Hasil tuaian yang merosot di sesebuah negara Asia Tenggara boleh menjejas bekalan dan harga makanan serantau.

Bagi mengurangkan kesan peningkatan suhu, perubahan corak hujan dan cuaca buruk terhadap pertanian, Singapura melancarkan inisiatif mengumpul $640 juta untuk membantu golongan petani menyesuaikan diri dengan perubahan iklim.

Usaha ‘Scaling Projects and Investments for Resilience in Asia’ (SPIRE Asia) menyokong projek pertanian melalui penyepaduan data dan bantuan teknikal.

Antaranya termasuk pembangunan tanaman tahan cuaca melampau, amalan pertanian yang menyuburkan semula tanah serta penggunaan air dan sumber secara cekap.

Menteri Kemampanan dan Sekitaran Singapura, Cik Grace Fu, mengumumkan langkah itu menerusi rakaman video pada perasmian Pavilion Singapura sempena Sidang Perubahan Iklim Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-31, juga dikenali sebagai COP31 di Antalya, Turkey, pada 10 November.

Persidangan berlangsung dari 9 hingga 20 November.

Cik Fu berkata cuaca buruk mengancam hasil pengeluaran pertanian dan mata pencarian masyarakat, menjadikan pelaburan serta tindakan bersama semakin mendesak.

Duta Singapura bagi Tindakan Iklim, Encik Ravi Menon, berkata kesan iklim terhadap pengeluaran makanan merentasi sempadan.

Bagi Singapura yang mengimport lebih 90 peratus makanannya, daya tahan bekalan makanan serantau penting bagi jaminan bekalan negara.

Banyak projek pertanian sukar mendapat pembiayaan kerana berskala kecil, masih baharu atau kekurangan data yang diperlukan oleh pelabur.

Bagi mengatasi halangan ini, Sekretariat Perubahan Iklim Kebangsaan (NCCS), Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Enterprise Singapore (EnterpriseSG) dan Temasek Trust akan menubuhkan Jawatankuasa Pemandu yang diketuai Encik Menon bagi menerajui inisiatif baharu itu.

Usaha ini merangkumi tiga langkah utama: pertama, penyediaan platform data untuk menilai risiko iklim dan pelaburan; kedua, bantuan teknikal serta hubungan dengan pelabur; dan ketiga, pembiayaan campuran.

Kedua, petani akan menerima bantuan teknikal dan pembangunan projek serta sokongan untuk menjalin hubungan dengan pelabur, pembeli dan rakan kerjasama.

Ketiga, dana pemerintah atau pertubuhan dermawan akan digabungkan dengan modal swasta untuk membiayai projek penyesuaian pertanian terhadap perubahan iklim melalui pembiayaan campuran.

Singapura akan menyediakan dana awal bagi menarik modal swasta, dengan sasaran AS$500 juta ($640 juta) bagi mengurangkan risiko pelabur.

Kejayaan dinilai berdasarkan pelaburan terkumpul dan hasil projek.

Singapura turut membiayai projek pengurangan pelepasan karbon menerusi Kerjasama Pembiayaan Peralihan Asia (FAST-P), dilancarkan pada 2023.

Daripada tiga dananya, Energy Transition Acceleration Financing (Dana Pembiayaan Percepatan Peralihan Tenaga) mengumpul AS$250 juta untuk penutupan awal loji arang batu, manakala Green Investments Partnership (Perkongsian Pelaburan Hijau) memperoleh AS$800 juta bagi prasarana mampan.

Jumlahnya AS$1.05 bilion, termasuk sumbangan Australia, Jepun, Belanda dan Britain.

Projek penukaran sisa pertanian kepada wap perindustrian serta tenaga angin, suria dan bateri dijangka mengurangkan pelepasan karbon melebihi sejuta tan setahun.