Singapura membida untuk menjadi tuan rumah sebuah tribunal antarabangsa bagi menyelesaikan pertikaian antara pelabur asing dengan negara berdaulat, demi memenuhi keperluan mendesak terhadap sistem penyelesaian pertikaian pelaburan yang dipercayai.

Pada 25 Ogos, Menteri Undang-Undang, Encik Edwin Tong mengumumkan bidaan itu dan berkata aturan berasaskan peraturan yang memacu pertumbuhan perdagangan dan pelaburan dunia sejak beberapa dekad lalu kini semakin tertekan.

Multilateralisme semakin dicabar, dengan kegusaran terhadap kemungkinan terhakisnya kedaulatan undang-undang semakin meningkat.

Multilateralisme ialah pendekatan yang mengutamakan kerjasama antara beberapa negara berdasarkan peraturan yang dipersetujui bersama.

Encik Tong berkata sebagai negara kecil yang kemakmurannya bergantung pada aturan antarabangsa yang mantap dan berasaskan peraturan, Singapura perlu memastikan sistem antarabangsa terus mendapat keyakinan.

“Jika tidak, saiz dan kuasa akan menentukan siapa yang benar, dan keadaan itu sama sekali tidak dapat diterima bagi negara seperti Singapura,” katanya.

Tribunal Pelaburan Pelbagai Hala (MIT) sedang dirundingkan negara anggota Suruhanjaya Undang-Undang Perdagangan Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Uncitral), badan yang membangunkan rangka kerja undang-undang bagi memudahkan perdagangan antarabangsa.

Encik Tong berkata keperluan terhadap sistem penyelesaian pertikaian pelaburan yang dipercayai semakin mendesak. Daripada semua kes pelabur-negara berasaskan perjanjian sejak 1987, lebih separuh dimulakan dalam sedekad lalu.

Namun, rangka kerja itu kini tertekan akibat keputusan yang berbeza-beza, kebimbangan terhadap campur tangan dan kekangan pengawalseliaan, serta persoalan mengenai kebebasan dan keadilan penimbang tara, yang menjejaskan keyakinan terhadap sistem itu ketika ia paling diperlukan.

Dalam ucapan kepada hampir 500 peserta pada persidangan Akademi Uncitral di Hotel Shangri-La, Encik Tong berkata keadaan semakin mendesak apabila negara kini lebih giat mengawal selia bidang seperti kesihatan awam, keselamatan tenaga, perubahan iklim dan keselamatan negara.

“Apabila negara bertindak, pertikaian akan menyusul. Persoalannya bukan sama ada pertikaian pelaburan akan timbul, tetapi sama ada wujud institusi yang berwibawa dan dipercayai untuk menyelesaikannya,” katanya.

Encik Tong berkata Singapura telah lama meraih manfaat daripada sistem multilateralisme yang kukuh dan giat menyumbang kepadanya.

Encik Tong berkata bidaan itu mencerminkan iltizam Singapura membantu membina institusi yang berwibawa dan boleh digunakan semua, serta memperkukuh aturan antarabangsa berasaskan peraturan yang menjadi sandaran dunia.

Beliau berkata Singapura menawarkan bidang kuasa yang mantap dan tidak memihak, berlandaskan kedaulatan undang-undang, serta terhubung dengan negara maju dan membangun menerusi perjanjian perdagangan dan pelaburan, perkongsian ekonomi serta hubungan diplomatik.

Pemerintah akan menyediakan bangunan tribunal yang lengkap untuk perbicaraan serta menempatkan anggota dan kakitangan sokongan. Singapura juga bersedia menyumbang kepada dana bagi memudahkan penyertaan negara membangun serta menanggung kos terjemahan dan rekod perbicaraan.

Menurut Kementerian Undang-Undang (MinLaw), tribunal itu dirancang sebagai tribunal tetap seperti Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), dengan anggota bebas yang dipilih untuk tempoh tertentu dalam kenyataan berasingan.

Ia merupakan sebahagian pembaharuan terhadap mekanisme penyelesaian pertikaian pelabur-negara (ISDS), yang membolehkan pelabur asing mengemukakan tuntutan secara langsung terhadap sesebuah negara dan semakin mendapat perhatian apabila jumlah kes bertambah.

Tribunal itu dirancang sebagai sebahagian pembaharuan mekanisme dalam beberapa perjanjian pelaburan antarabangsa yang membolehkan pelabur asing menuntut secara langsung terhadap sesebuah negara tanpa mencetuskan pertelingkahan diplomatik.

Mekanisme itu, dikenali sebagai penyelesaian pertikaian pelabur-negara (ISDS), semakin mendapat perhatian apabila jumlah kes bertambah.

Kegusaran turut timbul mengenai keputusan yang berbeza-beza, keadilan penimbang tara dan keengganan pemerintah melaksanakan dasar awam kerana bimbang dituntut pelabur.

Syarikat tembakau multinasional Philip Morris pernah menggunakan ISDS untuk mencabar peraturan kesihatan awam mengenai pembungkusan tembakau di Australia dan Uruguay.

Encik Tong turut mengumumkan rancangan besar MinLaw dan Universiti Nasional Singapura (NUS) untuk menubuhkan Pusat Timbang Tara dan Penyelesaian Pertikaian Antarabangsa (CAIDR).

Pusat itu akan menumpukan penyelidikan berwawasan bagi mengekalkan rangka kerja berasaskan peraturan serta menawarkan pengajian lanjutan dalam timbang tara antarabangsa untuk memperdalam kepakaran pengamal.

Diterajui Profesor Stavros Brekoulakis, pakar dan pengamal timbang tara antarabangsa di fakulti undang-undang NUS, pusat itu bertujuan menghimpunkan ahli akademik terkemuka, penimbang tara, pengamal dan pembuat dasar dari seluruh dunia.

Ia akan menjalankan penyelidikan mengenai penyelesaian pertikaian antarabangsa dan menawarkan pengajian lanjutan dalam timbang tara antarabangsa.

Encik Tong berkata penyelidikan itu bertujuan menambah baik amalan dan menyumbang kepada rangka kerja penyelesaian pertikaian antarabangsa yang lebih kukuh.

Beliau berkata sistem itu kini menghadapi perubahan akibat ketegangan politik sejagat, peralihan kuasa ekonomi, kemajuan pesat kecerdasan buatan (AI) serta bentuk perdagangan dan aset baharu yang merentasi bidang kuasa, sistem perundangan dan bidang dasar awam.

Setelah meraih manfaat daripada sistem antarabangsa berasaskan peraturan, Singapura mahu membantu memastikan sistem itu kekal kukuh, dipercayai dan terus sesuai dengan perkembangan semasa.

Bercakap kepada media, Profesor Brekoulakis berkata walaupun Singapura antara pusat utama timbang tara antarabangsa, langkah seterusnya bukan sekadar mengendalikan lebih banyak pertikaian, tetapi membentuk masa depan bidang itu.

Beliau berkata pusat itu bertujuan membangunkan gagasan bagi mewujudkan sistem yang berwibawa dan adil untuk menyokong perniagaan serta mengekalkan kedaulatan undang-undang antarabangsa yang amat diperlukan dalam dunia yang bergolak kini.

Persidangan itu merupakan antara acara Minggu Konvensyen Singapura (SCW), yang memberi tumpuan kepada penyelesaian pertikaian, timbang tara, pengantaraan dan litigasi.