Suara mungkin serak, tetapi sokongan tetap padu.
Itulah pengalaman Cik Siti Nurul Ashiqin Shamsoolfarook setelah menyorak dengan penuh semangat bagi suaminya yang telah menyertai pertandingan Hyrox pada 29 Jun.
Hyrox merupakan pertandingan kecergasan sejagat yang menggabungkan cabaran daya tahan dan kekuatan fungsi harian.
Cik Ashiqin memberitahu Berita Harian ini adalah kali pertama beliau dan suaminya menyertai pertandingan Hyrox di Singapura.
“Saya sebenarnya tak tahu apa itu Hyrox. Saya sangka ia hanya untuk atlet profesional saja yang boleh sertai. Jadi bila suami saya cakap dia nak cuba, saya terus tanya, ‘Eh, betul ke ni?’,” singkap Cik Ashiqin dengan tawa kecil.
Suaminya, Encik Muhammad Huzair Mohd Yazid, 29 tahun, menyertai pertandingan dalam kategori ‘doubles’ (dua orang) bersama rakan sekerja, dan mereka telah berlatih selama beberapa minggu di gim FMLAVENDER di bawah bimbingan seorang jurulatih.
Dengan niat ingin memberi semangat kepada suaminya, Cik Ashiqin mula menjerit dan menyorak apabila melihat suaminya melakukan pelbagai aktiviti sebahagian daripada pertandingan di Stadium Kebangsaan itu.
“Saya jerit, ‘Go sayang, you can do this! ‘Go go go!’ sampai suara hilang sedikit pada akhir peraduan tersebut. Berdiri di kawasan penyokong, ada juga penyokong lain yang mula mengikut sorakan saya dan suasana pun menjadi lebih meriah dan seronok,” katanya sambil tertawa, mengimbas kembali detik mencuit hati itu.
Perunding kewangan berusia 26 tahun itu tidak merancang untuk merakam apa-apa yang serius.
Tetapi setelah memuat naikkan beberapa video ke Instagram Story, ramai yang terhibur dan memberi reaksi lucu.
Ini mendorongnya untuk menyunting dan memuat naik versi penuh ke TikTok dan ia mendapat hampir 25,000 tontonan dan lebih 1,200 ‘like’ sejauh ini.
Pengguna Alya Adriana meninggalkan komen dan berkata: “Hahaha, suka tengok si isteri begitu menyokong suami!
Namun tidak semua reaksi positif. Ada juga yang tinggalkan komen mengatakan beliau terlalu bising atau mengganggu. Tetapi Cik Ashiqin menerimanya dengan tenang.
Apabila ditanya apakah perasaan Encik Huzair mendengar sorakan isterinya, beliau berkata:
“Walaupun suara isteri saya kuat di posisinya, tetapi dengan suasana yang besar dan bising, suaranya jadi agak sayup dari tempat saya.
“Namun, saya tetap boleh ‘cam’ suaranya dan dengar sorakannya. Sudah tentu ia berikan suntikan tenaga dan motivasi.
“Saya mungkin tak nampak dia dalam kesibukan itu, tapi saya tahu dia dekat dan menjadi “peminat setia” dengan sokongannya yang berterusan.”
Menurut Cik Ashiqin, antara tujuannya memuat naikkan TikTok itu juga adalah untuk menunjukkan perspektif daripada seorang penyokong dalam pertandingan sedemikian.
Beliau telah berdiri dan menyokong selama sekitar dua jam.
“Mungkin ramai yang tidak tahu betapa sesak di kawasan penyokong. Setiap bahagian ada kawasan sokongan yang tersendiri. Dan saya harus mencari tempatnya dan juga menyelit ke depan untuk lihat si suami. Memandangkan saya menyorak begitu lama, saya pun penat pada akhir pertandingan,” selorohnya yang telah membayar $20 bagi tiket masuk sebagai penyokong.
Selesai pertandingan tersebut, beliau akur tekaknya perit dan suaranya hilang sedikit. Namun, beliau puas hati.
“Siapa tahu, mungkin tahun depan saya boleh mula latih dan sertai sekali dengan suami,” tambahnya yang juga mengacarakan podcast HeyKorangz bersama rakannya, seorang ejen hartanah dikenali sebagai Agent G.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg