Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, yang kini berada di Kazakhstan bagi satu lawatan rasmi telah bertemu dengan Datuk Bandar Almaty, Encik Darkhan Satybaldy, pada 25 Ogos.

Dalam hantaran Facebook beliau pada 25 Ogos, Encik Lee berkata mereka berdua telah membincangkan bidang di mana Singapura dan Almaty boleh saling berkongsi pengalaman serta belajar antara satu sama lain, demi memperkukuh hubungan dua hala.

Encik Lee turut menemui pemimpin perniagaan Kazakhstan pada 24 Ogos.

Menerusi pertemuan tersebut, Encik Lee berpeluang mendengar pandangan mereka mengenai ekonomi dan persekitaran perniagaan di Kazakhstan, di samping bertukar pandangan mengenai hubungan ekonomi kedua-dua negara dan usaha untuk memperkukuhkannya.

Menurut satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri pada 23 Ogos, Encik Lee berada di Kazakhstan dari 24 hingga 27 Ogos sebelum melawat Uzbekistan dari 27 hingga 31 Ogos.

Ini merupakan lawatan sulung Encik Lee ke Asia Tengah.

Beliau ditemani Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim; Anggota Parlimen (AP) GRC Tanjong Pagar, Encik Foo Cexiang; serta pegawai daripada Kementerian Ehwal Luar (MFA), Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), dan Pejabat Perdana Menteri.

Di Kazakhstan, Encik Lee melawat Astana dan Almaty.

Semasa di Astana, beliau mengadakan pertemuan dengan Presiden Kassym-Jomart Tokayev; Perdana Menteri, Encik Olzhas Bektenov; Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Digital, Encik Zhaslan Madiyev; serta Timbalan Perdana Menteri, Encik Kanat Bozumbayev.

Dalam catatan Facebooknya, Encik Zhulkarnain berkata bagi Singapura, banyak potensi yang boleh diusahakan bersama Kazakhstan.

“Perdagangan dua hala mencecah kira-kira AS$954 juta ($1.21 bilion) pada 2025, dan terdapat peluang dalam bidang seperti perdagangan dan pelaburan, kesalinghubungan dan logistik, pendigitalan, ekonomi hijau, inovasi serta pembangunan modal insan.

“Perjanjian Perkhidmatan dan Pelaburan kami, yang mula berkuat kuasa tahun lalu (2025), menyediakan asas yang lebih kukuh bagi perniagaan kami untuk meneroka peluang-peluang ini,” kata Encik Zhulkarnain.

Dalam lawatan tersebut, Encik Lee akan dianugerahkan Pingat Order of Dostyk (Persahabatan) Kelas Pertama oleh Presiden Tokayev.

Antara pemimpin Singapura terdahulu yang pernah menerima anugerah itu termasuk mantan Perdana Menteri Singapura, mendiang Encik Lee Kuan Yew pada 2012 dan mantan Presiden, Puan Halimah Yacob pada 2023.

Selain itu, Encik Lee akan menyampaikan ceramah di Universiti Nazarbayev, di mana beliau bakal dianugerahkan gelaran Profesor Kehormat.

Ditubuhkan pada 2010, Universiti Nazarbayev merupakan sebuah universiti penyelidikan autonomi di Astana yang ditubuhkan sebagai sebahagian daripada usaha Kazakhstan untuk membangunkan sektor pendidikan tinggi dan penyelidikannya.

Di Uzbekistan, Encik Lee akan melawat Tashkent dan Samarkand.

Semasa di Tashkent, beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Shavkat Mirziyoyev, dan Perdana Menteri, Encik Abdulla Aripov, serta menyampaikan ucapan di Senat Oliy Majlis, iaitu Parlimen Uzbekistan.

Beliau kemudian akan berlepas ke Samarkand, dan akan menyertai majlis makan tengah hari yang dihoskan oleh Gabenor Wilayah Samarkand, Encik Adiz Boboev.