik 2025/2026. Ia diadakan dengan kerjasama Pusat Penuaan Aktif NTUC Health di Bedok North, dan turut mendapatkan sokongan daripada Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kampong Chai Chee.

Turut memeriahkan acara ‘BeRiang BerKhayr’ ialah Cik Rahimah Othman, yang biasanya bersendirian pada waktu siang apabila anaknya ke sekolah.

Walaupun kerap mengunjungi pusat tersebut di Bedok North untuk memanfaatkan masa lapang bersama rakan-rakan, Cik Rahimah tersentuh oleh usaha sukarelawan BeKhayr.

“Kadangkala, warga emas tidak ada teman, jadi saya amat menghargai anak-anak muda yang peramah, baik hati dan sudi meluangkan masa untuk bersama kami,” kata Cik Rahimah, 64 tahun.

Cik Julia Ahmad (kiri) dan Cik Rahimah Othman mencuba pelbagai gerakan silat di acara ‘BeRiang BerKhayr’ pada 23 April di Pusat Penuaan Aktif NTUC Health di Bedok North.
Cik Julia Ahmad (kiri) dan Cik Rahimah Othman mencuba pelbagai gerakan silat di acara ‘BeRiang BerKhayr’ pada 23 April di Pusat Penuaan Aktif NTUC Health di Bedok North. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Pengarah Projek BeKhayr, Cik Nur Ariana Azman, melahirkan rasa syukur melihat warga emas pelbagai kaum bersatu dan selesa beramah mesra.

“Saya amat gembira melihat warga emas dan belia dapat mengukir kenangan manis bersama. Peluang seperti ini jarang dapat diadakan kerana para pelajar selalunya sibuk.

“Saya benar-benar terharu apabila warga emas di sini menghargai usaha kami; mereka menyelami setiap kegiatan yang kami anjurkan,” tambah mahasiswa jurusan Pentadbiran Perniagaan itu.

Pengarah Projek BeKhayr, Cik Nur Ariana Azman (tengah), membimbing warga emas dalam permainan menangkap baton untuk menguji ketangkasan masing-masing.
Pengarah Projek BeKhayr, Cik Nur Ariana Azman (tengah), membimbing warga emas dalam permainan menangkap baton untuk menguji ketangkasan masing-masing. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Bagi sukarelawan seperti Cik Humaira Sumaiya Mohamad Fariz, bahasa bukanlah penghalang. Beliau tetap akrab membimbing warga emas berbilang kaum, biarpun ada yang tidak fasih berbahasa Inggeris.

“Meskipun ada kekangan bahasa, kami tetap dapat mendalami budaya masing-masing sambil mengeratkan silaturahim,” ujarnya.

Ini kali ketiga beliau menjadi sukarelawan BeKhayr, dan pengalaman itu membolehkan beliau lebih memahami cabaran warga emas dengan lebih dekat.

“Mulanya, niat saya sekadar ingin membantu rakan. Namun, saya terdorong untuk terus berkhidmat kerana saya tersentuh apabila warga emas di sini masih mengenali saya, malah mereka mula terbuka berkongsi kisah peribadi,” luah mahasiswa jurusan Seni Bina itu.

Sukarelawan daripada BeKhayr dan warga emas sambil melakukan aktiviti melukis motif Batik semasa acara ‘BeRiang BerKhayr’ pada 23 April di Pusat Penuaan Aktif  NTUC Health (Penjagaan) di Bedok North.
Sukarelawan daripada BeKhayr dan warga emas sambil melakukan aktiviti melukis motif Batik semasa acara ‘BeRiang BerKhayr’ pada 23 April di Pusat Penuaan Aktif NTUC Health (Penjagaan) di Bedok North. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
Warga emas menguji kemahiran dalam permainan Mario Kart, antara aktiviti yang disajikan semasa acara ‘BeRiang BerKhayr’ pada 23 April di Pusat Penuaan Aktif NTUC Health (Penjagaan) di Bedok North.
Warga emas menguji kemahiran dalam permainan Mario Kart, antara aktiviti yang disajikan semasa acara ‘BeRiang BerKhayr’ pada 23 April di Pusat Penuaan Aktif NTUC Health (Penjagaan) di Bedok North. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA