Topik diikuti
Pergi ke BHkuSNEF: Lebih banyak majikan rancang beku gaji, kurangkan kenaikan pada 2027
Lebih banyak majikan di Singapura merancang membekukan gaji atau memberikan kenaikan lebih kecil pada 2027 berbanding 2026, berikutan peningkatan kos tenaga kerja dan keadaan perniagaan yang terus tidak menentu.
Menurut tinjauan baharu Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef), 51 peratus daripada 320 majikan merancang membekukan atau mengawal kenaikan gaji pada 2027, meningkat daripada 48 peratus pada 2026.
Sebanyak 49 peratus merancang menaikkan gaji pada 2027, turun daripada 51 peratus pada 2026.
“Ini menunjukkan majikan terus berhati-hati mengenai jangkaan gaji, khususnya dalam kalangan majikan syarikat kecil dan sederhana (SME),” kata Snef pada 3 September.
Tinjauan itu turut mendapati 86 peratus majikan yang mempunyai pekerja berpendapatan rendah kekal berhasrat memberikan kenaikan gaji tetap pada 2027, berbanding 96 peratus pada 2026. Baki 14 peratus merancang membekukan gaji.
Pada 2026, sebanyak 54 peratus majikan tidak merancang menambah pekerja, manakala 40 peratus merancang berbuat demikian.
Baki 6 peratus majikan merancang mengurangkan jumlah pekerja, berbanding 8 peratus pada 2025.
Pada 2026, peningkatan kos tenaga kerja kekal sebagai cabaran utama bagi kebanyakan majikan (83 peratus), meneruskan trend 2025 yang mencatat 79 peratus.
Lebih banyak syarikat (30 peratus) turut bimbang mengenai kos yang semakin tinggi untuk mempertingkatkan kemahiran semasa dan mempelajari kemahiran baharu bagi memenuhi keperluan perniagaan dan teknologi, berbanding 23 peratus pada 2025.
Pada masa sama, 48 peratus majikan mahu mengutamakan penerokaan, penggunaan dan peningkatan kecerdasan buatan (AI) di tempat kerja pada 2027, berbanding 39 peratus pada 2026.
Naib Presiden Majlis Snef, Encik Kuah Boon Wee, berkata banyak majikan terus melabur dalam keupayaan tenaga kerja, reka bentuk semula pekerjaan dan penggunaan AI untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing.
“Bagaimanapun, pasaran buruh yang ketat semakin reda berbanding setahun lalu apabila semakin kurang syarikat melaporkan kesukaran menarik dan mengekalkan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET), serta kekurangan bakat tempatan berkemahiran tinggi dalam tempoh 12 bulan akan datang,” kata Snef.
Walaupun persaingan tidak lagi sehebat setahun lalu, persekutuan itu berkata usaha menarik bakat yang sesuai kekal menjadi keutamaan sumber manusia bagi 59 peratus majikan.
Snef berkata keadaan perniagaan bertambah baik sedikit apabila hanya 63 peratus majikan menjangkakan keadaan tidak menentu pada 2027, berbanding 72 peratus pada 2026.
Namun, unjuran perniagaan kekal tidak seragam.
Sektor yang bergantung pada pasaran luar mendapat manfaat daripada permintaan luar dan teknologi yang lebih kukuh, manakala perdagangan runcit serta perkhidmatan makanan dan minuman menghadapi permintaan pengguna yang lebih lemah dan peningkatan kos operasi.
“Perbezaan ini menunjukkan ekonomi Singapura semakin berbentuk K, apabila sektor yang menggajikan lebih ramai pekerja bergaji rendah dan lebih bergantung pada permintaan tempatan, menghadapi tekanan kos perniagaan dan tenaga kerja yang lebih besar, meskipun ekonomi keseluruhannya bertambah baik,” tambah Snef.
Tinjauan tahunan itu dijalankan dari Jun hingga Ogos 2026, melibatkan 320 firma yang menggajikan hampir 160,000 pekerja merentasi 20 industri.
