Perusahaan kecil dan sederhana (SME) kini boleh menyertai program pembangunan tenaga kerja secara percuma menerusi langkah baharu OCBC.

Program ‘Grow your way with OCBC’ itu bertujuan membantu SME membangunkan tenaga kerja dengan kemahiran yang sesuai bagi memenuhi keperluan organisasi pada masa kini dan masa depan.

Program itu dilancarkan dengan kerjasama penyedia pendidikan dan latihan berterusan, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) LearningHub, pada 4 November di Kampus OCBC. 

Majlis pelancaran itu dihadiri Timbalan Setiausaha Agung NTUC merangkap Menteri Negara Kanan di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Encik Desmond Tan.

Usaha pembangunan tenaga kerja itu menyusuli program OCBC yang mengutamakan kemahiran kakitangannya, ketika SME menghadapi cabaran menarik tenaga kerja mahir dan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi yang pesat.

Ketua Perbankan Komersial Sedunia OCBC, Cik Elaine Heng, berkata: “Ketika SME menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi, jangkaan pelanggan yang berubah dan ekonomi yang semakin berteraskan digital, kemahiran dan keupayaan yang sesuai semakin penting untuk kekal berdaya saing.”

Inisiatif percuma itu bertujuan mengatasi halangan kos latihan tenaga kerja.

Sepanjang 12 bulan, peserta boleh mengikuti acara pembelajaran, bengkel dan sesi bersama pakar untuk mengasah kemahiran penting dalam pertumbuhan perniagaan, perubahan digital, daya tahan perniagaan dan kepimpinan.

Usaha itu menyasarkan SME dengan perolehan tahunan tidak melebihi $20 juta dan bertujuan memberi manfaat kepada 20,000 pemilik perniagaan dan pekerja.

Menurut tinjauan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) pada 2026, kesukaran mendapatkan calon dengan kemahiran bersesuaian kini antara lima cabaran utama tenaga kerja.

Pada masa sama, kos latihan kekal menjadi cabaran, dengan seorang daripada dua peserta tinjauan menyifatkannya sebagai halangan untuk melabur dalam pembangunan pekerja.

Sebelum ini, OCBC telah menyediakan sokongan menyeluruh dan khusus kepada SME, melangkaui perkhidmatan perbankan.

Ini termasuk ‘Women Unlimited Programme’, program serantau pertama seumpamanya di pasaran yang meliputi Singapura, Malaysia, Hong Kong dan Indonesia.

Program itu membantu usahawan wanita melalui peluang menjalin rangkaian dan padanan perniagaan serta bengkel pendidikan.

Dalam bidang kemampanan, bank itu turut memperkenalkan alat penilaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam talian secara percuma pada Jun 2026 untuk SME di Singapura, Malaysia, Hong Kong dan Indonesia.

“Melalui kerjasama dengan OCBC, kami mendekatkan latihan yang memenuhi keperluan industri kepada perniagaan, sambil membina keupayaan teknologi dan kecerdasan manusia yang diperlukan untuk memimpin, menyesuaikan diri dan meningkatkan daya tahan,” kata Ketua Eksekutif (CE) NTUC LearningHub, Encik Jeremy Ong.