Dalam dunia yang tidak menentu dan bergolak, Singapura perlu berganding bahu sebagai satu negara bagi menghadapi apa sahaja yang mendatang, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, pada 14 September.
Bercakap di Kelab Masyarakat Ci Yuan sempena sambutan ulang tahun ke-10 kelab masyarakat tersebut, beliau berkata ruang seperti kemudahan sedemikian adalah tempat yang baik untuk membina masyarakat yang kukuh.
Kelab masyarakat itu terletak di GRC Ang Mo Kio, di mana Encik Lee merupakan salah seorang Anggota Parlimennya.
Menurut beliau, kerja kemasyarakatan serta sikap saling memahami dan mengambil berat antara individu merupakan contoh bekerjasama sebagai satu rakyat, lapor akhbar The Straits Times (ST).
Ini sambil menukil contoh inisiatif skim sokongan ComCare dan program kembali ke sekolah di GRC beliau.
“Apa sahaja yang boleh kita lakukan untuk saling membantu dengan lebih sedikit, di mana tiada siapa yang bersendirian, di mana semua orang dapat bersatu padu,” ujar beliau kepada 1,600 penduduk Ang Mo Kio dan Hougang yang hadir dalam acara Hari Ci Yuan 2025.
Program Bag-to-School menjadi tumpuan utama acara itu, di mana pelajar berpendapatan rendah di Ang Mo Kio dan Hougang menerima keperluan sekolah percuma.
Program itu dilancarkan pada 2018 dan telah memberi manfaat kepada lebih 60 pelajar semasa pelaksanaannya pada 14 September.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif itu, para benefisiari mengambil bahagian dalam pasar olok-olok, di mana mereka menggunakan wang mainan untuk ‘membeli’ keperluan sekolah.
Latihan itu bertujuan untuk mengajar kanak-kanak tentang kewangan dan cara menetapkan belanjawan dengan penjaga mereka.
Kanak-kanak tersebut dibimbing membuat pilihan mereka oleh sukarelawan dari Sekolah Menengah Bowen dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central.
Encik Lee memuji para sukarelawan dengan berkongsi bahawa membantu orang lain merupakan cara untuk membalas budi, menyumbang kepada masyarakat, dan mengenali masyarakat bagi melakukan perubahan.
Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Ang Mo Kio, Encik Darryl David dan Cik Jasmin Lau turut hadir pada acara tahunan itu, bersama AP bagi GRC Yio Chu Kang, Encik Yip Hon Weng, dan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central, Cik Denise Phua.
Encik David berkata:
“Hari Ci Yuan tahun ini mengingatkan kita bahawa pembinaan negara tidak pernah dilakukan secara bersendirian.
“Ia tentang bersatu padu, muda dan tua, daripada pelbagai lapisan masyarakat, untuk membina sebuah Singapura di mana setiap suara dihargai dan setiap sumbangan penting.”
Para penduduk menikmati roti bakar kaya dan minuman percuma di acara tersebut sambil menyaksikan persembahan muzik di atas pentas.
Mereka juga meletakkan Lego untuk mencipta mural sebagai gambaran masa depan yang ingin dibina bersama.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg