Singapura dan Malaysia menandatangani satu memorandum persefahaman (MOU) untuk memperdalam kerjasama mencegah dan menentang jenayah rentas sempadan, pada 14 November.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, dan rakan sejawatan dari Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, di Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) di Irrawady Road.
Datuk Saifuddin sedang berada di Singapura untuk mengadakan lawatan rasmi pada 13-14 November.
Dalam kenyataannya pada 16 November, MHA berkata:
“MOU ini mengesahkan hubungan jangka panjang antara jabatan Home Team dengan agensi penguatkuasa undang-undang di Malaysia, dengan dua pihak ini bekerjasama dalam perkongsian maklumat, membangunkan keupayaan dan latihan, serta saling membantu dalam pelbagai isu keselamatan.”
Di bawah perjanjian itu, Singapura dan Malaysia akan mempertingkat kerjasama dalam menentang jenayah rentas sempadan seperti mengedar dadah, pengganasan, jenayah siber dan penipuan, serta penipuan yang dilakukan di alam maya.
Sebuah Jawatankuasa Kerja Bersama MHO-MOHA juga akan dibentuk untuk mengenal pasti dan membentuk kegiatan, dasar atau program yang bakal dijalankan di bawah rangka kerja MOU.
Perjanjian itu berlangsung sedang kededua negara mengalami lonjakan kes jenayah, terutama berhubung penipuan, atau scam.
Jumlah penipuan di Singapura meningkat ke paras rekod pada separuh pertama 2024, dengan lebih $385.6 juta kehilangan dalam 26,587 kes yang dilaporkan.
Jika trend ini berterusan, kerugian daripada kes penipuan boleh melebihi $770 juta pada akhir 2024.
Akhbar The Straits Times melaporkan pada 14 November mengenai satu trend baru warga asing di hantar ke Singapura oleh sindiket untuk melakukan penipuan kad kredit, dengan penjual runcit di serata negara menjadi sasaran.
Pihak berkuasa telah memberitahu penjual runcit mengenai sindiket itu, yang dipercayai mencuri butiran kad kredit mangsa di sini menerusi siri penipuan memancing data, atau phishing, dalam talian.
Di Malaysia, Menteri Digital, Encik Gobind Deo, berkata bahawa pada Ogos RM3.18 bilion ($950.27 juta) hilang akibat penipuan dalam talian dari 2021 hingga 2024.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg