Buat kali pertama dalam 14 tahun, Singapura muncul sebagai negara paling kurang rasuah di rantau Asia-Pasifik pada 2024.
Ini berdasarkan satu laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan badan pemantau antirasuah global, Transparency International, pada 11 Februari.
Akhbar The Straits Times (ST) melaporkan ini merupakan kali pertama sejak 2010, Singapura diiktiraf dengan gelaran negara paling kurang rasuah di Asia-Pasifik, mengatasi New Zealand, yang bertahan pada kedudukan berkenaan selama 14 tahun.
Laporan Transparency International juga telah menyenaraikan Singapura sebagai negara ketiga paling kurang rasuah di dunia, satu kedudukan tertinggi yang pernah dicapai sejak 2020.
Singapura meraih markah 84 daripada jumlah penuh 100 pada skala, yang mana 0 menggambarkan keadaan rasuah paling dahsyat dan 100 pula menggambarkan keadaan paling bersih dari rasuah.
Ia naik dua tangga dari tempat kelima yang dicapai pada 2023.
Sebelum ini, markah tertinggi yang dicapai Singapura ialah 87 pada 2012, tatkala sistem ukuran indeks dirombak Transparency International.
Menurut laporan terkini badan pemantau antirasuah itu, CPI yang dijadikan sandaran menyusun kedudukan 180 negara dan wilayah, mengikut tahap rasuah di sektor awam yang diandaikan golongan pakar dan karyawan perniagaan.
Denmark, dengan markah 90, menjadi negara paling kurang rasuah di peringkat dunia, mengikut indeks tertinggi yang dicapainya bagi tujuh tahun berturut-turut.
Ini kemudian disusuli dengan Finland di tangga kedua dengan 88 markah, Singapura (84), New Zealand (83) dan Luxembourg (81).
Menurut laporan berkenaan lagi, CPI yang dipaparkan menunjukkan perbezaan ketara antara negara yang mempunyai institusi utuh lagi berdikari serta pilihan raya yang adil dan bebas, dengan negara yang dipimpin rejim pemerintahan penindas.
Sebagai contoh, negara demokrasi penuh mempunyai purata CPI sebanyak 73, sementara negara demokrasi bermasalah memperolehi purata CPI sebanyak 47 disusuli dengan purata CPI sebanyak 33 sahaja bagi negara yang dipimpin rejim bukan demokrasi.
Sementara itu, penyelaras serantau Asia di Transparency International, Cik Urantsetseg Ulziikhuu, memberitahu ST, markah CPI yang tinggi tidak bermaksud rasuah tidak wujud dalam sesebuah negara, sebaliknya terdapat mekanisme yang kukuh untuk mencegah dan mengesannya.
Ketika ditanya bagaimana siasatan rasuah mantan Menteri Pengangkutan Singapura, Encik S.Iswaran, menjejas kedudukan Singapura dalam skala CPI ini, Cik Ulziikhuu, berkata:
“Kes menteri pengangkutan itu menunjukkan sekurang-kurangnya tindakannya membawa akibat, sesuatu yang tidak dilaksanakan di banyak negara.”
Dalam pada itu, satu kenyataan media Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) menjelaskan kedudukan Singapura sebagai antara negara yang paling kurang rasuah adalah sesuatu yang tidak senang dicapai.
Kata jurucakap CPIB:
“Rakyat Singapura terus berpendirian teguh dalam menentang rasuah dan akan tampil melaporkan apa jua salah laku kepada pihak berkuasa.
“CPIB mengkaji semua laporan dan maklumat yang mungkin mendedahkan kesalahan rasuah secara serius, sama ada pemberi maklumat dikenali atau tidak mahu namanya disebut.”
“
“Rakyat Singapura terus berpendirian teguh dalam menentang rasuah dan akan tampil melaporkan apa jua salah laku kepada pihak berkuasa. CPIB mengkaji semua laporan dan maklumat yang mungkin mendedahkan kesalahan rasuah secara serius, sama ada pemberi maklumat dikenali atau tidak mahu namanya disebut.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg