Mari kita bayangkan: Dua pekerja dari syarikat yang berbeza mengikuti kursus kemahiran digital selama seminggu yang sama dan kembali ke tempat kerja mereka.
Senario 1: Di syarikat A, pekerja tersebut kembali dengan semangat untuk mengaplikasikan ilmu baru yang diperolehnya.
Namun, penyelianya memberinya tugas-tugas yang harus dihabiskan dengan cepat, mendesaknya untuk “berpegang pada sistem lama”, dan tidak memberi ruang untuk mencuba apa yang dipelajarinya.
Dalam beberapa hari, semangatnya pudar dan kemahiran barunya hilang.
Senario 2: Di syarikat B, pekerja tersebut juga kembali dengan penuh idea.
Penyelianya menyesuaikan aliran kerja untuk memberi ruang, menggalakkannya berkongsi pandangan dengan rakan sekerja, dan memberikan projek untuk menguji dan mengaplikasikan kemahiran baru.
Dengan sokongan dan peluang, kemahirannya berkembang, dan tidak lama kemudian, seluruh pasukan mendapat manfaat.
Bukan latihan itu sendiri, tetapi sokongan atau kekurangannya dari penyelia yang sering menentukan sama ada kemahiran baru itu hilang atau berkembang.
Latihan hanya memberi impak sebenar apabila pekerja menggunakan apa yang telah mereka pelajari untuk menyelesaikan masalah, meningkatkan proses dan mendorong inovasi.
Penyelia barisan hadapan yang secara langsung mengawasi dan menyokong kakitangan dalam operasi harian membentuk keadaan yang mengubah latihan dari teori ke amalan. Mereka adalah pusat kejayaan peningkatan kemahiran.
Penyelidikan dalam pelbagai konteks secara konsisten menunjukkan bahawa sokongan penyelia adalah salah satu penentu utama sama ada kemahiran baru diaplikasikan di tempat kerja.
Dalam satu kajian baru-baru ini yang saya jalankan di Singapura, pekerja yang merasakan sokongan penyelia yang kuat bukan sahaja lebih bermotivasi untuk mengaplikasikan kemahiran baru, tetapi juga melaporkan kepuasan kerja yang lebih tinggi dan kesiapsiagaan yang lebih besar untuk perubahan.
Masa yang diperuntukkan untuk mencuba kaedah baru atau maklum balas yang membina boleh menentukan sama ada kemahiran itu pudar atau semakin berkembang.
Oleh itu, sokongan penyelia bukan sahaja menentukan sama ada latihan diterima, tetapi juga bagaimana pekerja menyesuaikan diri, berinovasi, dan berjaya di tempat kerja.
Penyelia barisan hadapan berada di kedudukan yang unik dalam ekosistem pembelajaran di tempat kerja. Mereka yang paling dekat dengan pekerja, menetapkan cara kerja harian.
Satu perbincangan yang dianjurkan oleh The Straits Times sebagai sebahagian daripada podcast The Usual Place menekankan realiti ini: latihan hanya berkesan apabila diberi sokongan oleh syarikat.
Sebagai contoh, apabila organisasi melaksanakan program di peringkat perusahaan seperti peningkatan sistem atau penggunaan alat kecerdasan buatan (AI), penyelia barisan hadapan adalah kunci untuk memastikan kakitangan cepat dan konsisten mengikutinya kerana latihan itu dikaitkan secara langsung dengan operasi.
Sebaliknya, latihan kemahiran insaniah mungkin kelihatan kurang mendesak, tetapi ia juga penting untuk pertumbuhan jangka panjang.
Dalam kes ini, penyelia bertindak sebagai penyokong atau jurulatih.
Sama ada latihan itu wajib atau untuk perkembangan, penyelia memainkan peranan utama dalam membentuk sama ada kakitangan mempunyai ruang untuk bereksperimen, sama ada kesilapan dianggap sebagai sebahagian daripada pembelajaran, dan sama ada inovasi digalakkan atau ditolak.
Dengan berbuat demikian, mereka menghantar isyarat yang jelas bahawa latihan itu dihargai, diperlukan dan patut diaplikasikan.
Latihan yang seiring dengan matlamat organisasi mencipta nilai untuk syarikat dan pekerja.
Ini juga bermaksud latihan bukanlah satu keistimewaan, ia mesti disematkan dalam matlamat perniagaan, diperkuatkan dalam kerja harian, dan dianggap sebagai sebahagian daripada pertumbuhan profesional pekerja.
Ini menimbulkan satu persoalan penting – sejauh mana latihan dan aplikasi kemahiran perlu diberi dorongan, dan bagaimana?
Jawapannya terletak pada mencari keseimbangan yang betul.
Penyelia perlu mengelak memberi tekanan sehingga latihan menjadi beban, namun harus tetap menunjukkan bahawa pembelajaran berterusan dan penggunaan kemahiran baru penting serta dihargai dalam organisasi.
Selalunya, ia bermula dengan menjelaskan objektif sebelum latihan dan menjalankan analisis keperluan latihan yang betul untuk memastikan kesesuaian.
Ia melibatkan penyesuaian beban kerja dan sokongan aktif semasa latihan supaya pekerja tahu peningkatan kemahiran mereka dihargai, serta sokongan selepas latihan melalui bimbingan, maklum balas dan projek berkaitan untuk menguatkan aplikasi kemahiran.
Sokongan adalah penting tetapi akauntabiliti memastikan latihan memberi hasil. Tanpa akauntabiliti, bahkan latihan terbaik pun berisiko dilupakan apabila pekerja kembali kepada rutin.
Akauntabiliti bukan untuk memberi tekanan, tetapi untuk menetapkan jangkaan yang jelas, menghubungkan kemahiran baru dengan projek sebenar, dan memantau penggunaannya.
Apabila penyelia menggabungkan bimbingan dan dorongan dengan akauntabiliti, mereka menunjukkan bahawa latihan bukan satu acara yang terpencil, tetapi satu komitmen kepada peningkatan berterusan dan produktiviti tempat kerja.
Dengan memupuk budaya tempat kerja yang menghargai percubaan kaedah baru, memberi ganjaran kepada inovasi, dan mengiktiraf kemajuan melalui maklum balas atau pujian, penyelia mewujudkan keadaan untuk peningkatan kemahiran berterusan dan impak yang berkekalan di tempat kerja.
Organisasi sokong penyelia barisan hadapan
Namun, penyelia juga memerlukan sokongan dan latihan.
Untuk syarikat mendapat pulangan sebenar daripada latihan, penyelia perlu memiliki kemahiran sebagai pemimpin pembelajaran, bukan sekadar pengurus tugas.
Ini bermaksud memberi penyelia masa dan alat untuk menyokong kakitangan, memperkukuh kemahiran bimbingan dan mewujudkan ruang bagi mereka berkongsi strategi serta belajar antara satu sama lain.
Pemimpin atasan membentuk budaya organisasi.
Dengan mengutamakan latihan pekerja dan mengiktiraf penyelia yang membantu pasukan mengaplikasikan kemahiran baru, dan bukan hanya menghargai hasil segera, mereka menunjukkan bahawa peningkatan kemahiran adalah keutamaan strategik.
Jika diabaikan, pelaburan latihan berisiko menjadi sia-sia.
Jika dilakukan dengan betul, penyelia boleh mengubah latihan daripada latihan di bilik darjah kepada pendorong yang kuat dalam penyesuaian, produktiviti dan inovasi di seluruh organisasi.
Pada dasarnya, sokongan penyelia adalah faktor penting yang sering menentukan kejayaan atau kegagalan impak latihan.
Walaupun mereka tidak menanggung tanggungjawab seorang diri, penyelia memainkan peranan utama sama ada kemahiran baru digunakan atau diabaikan.
Dengan sokongan mereka, pekerja dapat mengaplikasikan latihan dan kemahiran baru dalam kerja harian, membina tenaga kerja yang bersedia menyesuaikan diri, dan boleh memimpin pada masa hadapan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg