Bagi menjamin resolusi yang mampan terhadap konflik Timur Tengah, penting bagi semua pihak untuk terlibat dalam rundingan secara jujur, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.

Menerusi hantaran Facebook pada 12 Mei, Dr Balakrishnan mendedahkan beliau telah mengadakan “pertukaran pandangan yang jujur dan terbuka” melalui panggilan telefon dengan Menteri Luar Iran, Dr Abbas Araghchi.

Dalam perbualan itu, Dr Vivian menyampaikan harapan Singapura agar konflik semasa dapat diselesaikan menerusi dialog dan diplomasi.

Mereka turut membincangkan pandangan masing-masing mengenai hala tuju jangka panjang laluan perkapalan Selat Hormuz.

Dr Balakrishnan menulis, “Pendirian konsisten Singapura adalah semua negara perlu menikmati hak laluan transit tanpa sebarang halangan melalui selat yang digunakan untuk pelayaran antarabangsa, selaras dengan Konvensyen Undang-Undang Laut PBB (Unclos) 1982 dan undang-undang antarabangsa.”

Beliau menekankan pembukaan semula Selat Hormuz secara sepenuhnya adalah kritikal bagi kestabilan serantau, keselamatan tenaga global dan perdagangan antarabangsa.

“Saya juga menekankan kepentingan Iran untuk terus memenuhi tanggungjawabnya di bawah Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear dan memastikan program nuklearnya kekal untuk tujuan keamanan,” kata Dr Balakrishnan.

Meskipun Amerika Syarikat, Israel dan sekutu sekian lama menuduh Iran berusaha membangunkan senjata atom, Teheran berulang kali menafikannya.

Iran menegaskan ia berhak membangunkan teknologi nuklear untuk tujuan keamanan, selaras kedudukannya sebagai pihak dalam perjanjian tersebut.