Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng (gambar), membuat lawatan rasmi ke Korea Selatan dari 19 hingga 23 Februari atas undangan rakan sejawatannya, Encik Woo Won-shik, Speaker Dewan Nasional Korea Selatan.
Encik Seah ditemani Anggota Parlimen (AP) Encik Melvin Yong (Radin Mas), Encik Louis Chua (GRC Sengkang), Cik Ng Ling Ling (GRC Ang Mo Kio), dan Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris-Punggol).
Dalam satu kenyataan media pada 19 Februari, Pejabat Kerani Parlimen berkata lawatan itu merupakan lawatan rasmi pertama Encik Seah ke Korea Selatan sebagai Speaker.
Semasa lawatan tersebut, Encik Seah dan rombongannya akan bertemu dengan Pemangku Presiden, Encik Choi Sang-mok.
Mereka juga akan bertemu dengan beberapa pemimpin lain, seperti Presiden Kumpulan Persahabatan Korea Selatan-Singapura, Cik Lee Un-ju; Gabenor Wilayah Khas Pemerintahan Sendiri Jeonbuk, Encik Kim Kwan-young; dan Mayor Jeonju City, Encik Woo Beom-ki.
Menurut kenyataan Pejabat Kerani Parlimen itu lagi, pertemuan tersebut merupakan wadah untuk mengeratkan hubungan antara Singapura dengan Korea Selatan.
“(Rombongan Singapura itu akan bertemu pemimpin di Korea untuk) bertukar-tukar pandangan, meningkatkan dialog, dan mengukuhkan hubungan antara Singapura dengan Korea Selatan, sempena ulang-tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.
Sebagai sebahagian daripada lawatan ini, Encik Seah juga akan berinteraksi dengan rakyat Singapura yang menetap di Korea Selatan di Majlis Sambutan Tahun Baru anjuran Kedutaan Singapura di Seoul.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg