Singapura telah menghantar pakej bantuan kemanusiaan ke Jordan pada dinihari 12 Ogos yang bakal digugurkan dari udara di Gaza.
Sebuah pesawat Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) C-130 telah dikerahkan oleh pemerintah dan berangkat dari Pangkalan Udara Paya Lebar sekitar 7 pagi menuju ke Jordan.
Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 12 Ogos, Singapura menghantar pakej bantuan itu atas undangan Kerajaan Jordan.
Di Jordan, pesawat C-130 itu akan menyertai pesawat tentera negara lain untuk menjalankan operasi menggugurkan pakej bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Pakej bantuan dari Singapura itu berisi bekalan perubatan daripada Kementerian Kesihatan (MOH) dan bekalan makanan daripada badan seperti Humanity Matters, Caritas Humanitarian Aid and Relief Initiative Singapore (Charis), Mercy Relief dan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF).
Seramai 58 anggota pertahanan dan tentera Singapura telah dikerah bagi menyokong operasi yang diselaraskan oleh Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan dan Bencana Serantau Changi (RHCC).
Awal sebelum ini, Singapura pernah sekali menggugurkan pakej bantuan kemanusiaan di Gaza.
Ini adalah pakej bantuan kemanusiaan kesembilan yang dihantar Singapura untuk penduduk Palestin sejak konflik bermula.
Keseluruhan, pakej bantuan yang disampaikan Singapura dan warga Singapura bernilai lebih $22 juta buat masa ini.
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad; Menteri Negara (Pertahanan), Encik Desmond Choo; serta Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, hadir di Pangkalan Udara Paya Lebar untuk menyaksikan operasi.
Bercakap kepada media, Encik Zaqy berkata:
“Kami amat prihatin akan keadaan di Gaza dan Singapura menyeru gencatan senjata, pembebasan semua tebusan tanpa syarat dan juga penyingkiran segala sekatan atas bantuan kemanusiaan di Gaza.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak badan bukan pemerintah (NGO) seperti Charis, Mercy Relief, Humanity Matters dan juga RLAF kerana bersama membawa rahmah daripada rakyat Singapura kepada mereka yang terjejas di Gaza.”
Encik Zaqy turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Jordan yang telah mengundang Singapura untuk menyertai operasi menggugurkan pakej bantuan kemanusiaan di Gaza.
Beliau menambah Singapura sedia membantu dan bekerjasama dengan pihak Kerajaan Jordan untuk membawa bekalan yang diperlukan oleh warga yang terjejas oleh krisis kemanusiaan di Gaza.
“Kita akan mencuba sedaya upaya untuk menjamin bahawa bekalan itu sampai kepada mereka yang memerlukan
“Yang penting, kita teruskan misi ini – membawa pakej bantuan ke-9 daripada Singapura – untuk membantu mereka di Gaza,” tambah Encik Zaqy.
Kementerian Kesihatan di Gaza melaporkan lebih 61,000 rakyat Palestin telah terbunuh dan lebih 145,870 cedera akibat serangan Israel ke atas wilayah itu sejak serangan yang dilancarkan kumpulan Hamas pada 7 Oktober 2023 terhadap Israel.
Menurut pihak berkuasa Israel, serangan itu telah menyebabkan 1,200 orang terbunuh dan lebih 250 lagi diculik dan dibawa ke Gaza.
Setakat ini, 49 orang masih ditahan di Gaza, termasuk 27 individu, yang menurut pihak tentera telah mati.
Semasa bercakap dengan pihak media, Dr Faishal menggesa rakyat supaya sama-sama mendoakan keamanan dan pembangunan semula Palestin.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada rakyat Singapura kerana menolong dalam usaha ini.
“Sama-samalah kita teruskan usaha kita untuk berdoa untuk menghilangkan kesengsaraan mereka dan supaya mereka dapat hidup walaupun dalam situasi yang buruk,” kata Dr Faishal.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg