Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, Filipina akan terus perkukuh kerjasama termasuk dalam jagaan kesihatan

PM Wong: Antara inisiatif sokong warga Filipina sektor jagaan kesihatan pertingkat kemahiran
Jun 4, 2025 | 8:08 PM
Singapura, Filipina, hubungan dua hala
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), mengadakan lawatan pengenalan ke Filipina atas undangan Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr. Dalam satu sidang media pada 4 Jun, kedua-dua pemimpin mengesahkan hubungan kukuh dua hala antara kedua-dua negara. - Foto MDDI

Singapura dan Filipina mengesahkan semula hubungan dua hala dan akan terus memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara melalui pelbagai inisiatif, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Salah satu inisiatif tersebut adalah untuk menyokong warga Filipina yang berkhidmat dalam sektor penjagaan kesihatan di Singapura mempertingkatkan kemahiran mereka, ujar beliau.

“Kementerian Kesihatan (MOH) sedang meneroka cara menyokong pekerja penjagaan kesihatan warga Filipina di Singapura bagi mempertingkatkan kemahiran dan disepadukan semula ke dalam sistem penjagaan kesihatan Filipina.

“Kedua-dua kementerian kesihatan juga sedang meneroka cara untuk memperdalam kerjasama dalam bidang kepentingan bersama melalui kerjasama penjagaan kesihatan yang lebih luas,” kata Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media bersama Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr. di Istana Malacanang di Manila, Filipina – kediaman rasmi dan pejabat presiden – pada 4 Jun.

Encik Wong, yang mengadakan lawatan pengenalan ini atas undangan Encik Marcos Jr., berkata demikian memandangkan warga Filipina membentuk sebahagian daripada pekerja sektor penjagaan kesihatan di Singapura.

Filipina adalah salah satu sumber utama pekerja penjagaan kesihatan asing bagi Singapura – selain Malaysia, Myanmar dan India, antara lain.

Selain itu, Encik Wong juga menjelaskan kepentingan meluaskan kerjasama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.

Ia bukan sahaja meliputi kedua-dua negara, tetapi di peringkat Asean.

Khususnya, beliau menggariskan usaha bagi mencapai matlamat bagi Grid Kuasa Asean, yang menurutnya akan “mempertingkatkan daya ketahanan tenaga” dan menyokong usaha peralihan kepada tenaga hijau di peringkat Asean.

Dari segi usaha kemampanan terhadap iklim pula, beliau berkata kedua-dua pihak sedang berusaha menyiapkan Perjanjian Pelaksanaan yang terikat secara sah dan sejajar dengan Artikel 6 Perjanjian Paris.

Artikel tersebut menggariskan cara bagi negara bekerjasama secara sukarela untuk mencapai sasaran iklim masing-masing.

Ini susulan Memorandum Persefahaman (MOU) berhubung kerjasama kredit karbon antara kedua-dua negara, yang dimeterai sempena lawatan Presiden Tharman Shanmugaratnam ke Filipina pada Ogos 2024 bagi memperingati ulang tahun ke-55 hubungan diplomatik Singapura dan Filipina.

Encik Wong berkata: “Perjanjian ini akan memudahkan penyertaan komersial dalam projek kredit karbon, yang boleh memacu pemindahan teknologi, pelaburan dalam sektor hijau dan mencipta pekerjaan yang baik.”

Beliau turut menyentuh berkenaan usaha pembangunan kapasiti antara kedua-dua negara, dengan Singapura giat menyokong bagi memacu kerjasama pembangunan sumber manusia.

Encik Wong juga berkata beliau dan Encik Marcos Jr. akan bekerjasama lebih rapat bagi Asean, lebih-lebih lagi setelah Filipina bakal menjadi pengerusi Asean pada 2026, dengan giliran Singapura menjadi pengerusi pada 2027.

Awal daripada itu, Encik Wong menyertai upacara meletak kalungan bunga di Monumen Rizal – makam wira nasional Filipina, Encik Jose Rizal.

Selepas sidang media, beliau dijemput bagi acara makan malam rasmi oleh Encik Marcos Jr.

Encik Wong ditemani isteri; Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sim Ann, serta pegawai dari Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg