Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, AS sahkan semula kerjasama kukuh sempena hubungan diplomatik ke-60

Jan 3, 2026 | 8:51 AM
Perdana Menteri Encik Lawrence Wong (kanan) berjabat mesra dengan Presiden Amerika, Encik Donald Trump sambil diperhatikan oleh Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese (tengah) dalam satu acara jamuan malam semasa mesyuarat  APEC 2025 di Gyeongju, South Korea pada 29 Oktober 2025.
Perdana Menteri Encik Lawrence Wong (kanan) berjabat mesra dengan Presiden Amerika, Encik Donald Trump sambil diperhatikan oleh Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese (tengah) dalam satu acara jamuan malam semasa mesyuarat APEC 2025 di Gyeongju, South Korea pada 29 Oktober 2025. - Foto ST

Perdana Menteri Encik Lawrence Wong dan Presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump telah bercakap melalui telefon pada 2 Januari dan mengesahkan semula kerjasama kedua-dua negara, sedang mereka menandakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik pada 2026.

Dalam satu kenyataan pada 2 Januari, Kementerian Luar Negeri (MFA) berkata kedua-dua pemimpin itu mengesahkan kerjasama yang kekal kukuh dan saling menguntungkan antara Singapura dan Amerika, yang merangkumi pelbagai bidang.

Encik Wong dan Encik Trump berkata mereka berharap untuk memperdalam kerjasama dalam bidang yang telah sedia ada dan meluaskan kerjasama ke dalam bidang baru, menurut kenyataan MFA.

PM Wong juga berterima kasih kepada Encik Trump kerana mengundang Singapura ke Sidang Puncak Kumpulan 20 (G-20), yang akan dianjurkan Amerika di Miami, Florida, pada Disember.

“Singapura berharap untuk menyumbang kepada agenda G-20 Amerika dan memajukan pertumbuhan ekonomi untuk semua,” kata MFA.

G-20 terdiri daripada 19 negara, Kesatuan Eropah dan Kesatuan Afrika, yang bergilir-gilir menjadi tuan rumah acara itu. Afrika Selatan menjadi tuan rumah pada tahun 2025.

Selepas Encik Trump mengangkat sumpah untuk penggal keduanya sebagai presiden Amerika pada Januari 2025, PM Wong berkata Amerika adalah antara negara pertama yang mengiktiraf kemerdekaan Singapura pada 1965, dan perkongsian antara kedua-dua negara telah berkembang selama beberapa dekad.

Sementara itu, dalam catatannya di Facebook, Encik Wong berkata Singapura akan memainkan peranan membina di sidang puncak tersebut dan menyumbang kepada agenda bersama bagi pertumbuhan dan kestabilan.

“Saya menantikan untuk membuat kunjungan ke Amerika Syarikat akhir tahun ini untuk menandakan detik penting dalam hubungan dua hala kami, dan untuk memperkukuhkan kerjasama dalam bidang baru seperti kecerdasan buatan, keselamatan siber dan kuasa nuklear awam,” ujar Encik Wong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg