Topik diikuti
Pergi ke BHkuSkim perjalanan tren percuma luar waktu puncak kawasan timur laut kurangkan sesak 9%
Skim perjalanan tren percuma luar waktu puncak kawasan timur laut kurangkan sesak 9%
Skim perjalanan tren percuma luar waktu puncak kawasan timur laut kurangkan sesak 9%
Skim perjalanan kereta api percuma semasa luar waktu puncak di kawasan timur laut Singapura telah mengurangkan kesesakan sebanyak 9 peratus, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow.
“Bagi mengimbangi permintaan perjalanan pada waktu sibuk pagi serta meningkatkan pengalaman penumpang, kami telah memperkenalkan perjalanan percuma luar waktu sibuk.
“Hasilnya, kami melihat keberkesanannya apabila jumlah penumpang pada waktu sibuk berkurangan sebanyak 9 peratus,” kata Encik Siow.
Beliau berkata demikian kepada media di Kelab Masyarakat Sengkang semasa lawatannya ke kawasan Sengkang North pada 24 Mei.
Skim tambang percuma pada waktu kurang sibuk dimulakan pada 27 Disember 2025 untuk mengurangkan kesesakan kereta api di kawasan timur laut Singapura, khususnya di Laluan Timur Laut (NEL).
Penumpang tidak akan dikenakan bayaran bagi perjalanan kereta api pertama jika mereka memasuki stesen LRT or MRT sebelum 7.30 pagi, atau antara 9 pagi dengan 9.45 pagi, pada hari biasa di mana-mana stesen LRT Sengkang-Punggol, atau enam stesen NEL, iaitu Punggol Coast, Punggol, Sengkang, Buangkok, Hougang dan Kovan.
Encik Siow juga berkata penambahbaikan pengangkutan awam di kawasan timur laut terus dipertingkat bagi menjadikan perjalanan penduduk lebih lancar dan selesa.
Ini termasuk 10 perkhidmatan bas baharu sejak Mei 2025, merangkumi bas pengantara dan perkhidmatan terus ke pusat bandar bagi meningkatkan kesalinghubungan serta memudahkan perjalanan penduduk.
Lawatan Encik Siow ke Sengkang North dihos Penasihat Pertubuhan Akar Umbi (GRO) GRC Sengkang, Cik Theodora Lai.
Menyentuh tentang usaha membatu penduduk menghadapi cabaran kos sara hidup, Encik Siow berkata inisiatif masyarakat di Sengkang North turut memainkan peranan penting.
Menurut beliau, pelbagai inisiatif akar umbi di kawasan itu memperlihatkan bagaimana usaha komuniti tempatan dapat memperkukuh langkah sokongan sedia ada, sekali gus menegaskan bahawa usaha membantu penduduk memerlukan kerjasama melibatkan pemerintah, sektor perniagaan dan rakan masyarakat.
Encik Siow turut mengakui ramai rakyat Singapura masih berdepan tekanan akibat peningkatan kos sara hidup.
Beliau menarik perhatian kepada pakej sokongan pemerintah bernilai $1 bilion yang diperkenalkan bagi meringankan beban tersebut, termasuk bantuan tunai $200 kepada pemandu, rebat cukai pendapatan korporat yang dipertingkatkan serta bantuan isi rumah seperti pengagihan awal baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) dan rebat utiliti.
Lawatan Encik Siow, bermula di kedai kopi Happy Hawkers di Compassvale Drive, antara lokasi yang mengetengahkan inisiatif ‘Sunrise Specials’.
Program yang kini memasuki tahun kedua itu menawarkan set sarapan bernilai $2 pada hari bekerja menerusi kerjasama dengan penjaja tempatan.
Ia bertujuan membantu penduduk mendapatkan pilihan makanan yang lebih mampu dimiliki di samping menyokong perniagaan setempat.
“Selain membantu penduduk berjimat, inisiatif ini juga mengeratkan hubungan sesama penduduk, khususnya warga emas yang datang minum kopi sambil bertemu rakan-rakan mereka.
“Kami amat menghargai sokongan rakan penjaja yang bersama-sama menjayakan program ini,” kata Cik Lai menjawab pertanyaan Berita Harian (BH).
Semasa lawatan itu, Encik Siow turut mengunjungi Common Ground di Kelab Masyarakat Sengkang, lokasi kerjasama antara pertubuhan akar umbi Sengkang North dengan Persatuan Disleksia Singapura (DAS) bagi menyokong kanak-kanak yang mengalami disleksia serta keluarga mereka.
Selain itu, Pertubuhan Akar Umbi (GRO) Sengkang North akan melancarkan Dana Seragam Sekolah Sengkang Cares bagi membantu keluarga berpendapatan rendah dan sederhana menampung perbelanjaan persekolahan.
Menurut kenyataan media, pelajar yang layak boleh menerima bantuan sehingga $250 untuk membeli keperluan sekolah seperti uniform dan kasut sekolah, sekali gus meringankan beban ibu bapa.
Encik Siow turut meluangkan masa berinteraksi dengan ibu bapa dan kanak-kanak dalam sesi futsal, termasuk menyertai satu perlawanan persahabatan yang menyokong usaha membina gaya hidup aktif dan semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk setempat.
