Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SM Lee: Ciri ‘usaha sendiri’ CPF relevan ke hari ini

Dengan simpanan CPF, pekerja S’pura mampu biaya persaraan  
Jul 5, 2025 | 8:08 PM
CPF, SM Lee, tabung simpanan hari tua
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong (tengah), berkata kisah CPF ialah pada dasarnya, kisah Singapura – sebuah kisah tentang bergantung pada diri sendiri, kebijaksanaan dan penyesuaian berterusan. Pada majlis ulang tahun CPF ke-70 pada 5 Julai, Encik Lee dan Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng (kanan), turut diberi taklimat mengenai wadah digital terbaru CPF, ‘Rancang bersama CPF’. Bersama mereka ialah (dari kiri) Pengarah Jabatan Simpanan Persaraan, Lembaga CPF, Cik Ong Woei Jiin dan Pengerusi CPF, Cik Yong Ying-I. - Foto ST

Falsafah utama Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPF) yang menekankan teras bergantung pada diri sendiri masih lagi relevan seperti dahulu.

Pendekatan tersebut ditambah dengan penekanan kepada setiap generasi untuk membiayai keperluan persaraan mereka sendiri melalui simpanan individu.

Sesuai dengan itu, kisah CPF ialah pada dasarnya, kisah Singapura – sebuah kisah tentang bergantung pada diri sendiri, kebijaksanaan dan penyesuaian berterusan.

Dengan pendekatan tersebut, Singapura dapat mengelakkan generasi muda daripada bebanan memikul keperluan persaraan generasi terdahulu.

Demikian pengamatan Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, semasa pelancaran buku peringatan ulang tahun CPF ke-70 bertajul Save & Sound: 70 Years Of CPF di Our Tampines Hub pada 5 Julai.

Pada acara tersebut, beliau turut menyaksikan wadah digital terkini ‘Rancang bersama CPF’ atau Plan Life Ahead, Now!(PLAN with CPF) diperkenalkan.

Encik Lee turut berkata bahawa walaupun bergantung pada diri sendiri berkesan bagi kebanyakan rakyat, Singapura akur terdapat keterbatasan bagi golongan berpendapatan rendah dan mereka yang tidak pernah bekerja, seperti suri rumah.

Walaupun sistem CPF kini berada dalam keadaan baik secara amnya, skim simpanan itu perlu disesuaikan dan dikemas kini agar terus sesuai untuk generasi baru rakyat Singapura.

Berucap di majlis yang turut dihadiri Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi, Dr Tan See Leng; Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Encik Ng Chee Khern; Pengerusi CPF, Cik Yong Ying-I; dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CPF, Cik Melissa Khoo; Encik Lee berkata:

“Nilai keadilan dan tanggungjawab peribadi menggalakkan sikap yang betul terhadap kerja, persaraan dan penuaan aktif.

“Ini merupakan perbezaan ketara berbanding negara yang mengamalkan sistem pencen berasaskan cukai pay as you go (di mana sumbangan pekerja masa kini membiayai pencen golongan pesara beralih tangan dari satu generasi ke generasi seterusnya).”

Menurut Encik Lee, jika mengikuti skim tersebut, anggota masyarakat tiada insentif untuk bersara lebih lambat, dan dari sudut politik sangat sukar untuk mengadakan perbincangan bagi memperbaharui sistem pencen.

“Ini kerana dalam sistem tersebut, manfaat persaraan adalah hak yang ditanggung bukan oleh mereka sendiri, tetapi oleh pembayar cukai generasi seterusnya,” tambahnya yang sudah terlibat dalam pembangunan CPF sejak dilantik menjadi Anggota Parlimen (AP) pada 1984.

Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, berkata walaupun sistem CPF kini berada dalam keadaan baik secara amnya, skim simpanan itu perlu disesuaikan dan dikemas kini agar terus sesuai untuk generasi baru rakyat Singapura.
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, berkata walaupun sistem CPF kini berada dalam keadaan baik secara amnya, skim simpanan itu perlu disesuaikan dan dikemas kini agar terus sesuai untuk generasi baru rakyat Singapura. - Foto ST

Bagi golongan yang sukar menjana pendapatan, termasuk mereka yang berpendapatan rendah atau tidak lagi bekerja, Encik Lee berkata pemerintah terus membantu dengan melengkapkan simpanan mereka.

“Ini telah dimasukkan ke dalam komponen struktur keselamatan sosial kita, seperti Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja, Skim Ihsan Senja, serta insentif cukai untuk menggalakkan caruman sukarela CPF daripada ahli keluarga,” ujarnya.

Encik Lee menambah pemerintah turut memberikan sokongan tambahan melalui pakej untuk Generasi Perintis, Merdeka dan Majulah, serta tokokan berkala ke akaun CPF dalam bajet tahunan setiap kali ekonomi berkembang dengan baik.

Menurutnya, ini agar generasi terdahulu juga dapat meraih hasil kemajuan negara yang hanya dapat dicapai melalui kerja keras dan pengorbanan mereka dahulu.

“Tetapi prinsip asasnya tetap sama, anda mesti berusaha sedaya upaya untuk memenuhi keperluan masa depan anda sendiri.

“Jika itu masih tidak mencukupi, pemerintah akan tampil untuk membantu anda,” ujarnya

Beliau menambah tiada sistem CPF yang sempurna walau ia kini berada dalam keadaan baik.

Skim simpanan itu perlu disesuaikan dan dikemas kini agar kekal relevan untuk generasi baru rakyat Singapura.

Ini memerlukan beberapa keputusan sukar, tambahnya.

Beliau berkata sebarang perubahan pada sistem CPF mesti dibuat dengan teliti kerana ia memberi impak besar kepada kehidupan jutaan rakyat Singapura.

Skim tersebut perlu dijelaskan dengan sabar dan jelas agar dapat meraih sokongan orang ramai.

“Akhirnya, bagi memastikan keseluruhan sistem CPF dapat berfungsi dan kekal kukuh, rakyat Singapura mesti yakin bahawa sistem ini kukuh, dan pada akhirnya peranannya ialah untuk melindungi kepentingan mereka,” katanya.

Menyingkap 70 tahun CPF, Encik Lee melahirkan kegembiraan atas tahap kepercayaan tinggi yang diberikan kepada badan berkanun itu selama ini, dan menegaskan ia tidak boleh dipersiakan.

“Orang ramai setia melakukan caruman mereka setiap bulan, dan mempercayakan simpanan mereka kepada Lembaga CPF.

“Kepercayaan ini mengambil masa yang lama untuk dibina; kita tidak boleh sesekali mengambil mudah,” ujar beliau.

Encik Lee menambah ramai anggota secara sukarela menambah simpanan tunai ke dalam akaun mereka sendiri dan juga akaun ahli keluarga mereka.

“Tahun lalu (2024), anggota CPF membuat 875,000 tokokan seperti itu, berjumlah hampir $5 bilion. Malah apabila mencapai 65 tahun, sebahagian besar daripada mereka tidak membuat sebarang pengeluaran.

“Mereka hanya membiarkan wang itu kekal dalam jagaan baik CPF,” katanya yang menambah mereka yakin bahawa wang mereka selamat, dan akur apa yang mereka terima bersesuaian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg