Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura arah Google, Apple kawal penipuan samar pemerintah di aplikasi mesej

Nov 25, 2025 | 4:14 PM
Apple dan Google mempunyai sehingga 30 November untuk mematuhi arahan tersebut, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).
Apple dan Google mempunyai sehingga 30 November untuk mematuhi arahan tersebut, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA). - Foto REUTERS

Gergasi teknologi Apple dan Google telah diarah untuk menghalang akaun di aplikasi pemesejan mereka daripada menggunakan nama yang meniru agensi pemerintah Singapura, sebagai langkah untuk melindungi orang ramai daripada penipuan penyamaran.

Menjelang 30 November, Apple dan Google diwajibkan menghalang akaun dan kumpulan sembang atau ‘group chat’ di iMessage serta Google Messages daripada menggunakan nama yang meniru ID penghantar “gov.sg” atau agensi pemerintah tempatan lain.

Jika tidak, mesej daripada penghantar sedemikian perlu ditapis, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 25 November.

Selain itu, nama profil penghantar yang tidak dikenali mesti disembunyikan atau dipaparkan dengan kurang jelas, berbanding nombor telefon mereka.

Ini akan memudahkan pengguna mengenal pasti dan berwaspada terhadap penghantar yang tidak dikenali dengan lebih baik, lapor The Straits Times (ST).

Pihak berkuasa tempatan telah menggunakan ID penghantar “gov.sg” sejak Julai 2024 untuk membantu orang ramai mengenal pasti mesej pemerintah yang sah dengan lebih mudah.

Walau bagaimanapun, ini tidak dikenakan kepada mesej yang dihantar melalui iMessage dan Google Messages.

Akibatnya, orang ramai mudah terpedaya oleh mesej daripada penghantar yang tidak dikenali yang menggunakan ID “gov.sg” melalui perkhidmatan tersebut, kerana ia sukar dibezakan daripada mesej biasa, kata MHA.

Memandangkan polis telah mengesan penipuan yang melibatkan penyamaran ID penghantar berdaftar lain, termasuk lebih 120 kes penipu yang menyamar sebagai SingPost, langkah perlu diambil untuk menghalang penyalahgunaan dua aplikasi pemesejan tersebut, tambahnya.

“Apple dan Google telah menyatakan bahawa mereka akan mematuhi arahan pelaksanaan tersebut,” kata MHA, sambil menambah arahan ini dikeluarkan pada 24 November di bawah Akta Bahaya Jenayah Dalam Talian (Ocha).

Undang-undang itu berkuat kuasa pada Februari 2024, yang membolehkan pemerintah mengeluarkan arahan dan perintah untuk mengehadkan pendedahan pengguna Singapura kepada aktiviti jenayah di platform dalam talian.

Pada September, Meta telah diarahkan untuk melaksanakan langkah bagi menyasarkan iklan penipuan, akaun, profil dan lelaman perniagaan yang menyamar sebagai pemegang jawatan tinggi pemerintah di platform media sosialnya, Facebook.

Kata MHA: “Kami menggesa orang ramai untuk sentiasa mengemas kini aplikasi iMessage dan Google Messages pada peranti mudah alih mereka bagi memastikan mereka mempunyai perlindungan antipenipuan terkini.”

Mangsa telah mengalami kerugian berjumlah $126.5 juta akibat penipuan penyamaran pegawai pemerintah dalam enam bulan pertama 2025.

Ini merupakan peningkatan hampir 90 peratus berbanding $67.2 juta dalam separuh pertama 2024, menurut statistik pertengahan tahun yang dikeluarkan polis pada Ogos.

Bilangan kes penipuan sedemikian telah melonjak hampir tiga kali ganda, dengan 1,762 kes dilaporkan pada separuh pertama 2025, berbanding 589 kes pada tempoh yang sama pada 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg