Singapura menyalurkan dana AS$15 juta ($19.2 juta) untuk merealisasikan perdagangan karbon antarabangsa, sebagai langkah praktikal di tengah ketegangan ekonomi dan politik sejagat.

Sumbangan ini menjadikan Singapura sebagai negara Asia pertama menyokong inisiatif Institut Pembangunan Hijau (GGI), yang membiayai projek kredit karbon selaras dengan piawaian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Mengumumkan sumbangan tersebut pada 19 Mei, Menteri Negara bagi Perdagangan dan Perusahaan, Encik Alvin Tan, berkata konflik di Timur Tengah telah menghimpit agenda iklim, mengganggu pasaran tenaga global, dan memaksa banyak negara fokus kepada keperluan asas jangka pendek.

Beliau menekankan perlunya tindakan iklim dipercepatkan, kerana kos kelewatan akan sentiasa melonjak. Sistem tenaga bersih, tambahnya, adalah perisai negara daripada ketidaktentuan pasaran bahan api fosil.

Encik Tan berkata demikian pada Sidang Kemuncak Iklim GenZero, yang menghimpunkan pemimpin sedunia untuk memajukan pasaran karbon, membolehkan syarikat dan kerajaan membeli kredit bagi mengimbangi pelepasan gas rumah hijau.

Menurut beliau, pasaran karbon amat penting dalam mitigasi pelepasan. Ia menyalurkan dana kepada projek paling berkesan, justeru menjadikan usaha pengurangan pelepasan lebih menjimatkan.

Di bawah Perjanjian Paris, negara-negara dibenarkan membeli kredit karbon dari negara lain bagi mencapai sasaran iklim mereka.

Bagi pembeli, pasaran karbon menawarkan kelebihan kos, di mana mengimbangi pelepasan di luar negara lazimnya lebih menjimatkan berbanding usaha pengurangan dalaman.

Encik Tan menyatakan harapan Singapura untuk membina penyelarasan global yang lebih kukuh, dengan mengatasi isu kritikal seperti kos, modal, dan ketidaktentuan pasaran.

Sebagai sebuah kota dengan sumber tenaga bersih yang terbatas, Singapura melihat perolehan kredit karbon sebagai sandaran penting untuk mencapai sasaran iklim domestik.

Daripada dana tersebut, AS$10 juta diperuntukkan untuk memacu pembangunan kredit karbon bagi menyokong matlamat iklim Singapura; bakinya akan menyantuni negara lain untuk menyertai pasaran karbon berpiawaian PBB.

Kata Encik Tan: “Dua tonggak menyentuh dua aspek utama: memperkukuh bekalan di negara yang masih kekurangan kepakaran teknikal, dan mengukuhkan permintaan melalui rangka kerja bermutu tinggi yang diperlukan pasaran untuk berkembang maju.”

Singapura kini berganding bahu dengan rakan penyumbang lain, iaitu United Kingdom, New Zealand, Norway, dan Sweden.

Pengarah Eksekutif GGI, Encik Kim Sang-Hyup, memuji sumbangan Singapura kepada kemudahan urus niaga karbon itu, menyifatkan ia langkah penting dalam mengukuhkan hubungan institut dengan negara-negara Asean.

“Menerusi kemudahan ini, kami bekerjasama rapat dengan pemerintah untuk mewujudkan sistem, dasar dan perkongsian yang membantu negara beralih daripada peringkat persediaan kepada pencapaian nyata, mencapai cita-cita iklim, ketelusan alam sekitar dan pembangunan mampan,” katanya.

Sebuah gabungan pelbagai sektor turut dilancarkan, dengan matlamat bercita-cita tinggi untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 10 juta tan kredit karbon menjelang 2030, sekali gus memperhebat tindakan iklim.

Gabungan ini merangkumi nama besar seperti Enterprise Singapore (EnterpriseSG), GenZero, Tencent, Mitsubishi Corporation, dan Tabung Hidupan Liar Sedunia Singapura (WWF-Singapura).

Dalam satu kenyataan, gabungan bukan meraih keuntungan yang berpangkalan di Singapura ini menyatakan ia akan menghimpunkan firma yang menyokong projek karbon selaras dengan sasaran iklim PBB, membantu syarikat melonjakkan usaha kelestarian mereka.

Gabungan itu juga berfungsi sebagai pemudah cara dengan menyediakan dana awal untuk projek karbon dan mengurangkan risiko “greenwashing” untuk memudahkan penyertaan.

“Greenwashing” adalah tindakan menggambarkan sesebuah firma atau badan sebagai mesra alam tanpa disokong oleh tindakan sebenar.

Mengemukakan hujah menyokong kredit karbon, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GenZero, Encik Frederick Teo berkata pasaran karbon boleh menyalurkan modal kepada aktiviti yang sebelum ini tidak berdaya maju secara perniagaan serta menangani pelepasan karbon yang amat sukar untuk dihapuskan.

“Kekurangan permintaan terhadap kredit karbon yang dijana daripada projek penyahkarbonan bermutu tinggi sedang menghalang pelaburan ke dalam projek karbon ini,” tambahnya.

Gabungan itu juga akan bekerjasama dengan satu gabungan pembeli, dikenali sebagai Symbiosis Coalition, bagi membeli penyingkiran karbon berasaskan alam semula jadi.

Terdapat dua jenis utama kredit karbon – yang berasaskan alam semula jadi dan yang berasaskan teknologi. Kredit berasaskan alam semula jadi boleh datang daripada projek seperti pertanian mampan, manakala kredit teknologi boleh datang daripada peralihan daripada kayu api yang mencemarkan kepada dapur memasak yang lebih bersih.

Encik Rubean Manokara, Ketua Dunia Pasukan Petugas kewangan karbon dan pasaran WWF, berkata kewangan karbon memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang pembiayaan bagi iklim dan alam semula jadi.

“Namun, peningkatan pembiayaan semata-mata bukan jaminan kepada hasil yang baik,” tambahnya.

“Berdasarkan 20 tahun perkongsian bermakna di WWF-Singapore, ARC Coalition akan bekerjasama dengan rakan kongsi untuk menyokong perubahan dalam sektor dan pasaran yang menghasilkan karbon, memacu penyingkiran serta pengurangan pelepasan karbon yang berkekalan, dan meningkatkan tindakan iklim dunia dengan cara yang memberi manfaat kepada alam semula jadi dan manusia.”

Setakat ini, Singapura telah menandatangani 11 perjanjian pembelian karbon dengan negara di Asia, Afrika dan Amerika Selatan.

Namun, perjanjian ini masih belum menghasilkan bekalan kredit karbon berikutan perkembangan dunia terkini, termasuk tumpuan industri yang lebih besar terhadap ketelusan kredit karbon dan peraturan pasaran karbon antarabangsa yang terus berkembang.

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menjangkakan pemindahan pertama kredit karbon berlaku pada 2027.

Awal Mei lalu, firma yang dikenakan cukai karbon di Singapura dibenarkan memindahkan kuota pengimbangan yang tidak digunakan untuk tahun kedua berturut-turut akibat kekurangan kredit karbon yang layak.

Di Singapura, firma dibenarkan mengimbangi sehingga 5 peratus bil cukai karbon mereka menggunakan kredit yang layak.